kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

CEO wajib miliki ‘otak bisnes’

SIAPA sangka, General Motors (GM) syarikat automatif terbesar di dunia telah memfailkan kebankrapan pada tahun 2009. Oleh kerana ia membawa imej besar kepada Amerika Syarikat (AS), negara Uncle Sam tersebut telah melaksanakan pelan menyelamat syarikat berkenaan dengan menyuntik sejumlah wang yang banyak untuk memastikan syarikat itu tidak terjerumus ke lembah kehancuran.

Syarikat itu, telah mengumumkan Dan Akerson sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GM bermula Ogos 2010 dan sebagai pengerusi GM bermula Januari 2011. Bermulanya era Akerson, GM akhirnya berjaya keluar daripada prestasi yang paling teruk dalam sejarahnya.

GM berjaya merebut kembali kedudukan pertamanya daripada Toyota Motor Corp bermula tahun 2011. Bayangkan dalam tempoh setahun sahaja Akerson berupaya mengubah senario GM daripada sebuah syarikat yang muflis kepada sebuah syarikat yang mencatatkan keuntungan berbilion dolar AS!

Ini menggambarkan betapa pentingnya CEO dan pengerusi ahli lembaga pengarah syarikat. Kisah GM membuatkan saya teringat kata-kata rakan karib saya yang berjawatan eksekutif kanan sebuah syarikat milik bumiputera berkaitan dengan dunia korporat.

“Kalau tiada otak bisnes, jangan harap perniagaan nak maju". Dia berasa tidak puas hati dengan pengurusan tertinggi syarikatnya yang tidak tahu berniaga. Meskipun bekerja di syarikat terkemuka Malaysia, baginya masih ramai yang tidak memiliki ‘otak bisnes’.

‘Nak berniaga juta-juta, tapi tak berani ambil risiko’, itu kata rakan saya. Yang paling menangkap pemikiran saya apabila dia berkata “asyik-asyik jual anak syarikat, itu sahaja cara nak buat untung’.

Rupa-rupanya, ini antara taktik yang digunakan oleh segelintir pembuat keputusan dalam sektor korporat. Hanya tahu nak jual anak-anak syarikat atau aset-aset syarikat yang selama ini empayar perniagaan dibina oleh orang terdahulu.

Apabila syarikat mengalami kerugian, dijual aset-aset penting sampaikan aset yang tinggal hanya beberapa kerat sahaja. Tujuannya untuk memberi keterujaan kepada pemegang saham bahawa syarikat telah mencatatkan keuntungan.

Untung jangka masa pendek dengan cara menjual aset? ‘Siapa pun boleh buat begitu’, rakan saya menutup kata-katanya.

Yang menghairankan, anak-anak syarikat yang dijual ini telah berjaya mencatatkan keuntungan di bawah pemilik baru. Apa maksudnya?

‘Otak bisnes’ selalu dikaitkan dengan kejayaan sesuatu perniagaan. ‘Otak bisnes’ ini merujuk kepada individu-individu penting dalam sesebuah syarikat mahupun perniagaan.

Individu-individu tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan ahli lembaga pengarah (ALP) Mereka ini adalah pembuat keputusan tertinggi dalam sesebuah syarikat.

CEO adalah ketua bagi pengurusan tertinggi sesebuah syarikat, manakala CFO pula mengawal dan mengurus kewangan syarikat. ALP pula bertanggungjawab ke atas tadbir urus syarikat dengan membuat keputusan besar seperti membuat pelaburan baru.

Ketiga-tiga pihak ini perlu dipertanggungjawabkan apabila syarikat mengalami kerugian atau pun tersalah membuat pelaburan. Mereka perlu memiliki ‘otak bisnes’, berpengetahuan luas mengenai dunia korporat, mahir dalam kewangan, kreatif, berfikiran di luar kotak dan mempunyai business networking yang luas.

Malangnya, ada di antara mereka tidak memiliki ‘otak bisnes’ dan melakukan pembaziran meskipun berada di kedudukan tertinggi dalam syarikat. Mereka ini lebih suka menyalahkan pihak bawahan dengan memberi alasan-alasan yang meragukan bagi mempertahankan kerugian syarikat. Ditekannya orang bawahan. Ada di antara mereka tidak memahami tanggungjawab sebagai CEO mahupun ALP. Ada di antara mereka sekadar datang ke mesyuarat ALP dan menantikan elaun dibayar kepada mereka. Tidak pula memikirkan hala tuju masa depan syarikat.

Acapkali mereka sekadar membuat keputusan yang biasa-biasa sahaja walhal sebagai ALP, keputusan mereka memberi kesan besar terhadap kejayaan syarikat.

Pengerusi ALP, ALP dan CEO syarikat wajib kritikal dalam membuat keputusan dengan tepat dan pantas dalam menangani sesuatu isu. Silap membuat keputusan, boleh mendatangkan malapetaka kepada syarikat.

Bukan semua orang Melayu kita tidak mempunyai ‘otak bisnes’ tetapi bagi yang tidak mempunyai ‘otak bisnes’ dan berprestasi teruk dengan syarikat mengalami kerugian besar, lebih baiklah memberi peluang kepada orang lain.

Ramai yang mempunyai ‘otak bisnes’ tetapi tidak diberi ruang disebabkan peluang ditutup oleh segelintir ahli korporat yang tidak memiliki ‘otak bisnes’ kerana wujudnya aktiviti melobi melalui “tangan-tangan ajaib".

Mana tidaknya elaun dan gaji yang dibayar mahal, maka status quo tetap mahu dipertahankan. Ada di antara mereka tetap kekal bertahun-tahun lamanya sebagai pengerusi, ALP dan CEO.

Kerja mereka hanya sekadar mengumumkan keuntungan dan dividen syarikat. Tidak diketahui sampai bilakah orang baru yang lebih berkebolehan dan memiliki ‘otak bisnes’ mengambil alih tempatnya.

Itu kita bercakap mengenai syarikat-syarikat besar. Bisnes kecil pun perlu juga usahawan yang berotak bisnes.

Kita acap kali marah dengan usahawan yang bergelar ‘orang tengah’. Mereka ini buat untung melebihi pihak yang berusaha untuk mendapatkan hasil.

Oleh kerana ‘orang tengah’ ini memiliki ‘otak bisnes’, mempunyai modal yang besar dan mahir mengurus kewangan perniagaan, mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Banyak contoh yang boleh dilihat di sekeliling kita.

Apabila wujudnya orang tengah, pengguna akhir juga menjadi mangsa. Bahkan, sudah menjadi perkara biasa, ‘orang tengah’ ini kaya raya manakala, pemain utama seperti nelayan dan petani tetap kekal statusnya.

Nak salahkan ‘orang tengah’ seratus peratus pun tidak boleh juga kerana mereka sudah tentunya golongan opportunis yang cepat menghidu peluang yang terhidang di depan mata. Mereka ini juga memahami selok-belok dalam dunia perniagaan.

Pemikiran dan tindakan sebeginilah yang wajib dimiliki oleh usahawan dan korporat Melayu dan Bumiputera cuma bezanya perlunya elemen etika dalam perniagaan agar tidak menindas dan menipu orang lain. Jangan asyik membuat keputusan yang merugikan syarikat dan kaum Bumiputera serta para pekerja bawahan.

Akerson adalah contoh CEO dan pengerusi yang hebat. Beliau kini boleh bersara dengan perasaan puas hati dan tenang tatkala tempatnya akan diambil alih oleh peneraju baru GM, Marry Barra bermula 15 Januari 2014.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia Utusan Malaysia Rencana 20131223

Tags: ceo, otak
Subscribe

  • Listen and speak wisely

    I came across an article on being a listener and find it difficult to absorb. As an educator, I may be wrong as we are supposed to talk and deliver…

  • Action, not talk, speaks louder

    We’ll get somewhere if more of us respond with positive action rather than negative talk. SOME time ago, as I was driving, I found myself…

  • Give priority to listening and speaking skills

    I REFER to the letter “Teachers to take a back seat” (NST, June 9) by Muhamad Solahudin Ramli and the article “Reforming education…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments