kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Toleransi dan kadar tol

SPEKULASI mengenai pengumuman kenaikan kadar tol di beberapa lebih raya utama negara mengundang persepsi berbeza-beza di kalangan masyarakat. Majoriti melihat bahawa langkah ini agak tidak berpatutan memandangkan masyarakat baru sahaja diberitakan mengenai kenaikkan tarif elektrik pada tahun hadapan. Kegelisahan masyarakat mengenai kos sara hidup turut berombak sejajar dengan kenaikkan harga petrol dan gula yang diumumkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini.



Pelbagai reaksi dapat dilihat dalam perkara ini baik melalui media massa dan elektronik mahupun melalui media sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya. Menariknya, berbanding dengan pengumuman kenaikan harga petrol dan gula yang boleh dilihat ada yang menyokong dan ada yang menentang, kenaikan kadar tol ini mendapat reaksi negatif oleh banyak pihak.



Bermula dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, yang mencadangkan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan kenaikkan kadar tol boleh memilih jalan biasa, rasa tidak puas hati turut dizahirkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan, badan bukan kerajaan dan tidak ketinggalan juga pemimpin pembangkang.

Sebagai contoh, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan kerajaan mengenai akujanji pilihan raya lalu bahawa akan mengurangkan tol secara berperingkat. Persatuan-persatuan pengguna utama negara seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) turut meminta kerajaan mengkaji semula kenaikan tol yang dijangka berkuat kuasa awal tahun depan kerana rakyat terutama yang berpendapatan rendah sudah cukup terbeban dengan kos sara hidup semasa.

Justeru timbul persoalan bagaimana isu ini harus ditangani secara berhemah? Bolehkah ia diselesaikan secara 'menang-menang' dengan semua pihak berasa puas hati dengan keputusan yang dibuat?

Bagi penulis, isu ini boleh diselesaikan secara baik melalui toleransi semua pihak yang terlibat. Toleransi merupakan sikap dan perbuatan yang melarang adanya diskriminasi terhadap kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat. Hal ini bermaksud toleransi harus wujud antara rakyat dengan kerajaan, kerajaan dengan syarikat konsesi tol dan syarikat konsesi tol dengan kerajaan dan rakyat.

Pertama, rakyat harus bertoleransi dengan pihak kerajaan dengan cara yang baik. Elakkan amalan berdemonstrasi kerana masalah ini tidak boleh diselesaikan di jalan raya. Toleransi harus wujud dengan mengemukakan cadangan dan alternatif mengenai cara bagaimana untuk mengelakkan kenaikan kadar tol ini atau sekurang-kurangnya kenaikannya nanti tidak terlalu membebankan rakyat.

Sebagai contoh, rakyat boleh menganjurkan wacana ilmiah bersama pakar-pakar ekonomi dalam dan luar negara mengenai pengurusan lebuh raya dan mekanisme terbaik bagi mengelak situasi ini daripada terus menghantui rakyat dan kerajaan. Salurkan hasil wacana bersama pelan tindakan kepada pihak kerajaan. Dengan cara ini, tidak akan berlaku ketegangan antara rakyat dan kerajaan dan ini akan memudahkan penilaian semula dibuat mengenai kenaikan kadar tol ini.

Kedua, toleransi juga harus wujud antara kerajaan dengan syarikat konsesi tol. Fakta menunjukkan bahawa setiap tiga tahun syarikat konsesi tol berhak mengkaji semula kadar tol sedia ada. Walau bagaimanapun, sejarah juga membuktikan bahawa pihak kerajaan boleh mengadakan rundingan dengan pemegang konsesi lebuh raya untuk mengekang kenaikan kadar tol.

Sebagai contoh, kerajaan berjaya membekukan kadar tol selama lima tahun bagi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada 2010 yang lalu. Perkara ini membuktikan kejayaan hasil toleransi kerajaan dengan pihak PLUS. Justeru, perkara yang sama boleh diaplikasikan dalam konteks semasa. Rundingan dengan pemegang konsesi sedia ada dengan mengambil contoh model rundingan bersama PLUS boleh memutikkan hasil positif nanti.

Ketiga, syarikat konsesi tol harus bertoleransi dengan kerajaan dan rakyat. Jangan jadikan perjanjian lama dan untung perniagaan sebagai matlamat utama perniagaan. Jangan lupa bahawa anda mempunyai tanggungjawab sosial kepada rakyat dan kerajaan. Berdasarkan laporan penyata kewangan syarikat konsesi tol, tidak pernah sekalipun syarikat ini mencatatkan kerugian. Malah keuntungan syarikat meningkat dari setahun ke setahun. Justeru, masyarakat dan kerajaan tidak menyekat mereka untuk terus mencatatkan keuntungan, namun rakyat mempunyai harapan agar turut dapat berkongsi keuntungan itu. Cara mudah perkongsian untung ini ialah dengan tidak menaikkan kadar tol.

Bagi syarikat konsesi, jadikan tanggungjawab sosial sebagai matlamat utama dan bukannya untung berniaga semata-mata. Kerajaan juga harus terus mencari formula terbaik bagi mengimbangi kenaikan kos hidup rakyat. Pengumuman penubuhan makmal kos sara hidup baru-baru ini amat tepat pada masanya. Semoga ada sinar baru menanti di tahun baru nanti.



RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 20131223
Tags: tol, toleransi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments