kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kembalikah MCA dalam Kabinet?

PEMILIHAN Presiden MCA kelmarin berjalan lancar. Tiada pengiraan semula dilakukan.

Semua berpuas hati dengan para pemenangnya.

Ternyata perwakilan dan ahli MCA tidak mahu lagi yang 'bekas' sebagai calon pilihan mereka. Sebab itu, Datuk Seri Ong Tee Keat kalah teruk, cuma mendapat 160 undi daripada keseluruhan 2,332 perwakilan.

Di sebalik itu, akhbar ini difahamkan, seorang lagi pesaing, Gan Ping Sieu pula dianggap oleh perwakilan masih 'mentah' dan belum boleh lagi 'dinaikkan'.

Jadi, pilihannya adalah Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dikatakan, imej Tiong Lai memuncak sejak beliau 'bergasak' dengan Presiden sebelum ini, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.


Liow Tiong Lai (kanan) dan We Ka Siong dijulang oleh penyokong mereka sebaik sahaja diumumkan
sebagai Presiden dan Timbalan Presiden MCA yang baru dalam perhimpunan Agung MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur, kelmarin



Kemenangan moral atau kemenangan awal diraih Tiong Lai ternampak awal lagi apabila kira-kira 62 peratus perwakilan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada 20 Oktober lalu menolak resolusi mencela Tiong Lai kerana tidak menghormati keputusan Majlis Presiden dan Jawatankuasa Pusat (CC), sekali gus mengelakkannya daripada dikenakan kecaman.

Seramai 1,190 perwakilan juga tidak bersetuju dengan resolusi pertama yang menganggap Ahli Parlimen Bentong itu gagal menjalankan tugas sebagai Pengerusi

Jawatankuasa Persiapan Pilihan Raya Umum lalu, yang mengakibatkan MCA dimalukan oleh DAP.

Kelmarin, daripada komen para perwakilan yang mengundi jawatan nombor satu, penulis dimaklumkan oleh mereka bahawa 'inilah dia (Tiong Lai)' pemimpin MCA yang dicari-cari untuk menyembuhkan luka parah yang dialami parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) itu yang ditolak mentah-mentah oleh pengundi Cina dalam pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lalu.

"Sebelum bertanding ke jawatan ini, beliau telah menunjukkan taringnya dari dalam lagi dengan menentang Soi Lek. Ia, dakwa perwakilan itu, mirip seperti mana

'DAP yang melawan tidak kira parti mana sekali pun termasuk UMNO untuk survival politik parti itu'.

"Kami percaya Tiong Lai boleh membersihkan imej MCA dalam kalangan masyarakat Cina dan seterusnya untuk kami (MCA) mendapat kembali tempat dalam hati orang Cina dalam pilihan raya umum ke-14," kata perwakilan itu yang enggan namanya disiarkan.

Sebenarnya dalam pengamatan ramai dan kalangan pemerhati maklum bahawa selama ini pun MCA cuma menghadapi masalah imej kepimpinan. Jika itu dapat diselesaikan, maka tidak banyak isu lain yang dihadapi oleh parti itu.

Dan dipercayai isu kepemimpinan parti itu secara atas kertas sudah 'settle' kelmarin apabila Tiong Lai dipilih menerajuinya.

Sebagai sebuah parti yang telah begitu banyak jasanya kepada negara khususnya kaum Cina selama ini, MCA tidak perlu gusar kerana usaha untuk menggamit kembali sokongan masyarakat Cina itu diyakini akan melalui satu persatu terowongnya.

Berbanding DAP, kaum Cina telah banyak mendapat jasa dari MCA khususnya dalam bidang ekonomi dan lebih-lebih lagi dalam penyediaan kemudahan pendidikan kepada rakyat dan kaum Cina khususnya.

Cuma, prestasi MCA mula menurun dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lagi kerana dianggap sebagai parti yang terlalu 'subservient' kepada UMNO - rakan kongsi terbesarnya dalam BN. Dikatakan MCA telah menjadi mangsa keadaan kerana masalah kelemahan dalam kepimpinan UMNO sendiri ketika itu.

Dalam kalangan kaum Cina, penulis difahamkan, rata-rata mereka mahukan MCA bergerak di atas kaki sendiri walaupun bertapak atas platform BN. MCA kata mereka, perlu memperlihatkan 'vibrancy'nya sebagai parti yang masih mempunyai kuku dalam kerajaan.

"Menumpang atas kekuatan UMNO sudah agak payah kerana UMNO masih lagi dalam pencarian.

"Atas sebab ini sekiranya MCA dapat menyelesaikan masalahnya, maka sebahagian besar dari masalah kepimpinan dalam BN itu akan dapat diselesaikan," kata seorang lagi perwakilan MCA kepada penulis.

Cuma tanggungjawab pertama Tiong Lai sekarang adalah mengembalikan kedudukan MCA dalam Kabinet. Tanpa suara dalam Jemaah Menteri, langkah pertama Tiong Lai untuk mentransformasikan MCA dalam empat tahun ini pasti agak sukar. Sekurang-kurangnya dengan menempatkan diri dalam portfolio Menteri Pengangkutan yang kini disandang Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, MCA setidak-tidaknya ada aura menterinya ketika turun padang menemui rakyat khususnya pengundi Cina.

Cuma, keputusan undian EGM 20 Oktober lalu perlu di'perbetulkan' semula. Ini berikutan resolusi kedua dalam EGM itu ditolak apabila perwakilan tidak bersetuju untuk membatalkan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan MCA pada 2011 dan tahun lalu.

Ia bagi membolehkan parti itu menerima jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan jawatan Kabinet lain apabila 1,090 perwakilan mengundi tidak bersetuju manakala 1,080 bersetuju.

Akan kembalikah MCA menganggotai Kabinet?



ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Rencana 20131223
Tags: kabinet, mca, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments