?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Bisik-Bisik Awang Selamat

Meliwat demokrasi

Setelah semua siri perhimpunan haram sejak bertahun-tahun lalu gagal menjatuhkan kerajaan, apakah himpunan 31 Disember ini akan berjaya?

Awang yakin jawapannya tidak, walaupun ia turut didalangi beberapa tokoh pembangkang, yang kita semua tahu siapa. Malah dalam himpunan anti GST, baru-baru ini yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin utama parti pembangkang diketuai Anwar Ibrahim, cuma lebih 200 orang hadir. Tidak mendapat sambutan meskipun persiapan lama dan rapi dilakukan.

Mesejnya majoriti rakyat sudah bosan dengan perhimpunan demi perhimpunan haram. Budaya politik Malaysia belum ke tahap mengizinkan kerajaan digulingkan menerusi demonstrasi jalan raya. Penentuan melalui peti undi sebagaimana pada PRU-13 Mei lepas, masih menjadi pilihan.

Apatah lagi banyak petunjuk memperlihatkan kerajaan yang ada masih diyakini di sebalik berdepan isu-isu tertentu. Kedudukan di Malaysia jauh lebih baik berbanding banyak negara.

Awang hairan dengan pembangkang. Strategi mereka sangat salah dan bercelaru. Selagi parti-parti pembangkang terbabit dengan demonstrasi haram dan menghasut rakyat merusuh, selagi itu mereka tidak akan mendapat simpati majoriti. Nasihat Awang, tanamkanlah keyakinan kepada rakyat terlebih dahulu dengan membawa pendekatan politik yang sihat, disegani dan budiman.

Siapalah agaknya yang menjadi penasihat parti pembangkang ini? Sudah lebih 15 tahun demonstrasi dijadikan senjata tetapi tidak berhasil. Untuk survival dan demi imej pergerakan pembangkang, penasihat itu patut dipecat segera. Mengekalkan penasihat seperti itu umpama mengekalkan Anwar sebagai ketua pembangkang. Jika Anwar berterusan mengemudi pembangkang ia akan menjadi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) selaku parti pemerintah.

Imej Anwar yang menghadapi isu moral yang amat serius sudah tidak mampu dibaiki lagi walaupun menggunakan lampu ajaib. Buatlah 1001 demonstrasi terhebat sekali pun, pembangkang tidak akan ke mana selagi ada kelibat dan bayang Anwar.

Menerusi ruangan ini, minggu lalu Awang menulis mengenai perhimpunan yang jelas mahu menggulingkan kerajaan, yang kita semua tidak boleh ambil mudah kerana ia sudah menjadi isu ancaman keselamatan. Dalam tempoh seminggu ini, polis telah bertindak tegas termasuk menahan beberapa lelaki termasuk seorang suspek yang mengancam mahu menggunakan bom semasa perhimpunan itu nanti.

Seperti biasa, orang ramai dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat bantahan dan hampir 1,000 aduan polis. Rata-rata mahu polis bertindak lebih tegas dan proaktif. Sentimennya sekarang, ramai merasakan polis perlu lebih ke hadapan dengan pendekatan preemtif, sapu bersih semua suspek. Awang faham kekangan dan dilema polis yang perlu mengambil kira banyak perkara termasuk undang-undang pencegahan yang tidak lagi memihak kepada pasukan itu. Tetapi pedulikan semua. Utamakan kepentingan majoriti rakyat, yang harapan mereka berhak dipenuhi. Janganlah aduan polis melimpah-limpah tetapi tindakannya tidak menyeluruh dan kurang meyakinkan.

Awang juga berharap usaha penganjur perhimpunan guling kerajaan untuk sabotaj dan mengganggu sambutan malam ambang tahun baru, ditangani dengan baik. Awang bersetuju dengan pandangan beberapa pihak agar sambutan ambang tahun baru di Dataran Merdeka dibatalkan. Buat apa mahu mengambil risiko yang akan memudaratkan orang awam. Tanpa sambutan seperti itu, tahun baharu tetap bermakna.

Ingatlah kita bukan berdepan dengan para peserta demonstrasi biasa yang murni niat mereka. Kita berurusan dengan dalang yang mahu meliwat demokrasi tanah air ini, menggunakan apa sahaja cara termasuk saluran ‘belakang’ untuk melakukan revolusi. Demonstrasi itu nanti akan menjadi satu lagi pintu pengkhianatan yang dibuka untuk mendapatkan campur tangan asing, yang akibat jangka panjang kuasa politik Islam akan lenyap dan Malaysia menjadi negara republik. Semuanya atas agenda peribadi - demi kuasa dan mengalih perhatian daripada isu moral si dalang. Marilah berdoa dan bersolat hajat semoga tanah air kita terus aman dan selamat. Sehebat-hebat manusia merancang dan berpercaturan, tidak mampu mengatasi ketentuan Allah SWT. Itulah keyakinan Awang.

Kisah Ali Hashim

Dalam apa yang disifatkan sebagai jarang berlaku, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Muhammad Ali Hashim memulangkan semua darjah kebesaran diterimanya daripada Sultan Johor, baru-baru ini.

Bagi banyak pihak, ia dilihat sebagai kejutan. Selalunya, sultan atau raja yang bertindak menarik balik atau melucutkan darjah kebesaran kepada individu. Terakhir, pada awal November lalu, apabila Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJH), Hamsan Saringat dikenakan tindakan tersebut.

Dalam isu Ali, beliau menyatakan ada sebab kukuh memulangkan semula darjah kerana tidak dapat menerima tohmahan kononnya tokoh itu menderhaka kepada raja dan tidak bertanggungjawab.

Awang tidak berniat untuk mensensasikan isu tersebut atau mengeruhkan lagi keadaan. Raja dengan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan negeri boleh menganugerahkan darjah kepada sesiapa sahaja dan boleh melucutkannya juga pada bila-bila masa.

Ali sebagai rakyat sebenarnya boleh memulangkan darjah yang diterima. Tiada salahnya kerana individu atas nama rakyat juga ada hak. Lagipun nilai masyarakat sudah berubah, tidak lagi seperti dahulu kala. Berdasarkan reaksi menerusi laman sosial, ada yang memuji tindakan Ali dan ada yang persoalkan beliau. Awang percaya kes terpencil ini tidak akan menggugat imej institusi diraja, yang kita semua perlu pertahankan walau apa sekali pun dugaannya.

Harapan koperasi

Sudah sampai masanya kerajaan memperbaharui iltizam untuk memperkasakan lagi gerakan koperasi di negara ini.

Maka apabila Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Koperasi Orang Kota Bharu Berhad, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad menyarankan kerajaan memberi peluang kepada koperasi memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC), Awang sangat setuju.

Kerajaan sendiri mengiktiraf koperasi sebagai enjin ketiga pembangunan ekonomi negara, yang ia mesti dicerminkan menerusi peluang lebih banyak kepada koperasi untuk menikmati kek ekonomi negara.

Apa yang berlaku sekarang, banyak GLC pejam mata tidak menghiraukan koperasi. Anehnya, mereka boleh merasionalkan apa sahaja alasan untuk memberi peluang kepada syarikat gergasi tempatan dan firma asing.

Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, peluang kepada koperasi membeli saham dalam GLC mampu memberi manfaat kepada 7.3 juta ahli koperasi serta keluarga mereka di seluruh negara, yang sedikit sebanyak mengurangkan keresahan rakyat yang kian tertekan dengan peningkatan kos sara hidup.

Lebih daripada itu, katanya, GLC akan menjadi rakan niaga rakyat. Awang yakin permuafakatan itu juga akan dapat meningkatkan imej GLC yang kini berdepan dengan banyak kritikan selain isu persepsi. Pada Awang, permintaan koperasi ini munasabah dan tidak sukar untuk direalisasikan. Ia hanya memerlukan kemahuan politik yang tinggi. Semoga 2014 akan menjadi tahun lebih ceria buat koperasi.

Lebih tenang...

Tahun 2013 yang akan menutup tirainya dua hari lagi menyaksikan lonjakan fenomena Facebook dan twitter.

Pun begitu, bukan semua orang obses dan teruja kepada sosial media.

Minggu lalu Awang bertemu seorang usahawan muda berusia 34 tahun yang syarikatnya memasarkan produknya ke luar negara.

Usahawan berjaya itu yang tidak mahu identitinya diketahui umum memberitahu dia pernah mempunyai akaun Facebook dan twitter tetapi kemudian menutupnya tidak sampai setahun.

‘‘Saya rasa kehidupan saya lebih tenang selepas itu," katanya. Bagi usahawan berkenaan, faktor kesibukan menyebabkan dia hanya menumpukan masa untuk menjawab e-mel selain berinteraksi menerusi whatsapp.

Di luar negara, ramai juga tokoh dan personaliti memilih untuk mempunyai kehidupan yang lebih privasi dengan tidak lagi komited kepada Facebook dan twitter. Salah seorang daripadanya ialah Zeke Emanuel, antara tokoh yang dianggap sebagai arkitek kepada polisi kesihatan Obamacare yang dilaksanakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

‘‘I don‘t facebook and i don‘t tweet." Ungkapan yang sama pernah beliau nyatakan kepada majalah Time.

Memperkatakan tentang Emanuel, ada lagi yang menarik tentang beliau iaitu buku bertajuk, Brothers Emanuel. Ia sarat dengan pemikiran, falsafah dan kisah kejayaan adik-beradik Emanuel yang berpengaruh di AS.

Petikan paling Awang suka: ‘‘You never rest on your last victory. There were always more to do." Itulah rahsia bagaimana keluarga itu membina dan mengekalkan pengaruh termasuk dalam era terbaharu ini. Semua itu tidak dikongsi dalam laman sosial.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131229

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow