Kementerian Pendidikan dikatakan tidak menetapkan sebarang tempoh tertentu bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman.
Namun, elok jika ditentukan suatu tempoh perkhidmatan yang munasabah di kawasan pendalaman bagi seseorang guru supaya kita berlaku adil.
Tidak timbul masalah kekurangan guru jika diamalkan sepenuhnya peraturan ikut giliran. Guru yang baharu menamatkan pengajian ditempatkan di kawasan pedalaman untuk menggantikan guru yang memohon bertukar terutama yang sudah memenuhi tempoh mengajar di pedalaman.
Memang benar guru boleh memohon bertukar setiap tahun, namun dasar penempatan guru di pedalaman akan menjadi lebih jelas dan telus.
Guru boleh merancang dalam mengemukakan permohonan pertukaran. Mungkin ada guru berjaya menyesuaikan diri atau guru tempatan dan bersedia berkhidmat di pedalaman lebih lama dari tempoh yang ditetapkan.
Elaun khas mengajar di pedalaman bukan menjadi daya tarikan utama guru. Yang penting penetapan tempoh mengajar di pedalaman yang tidak terlalu lama boleh mendorong guru bersikap lebih terbuka dan bersedia ditempatkan di kawasan pedalaman.
ZIN MARKAM Pontian, Johor Utusan Malaysia Online Forum 20131226