AWANG rasa terharu dan bangga dengan keputusan kerajaan melaksanakan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam mulai esok, 1 Januari 2014.
Ini baru tindakan yang betul. Kerajaan sendiri tahu bahawa mereka juga perlu berkorban dan mengamalkan perbelanjaan berhemat.
Dengan cara begini, tak adalah rakyat terasa hati ketika kos sara hidup yang menghimpit mereka, saf Kabinet Persekutuan dan barisan pegawai tinggi kerajaan pula sedia menerima elaun keraian mereka dikurangkan sehingga 10 peratus.
Selain itu, pengurangan kos elektrik, bayaran tol, kos sambutan majlis atau persidangan, pembekuan pengubahsuaian pejabat, tiket penerbangan kelas ekonomi, dan mengguna sepenuhnya kemudahan di institusi latihan milik kerajaan sekurang-kurangnya dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Inilah contoh dasar kerajaan yang patut dilakukan pada masa semua pihak perlu berjimat cermat.
Awang harap semua anggota Kabinet dan pemimpin serta kira-kira 1.4 juta kakitangan kerajaan usah merungut dengan langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Masa berbelanja besar hanya kerana peruntukan untuk kemudahan-kemudahan itu disediakan dalam perbelanjaan tahunan telah berlalu.
Berjuta-juta rakyat kita sedang mengeluh dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Jadi semua pihak kena mengamalkan langkah berjimat.
Awang yakin suasana yang seimbang dan saling memahami antara kerajaan dengan rakyat ini dapat membantu kita mengharungi cabaran tahun baharu 2014 ini dengan tenang dan berkesan.
Tak perlu kita ikut rentak tari penyokong pembangkang yang hanya tahu buat kecoh dan menambah masalah. Sepatutnya mereka bantu cari jalan menyelesaikan masalah.
Awang - Melangkah ke tahun 2014.
Utusan Malaysia Online Rencana 20131231