kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kurikulum baharu KSSR meningkatkan kualiti pendidikan

DALAM satu program televisyen berbentuk temu bual, penulis ditanya mengapakah kerap berlaku perubahan kurikulum dalam sistem pendidikan di negara kita? Penulis menyatakan bahawa memang benar ia berlaku kerana pendidikan bukanlah suatu yang statik atau beku tetapi ia hidup, bersifat dinamik dan berubah mengikut keperluan dan kehendak semasa.

Oleh itu mungkin atas keperluan tersebut maka Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap II diperkenalkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan murid Tahun 4 di sekolah rendah pada tahun 2014.

Pelaksanaan kurikulum baharu atau KSSR ini telah diumumkan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Dr. Masnah Ali Muda baru-baru ini.

Pada pendapat penulis untuk memastikan kurikulum ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan maka ibu bapa perlu diberi kefahaman tentang perubahan tersebut. Sekurang-kurangnya melalui kefahaman itu akan dapat membantu dan membimbing anak-anak mereka ketika berada di rumah.

Perubahan ini juga adalah sejajar dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Soalan yang sering ditanya mengapakah KSSR ini diperkenalkan? Jawapannya, KSSR bertujuan untuk melahirkan modal insan yang kreatif, kritis, inovatif dan memiliki kemahiran berfikir aras tinggi. Pendidikan dilihat sebagai wahana yang dapat melahirkan insan dan warga yang berketrampilan, berkemahiran dan sedia menghadapi cabaran masa depan termasuk di peringkat global. Ini bersesuaian dengan usaha kerajaan untuk menjadikan negara kita sebagai negara maju dan menjanjikan rakyat yang berpendapatan tinggi.

Apakah bentuk kurikulum yang terkandung dalam KSSR itu? Kurikulum Standard Sekolah Rendah atau KSSR merupakan kurikulum baharu yang telah diperkenalkan kepada murid Tahun 1 bermula pada tahun 2011. Mulai persekolahan tahun 2014 murid yang sama akan memasuki Tahun 4 dan mereka akan mengikuti KSSR Tahap II pula.

Seperti yang diumumkan bahawa KSSR melibatkan perubahan pendekatan pengajaran, organisasi, peruntukan masa, mata pelajaran, kaedah pentaksiran, bahan pembelajaran dan pengurusan kurikulum di sekolah.

Beberapa mata pelajaran baru diperkenalkan seperti Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Sejarah. Subjek baharu Sejarah diperkenalkan melalui penggabungan beberapa mata pelajaran. Tujuannya adalah untuk menanam dan meningkatkan semangat kenegaraan, patriotisme dan memupuk nilai keperibadian mulia dalam kalangan murid.

Selain itu mata pelajaran elektif ditawarkan membabitkan bahasa ibunda seperti Bahasa Cina SK, Bahasa Tamil SK, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai termasuk Bahasa Arab.

Pendekatan baru dalam pelaksanaan KSSR adalah berasaskan ‘standard kandungan’ dan ‘standard pembelajaran.’ ‘Standard kandungan’ bermaksud pernyataan spesifik dalam sukatan pelajaran iaitu perkara yang perlu diketahui, difahami dan dikuasai oleh murid. Sementara itu‘standard pembelajaran’ pula merupakan satu penetapan kriteria atau indikator terhadap kualiti pembelajaran.

Pencapaian dan penguasaan murid dalam pembelajaran akan dinilai dan diukur. Dengan kata lain guru bukan hanya mengajar tetapi perlu ada kaedah pengajaran yang standard dan sentiasa menilai pencapaian serta kefahaman setiap murid selepas suatu unit pembelajaran itu dilaksanakan dalam bilik darjah.

Mungkin ada yang bertanya mengapa ditekankan komponen standard itu? Standard atau ukuran atau piawaian diutamakan dalam kurikulum ini bertujuan bagi memudahkan guru menilai pencapaian murid dan memastikan mereka melepasi standard yang ditetapkan.

Memandangkan penetapan ilmu, kemahiran dan nilai boleh diukur maka melalui standard itu akan dikenal pasti strategi penambahbaikan dan berupaya pula mengatasi masalah kelemahan murid dalam pembelajarannya.

Apa yang menarik tentang KSSR ialah penekanan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersifat interaktif atau pendekatan dua hala antara guru dan murid. Murid digalakkan bersoal jawab, memberi pendapat, melakonkan sesuatu, membincangkan idea baru, menjawab kuiz dan berbagai aktiviti pembelajaran yang boleh merangsang pemikiran serta mengembangkan bakat mereka. Dalam masa yang sama melalui pendekatan interaktif ini guru akan berupaya menerapkan kemahiran berfikir atas tinggi di kalangan muridnya.

Dari segi pentaksiran, KSSR Tahap I menggunakan Dokumen Standard Kurikulum (DSK). Sementara itu KSSR Tahap II menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang mana kurikulum dan pentaksiran dilaksanakan seiring bagi setiap unit pembelajaran. Ini bertujuan supaya murid berupaya menguasai ilmu dan kemahiran yang telah ditetapkan sebelum mereka melangkah ke tahun persekolahan seterusnya.

Pada dasarnya DSKP mengandungi ‘standard pembelajaran’ iaitu satu penetapan kriteria atau indikator terhadap kualiti pembelajaran. Sementara itu pencapaian ‘standard kandungan’ boleh diukur dan dinilai. Dalam masa yang sama ‘standard prestasi’ digunakan sebagai satu set kriteria umum yang menggambarkan penguasaan murid terhadap sesuatu tajuk, konsep dan istilah yang telah dipelajari.

Seramai 449,887 orang murid dijangka akan mengikuti pembelajaran menggunakan KSSR Tahap II bagi murid Tahun 4 pada tahun 2014. Untuk memastikan keberkesanan KSSR, guru akan terus diupayakan melalui kursus dan latihan. Tumpuan akan diberikan bagi subjek kritikal seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Pada masa yang sama, difahamkan pegawai-pegawai Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan memantau perkembangan pencapaian pengajaran guru dari semasa ke semasa. Ini bagi memastikan perubahan kurikulum ini dapat diterjemahkan dengan berkesan dalam bilik darjah.

Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Masnah, pelaksanaan KSSR akan meningkatkan kualiti pendidikan rendah agar lebih relevan dengan cabaran masa depan. Walaupun guru memainkan peranan penting bagi mengupayakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan namun kejayaan transformasi kurikulum memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak.

Sesungguhnya peranan ibu bapa tidak kurang pentingnya bagi membimbing dan membantu pembelajaran anak mereka. Setidak-tidaknya turut memantau serta menyediakan kemudahan, bahan bacaan dan peralatan pembelajaran bagi keperluan anak ketika berada di rumah.



Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UnisZA. Utusan Malaysia Online Rencana 20131231

Tags: kssr, kurikulum
Subscribe

  • Teori asal usul nama Malaysia

    SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan…

  • Penubuhan Malaysia penuh liku dan cabaran

    TARIKH 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul…

  • From Malaya to Malaysia

    Growth and evolution are natural and necessary in any federal set-up. AS we commemorate Malaysia Day, it is important to look back at the mileposts…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments