kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rasionalisasi ekonomi demi rakyat

PERNAH seorang bekas Menteri Persekutuan meluahkan isi hatinya kepada media massa sebaik-baik beliau tidak lagi menjawat jawatan menteri. Dengan rasa rendah diri, beliau menyatakan betapa peritnya menjadi rakyat biasa berbanding menteri kerana segala-gala kos terpaksa ditanggungnya.

Dengan kata mudah, menjadi rakyat biasa menyebabkan beliau terpaksa menanggung pelbagai kos sara hidup yang semakin tinggi berbanding tatkala berjawatan Menteri Persekutuan.

Inilah gambaran sebenar kehidupan rakyat biasa. Yang terpaksa menanggung pelbagai kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan mereka. Bagi mereka yang berjawatan tinggi, gaji berpuluh-puluh ribu, bahkan ratusan ribu dan jutaan ringgit sebulan, golongan ini tidak merasai apa yang dirasai oleh majoriti rakyat Malaysia.

Bilangan yang kaya-raya di Malaysia tidak begitu ramai. Yang ramainya, mereka yang begitu perit menghadapi kehidupan seharian. Keperitan ini dibimbangi menyebabkan pelbagai masalah lain seperti tekanan diri dan peningkatan kadar jenayah yang akhirnya lebih banyak masalah besar boleh berlaku.

Bagaimana mereka ini ingin meneruskan kehidupan yang semakin menekan? Adakah pihak yang bertanggungjawab benar-benar merasai kehidupan mereka? Atau setelah tidak mempunyai sebarang jawatan tertinggi barulah meluahkan isi hati seperti mana bekas Menteri Persekutuan berkenaan?

Rasionaliasi subsidi pada awalnya boleh diterima oleh rakyat. Namun, apabila tempiasnya amat terasa ke atas barangan dan perkhidmatan lain, maka sewajarnya bukan sahaja rasionalisasi subsidi, tetapi juga kerajaan perlu merasionalisasikan ekonomi negara pula.

Bagaimana untuk merasionalisasikannya? Kalau dalam konteks rasionalisasi subsidi, ia menjurus memberi subsidi kepada golongan sasaran dan golongan yang layak menerimanya. Masalahnya, golongan yang kaya-raya ini rata-rata ahli-ahli perniagaan dan mereka ini telah bertindak balas ke atas rasionalisasi subsidi dengan memindahkan peningkatan kos perniagaan ke atas pengguna.

Itu belum termasuk ahli-ahli perniagaan yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan tanpa sebab. Kesudahannya, majoriti rakyat juga yang menjadi mangsa. Yang kaya semakin kaya!

Di Malaysia, segelintir golongan ahli perniagaan inilah yang berkuasa menentukan harga. Inilah masalah utama dalam ekonomi negara. Tiada keseimbangan sebenar! Yang kaya ini segelintir sahaja dan menguasai kartel dan monopoli.

Nak salahkan peniaga-peniaga kecil seperti di pasar malam mahupun di gerai-gerai tepi jalan tidak boleh juga. Ini kerana mereka yang menguasai kartel inilah yang sanggup menaikkan harga sampaikan peniaga-peniaga kecil-kecilan pun terpaksa naikkan harga hanya kerana untuk mendapatkan keuntungan sedikit. Yang kartel ini untungnya usah cakaplah, lepas itu diuar-uarkan di media massa kononnya mereka melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

Bagi menutup ketamakan dan haloba mereka, mereka merasionalisasikan kenaikan harga barangan kerana desakan pasaran. Kalau mereka boleh merasionalisasikan kenaikan harga, kenapa tidak pihak berkuasa merasionalisasikan ekonomi agar tidak ada lagi kuasa kartel dan monopoli? Mana lebih utama, kepentingan rakyat atau kepentingan segelintir golongan yang kaya raya ini.

Malangnya, kalau dilihat apa yang berlaku pada masa lepas, golongan kartel inilah yang nampaknya lebih berkuasa. Buktinya, mereka tidak peduli pun dengan arahan pihak yang mempunyai kuasa. Harga tetap naik. Bagi mereka, apa pihak berkuasa boleh buat?

Maka, kedengaranlah suara-suara yang ingin memberi amaran dan tindakan. Begitu juga, kedengaran juga suara-suara menyuruh pengguna boikot dan cari alternatif. Tidak kurang juga, dengan nada sama, harga barangan masih terkawal, inflasi masih rendah.

Sekali lagi, mereka yang memberi pelbagai alasan ini merupakan golongan yang berpendapatan tinggi berbanding rakyat biasa. Usahlah memberi pelbagai alasan yang mana rakyat bawahan sendiri pun boleh fikir alasan yang lebih baik.

Pak-pak menteri berkenaan turunlah ke padang. Jenguklah orang bawahan. Dalam setahun, tandakan dalam diari untuk memperuntukkan masa tinggal bersama-sama dengan orang bawahan. Usahlah harapkan sahaja, orang-orang kanan yang sentiasa menyampaikan kisah-kisah molek rakyat, seperti no problem bos, rakyat semua baik.

Tidak perlu lama pun, dua minggu setahun pun dah cukup. Tinggal bersama-sama dengan golongan yang susah ini. Janganlah ketika pilihan raya umum atau pilihan raya kecil baru nampak muka. Buatlah kajian sendiri tentang masalah dan kos kehidupan rakyat.

Rasai sendiri kepayahan rakyat dan bukannya selepas tidak menjadi menteri barulah terkeluar isi hati betapa susahlah hidup sebagai rakyat bawahan. Barulah sesuai dipanggil sebagai wakil rakyat yang membantu rakyat. Nescaya, rakyat akan lebih menyayangi wakil rakyat.

Ambil pengajaran seorang khalifah dahulu yang sanggup menyamar semata-mata ingin mengetahui dan merasai kehidupan rakyat biasa. Barulah, episod merasionalisasikan ekonomi boleh dijalankan dengan terperinci dan bukannya setakat diberikan tugas kepada pihak-pihak yang mereka sendiri tidak pernah merasai kesusahan. Apa yang mereka tahu mengenai kesusahan rakyat?

Merasionalisasikan ekonomi juga perlu melibatkan kecekapan dan keberkesanan dalam pengurusan kewangan negara. Dalam konteks ini pula, pembaziran sifar adalah terasnya.

Malangnya, umum mengetahui banyak pembaziran berlaku melibatkan pengurusan kewangan negara. Buktinya boleh dilihat dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Kalau tiada pembaziran, wang yang dijimatkan boleh membantu meringankan kos sara hidup rakyat. Malahan, wang tersebut juga boleh membantu rakyat bawahan menjana pendapatan sendiri seperti membantu mereka menjadi usahawan berjaya.

Umum mengetahui, ramai golongan bawahan ini bekerja secara sambilan seperti menjual pakaian di pejabat bagi memperoleh pendapatan sampingan. Mereka ini antaranya berkebolehan untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Bantulah mereka ini. Usah hanya membantu mereka yang dikenali sahaja kerana yang susah ini majoritinya tidak mengenali orang-orang tertentu.

Yakinilah, isu kenaikan kos sara hidup rakyat akan menjadi isu utama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti. Justeru, tindakan merasionalisasikan ekonomi adalah sejajar dengan usaha untuk memastikan nasib rakyat terbela agar rakyat dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih tinggi.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20131231

Tags: ekonomi, jimat, kos
Subscribe

  • Adakah anda seorang yang berani?

    Artikel Waktu isu 1MDB lagi saya lawan, tegas Abdul Hamid dan Ketua Ulama Pas teruk kena maki hamun dengan Lokman Adam bertarikh…

  • Persepsi I

    Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM (Mei, 3, 2021) ada menyebut mengenai ‘ war of perception’. Dunia…

  • Hamid Bador: Antara persepsi dan kenyataan

    Mantan Ketua Polis ke-12 memperdengarkan ungkapan "persepsi” sebelum beliau menyerahkan kuasa pada 3hb Mei 2021. Namun, beliau menyebut…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments