kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tahun penuh peristiwa 2013

KONFLIK di rantau Asia Barat menjadi antara peristiwa hitam yang tercatat dalam sejarah dunia sepanjang 2013.

Selain konflik Palestin-Israel yang tidak pernah berpenghujung, negara-negara seperti Tunisia, Libya dan Mesir terus berdepan dengan masa depan tidak menentu ekoran pergolakan politik dan perang saudara.

Malah, episod paling malang dan menyayat hati berlaku di bumi Syria selepas puluhan ribu rakyatnya terbunuh manakala ratusan ribu lain menjadi pelarian kerana perang saudara.

Pembunuhan beramai-ramai rakyat Syria yang didakwa menggunakan senjata kimia memaksa Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan ancaman untuk melancarkan serangan ke atas negara tersebut.

Selain itu, Iraq dan Afghanistan pula terus menjadi papan catur kepada negara-negara Barat dalam mempamer kekuasaan politik dan senjata masing-masing dengan rakyatnya menjadi mangsa serangan yang membunuh banyak nyawa.

Dalam pada itu, seperti tahun-tahun sebelum ini juga, bencana alam yang mengorbankan ratusan nyawa dan kemusnahan dalam skala besar turut mengisi jendela dunia 2013.

Tahun ini, Filipina berdepan amukan alam yang cukup hebat selepas enam wilayah di negara itu dibadai Taufan Haiyan pada awal November.


KEMUSNAHAN akibat taufan Haiyan di Filipina.

Lebih 10,000 penduduk terkorban manakala puluhan ribu lain hilang tempat tinggal ekoran bencana alam tersebut.

Di republik Korea pula, kedua-dua negara Korea Selatan dan Korea Utara tahun ini semakin memperlihat perseteruan selepas masing-masing saling memperkenal dan melancar peluru berpandu baharu.

Di wilayah Asia Tenggara pula, pergolakan politik di Thailand semakin menuju jalan buntu selepas penyokong anti kerajaan, Kumpulan Baju Merah terus mengadakan demonstrasi sehingga memaksa Perdana Menterinya, Yingluck Shinawatra membubarkan Parlimen.

NEW DELHI 5 JAN. - Teman lelaki kepada mangsa rogol beramai-ramai di India, buat kali pertama muncul dalam satu temu ramah dengan sebuah saluran televisyen, mendedahkan sifat tidak berperikemanusiaan polis dan penduduk awam di bandar raya ini berhubung insiden itu.

RIYADH 12 JAN. - Pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah buat pertama kalinya mengeluarkan dekri membenarkan wanita di negara ini menduduki kerusi dalam Majlis Syura.

WASHINGTON 12 JAN. - Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, menolak satu petisyen aneh yang mendesak kerajaan AS membina Death Star, sebuah stesen angkasa pemusnah planet seperti yang terdapat dalam filem Star Wars.

MOSCOW 26 JAN. - Persidangan Parlimen Rusia, menyokong rang undang-undang yang mengharamkan ‘propaganda’ homoseksual dalam kalangan kanak-kanak, tindakan yang akan membolehkan golongan gay disaman kerana mempamerkan perbuatan mereka atau bercium di tempat awam.

KAHERAH 28 JAN. - Perintah berkurung dikuatkuasa di tiga wilayah di Terusan Suez, selepas Presiden Mesir, Mohammed Mursi mengisytiharkan perintah darurat di wilayah-wilayah itu ekoran keganasan terus memuncak di negara itu.

COLOMBO 11 MAC - Pemimpin-pemimpin Islam Sri Lanka mengumumkan menarik balik label halal bagi produk makanan di negara ini ‘demi menjaga keharmonian antara agama.’

PERANCIS 12 MAC - Lebih 68,000 kediaman terputus bekalan elektrik, manakala beratus-ratus pemandu terperangkap dalam kenderaan masing-masing di Perancis, berikutan ribut salji dan salji tebal.

SEOUL 13 MAC - Korea Utara mengesahkan bahawa negara itu telah membatalkan gencatan senjata yang menamatkan Perang Korea selama 60 tahun dan memberi amaran langkah seterusnya ialah tindakan balas ketenteraan ‘tanpa belas kasihan’ ke atas musuh.

MANILA 3 APRIL - Persidangan Biskop Katholik Filipina berjanji membantu ketua kumpulan pengganas, Jamalul Kiram III untuk membawa isu pelanggaran hak asasi manusia di Sabah, Malaysia ke Vatican City dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PARIS 10 APRIL - Dewan Senat Perancis meluluskan artikel pertama rang undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis.

RAMALLAH 14 APRIL - Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad meletakkan jawatan sekali gus menamatkan hubungan tegang dengan Presiden Mahmoud Abbas.

CARACAS 15 APRIL - Pemangku Presiden, Nicolas Maduro diisytiharkan sebagai Presiden baharu Venezuela, menggantikan Hugo Chavez.

BOSTON 16 APRIL - Dua letupan bom menggegarkan kawasan berhampiran garisan penamat acara Maraton Boston, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lebih 170 lagi cedera.

TEHRAN 16 APRIL - Sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh termasuk 13 di Pakistan, apabila satu gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter menggegarkan wilayah tenggara Iran yang bersempadan dengan Pakistan.

ISLAMABAD 18 APRIL - Mahkamah Pakistan mengarahkan bekas Presiden, Pervez Musharraf ditahan berhubung dakwaan mengkhianat.

TOKYO 30 APRIL - Gabenor Tokyo, Naoki Inose meminta maaf kepada dunia Islam selepas menyifatkan negara-negara Islam tidak mempunyai sebarang persamaan selain Allah dan `sering bergaduh antara satu sama lain’.

ARMSTERDAM 30 APRIL - Putera Mahkota Willem-Alexander ditabalkan sebagai Raja Belanda pertama sejak 1890, menggantikan ibunya, Permaisuri Beatrix yang telah memerintah selama 33 tahun.

LONDON 3 MEI - Ahli arkeologi menemui satu terowong kereta api berusia 220 tahun dan dipercayai paling tua di dunia. Terowong Fritchley yang ditemui di Crich, Derbyshire itu wujud sejak 1793, dua tahun lebih awal daripada pemegang rekod penemuan terowong kereta api paling tua di dunia sebelum itu.

WASHINGTON 10 MEI - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengucapkan tahniah atas kejayaan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

ISLAMABAD 5 JUN - Nawaz Sharif mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Pakistan baharu di depan Presiden, Asif Ali Zardaridi, selepas dipilih oleh Dewan Parlimen negara ini, proses peralihan kuasa bersejarah bagi negara yang telah melalui tiga rampasan kuasa tentera.

RAMALLAH 6 JUN - Kerajaan baharu Palestin diketuai Perdana Menteri, Rami Hamdallah, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

JOHANNESBURG 8 JUN - Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, 94, dimasukkan ke hospital selepas jangkitan paru-paru yang dialaminya berulang.

TEHERAN 15 JUN - Calon berhaluan sederhana, Hassan Rowhani menang pilihan raya Iran dan berjaya menggantikan Mahmoud Ahmadinejad sebagai Presiden.

RIO DE JANEIRO 20 JUN - Lebih sejuta penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan utama di sekitar 80 bandar di Brazil, menggesa kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik dan menamatkan skandal rasuah.

SYDNEY 26 JUN - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard tewas dalam pengundian menentukan kepemimpinan Parti Buruh, sekali gus mengembalikan seteru politiknya dan bekas pemimpin parti itu, Kevin Rudd mengetuai parti dan kerajaan.

KAHERAH 4 JULAI - Tentera Mesir menggulingkan Presiden Mohammed Mursi dan menahan beliau selepas seminggu tunjuk perasaan besar-besaran yang menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh di negara ini.

KAHERAH 8 JULAI - Pergolakan di Mesir semakin membimbangkan dengan 51 orang terbunuh apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan pro-Mohammed Mursi.

SINGAPURA 9 JULAI - Polis Singapura mengambil tindakan ke atas 55 orang rakyat Malaysia yang terlibat dalam demonstrasi membantah keputusan pilihan raya umum negara itu di Merlion Park, di sini pada 8 Mei lalu.

LONDON 22 JULAI - Isteri Putera William, Kate Middleton selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.8 kilogram di Hospital St Mary.

KAHERAH 14 OGOS - Kira-kira 2,200 maut, sementara lebih 10,000 yang lain cedera selepas pasukan keselamatan Mesir bertindak melancarkan operasi pembersihan di dua buah kem utama penunjuk perasaan pro-bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi di sini.

AMMAN 21 OGOS - Syria digegarkan dengan kejadian pembunuhan ‘senyap’ besar-besaran dipercayai dilakukan oleh tentera kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad, sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,300 kematian.

YANGON 24 OGOS - Keganasan agama tercetus semula di Myanmar apabila sekumpulan perusuh anti-Islam di tengah Myanmar bertindak membakar premis perniagaan dan rumah-rumah penduduk Islam dalam konflik terbaharu di negara ini.

SANAA 31 OGOS - Perdana Menteri Yemen, Mohammed Salem Basindwa terselamat dalam satu cubaan membunuhnya ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pejabat di sini.

MIAMI 11 SEPT. - Seorang paderi yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini, Terry Jones ditahan sebelum dia sempat membakar hampir 3,000 naskhah al-Quran sempena ulang tahun serangan 11 September 2001, lapor media Amerika Syarikat (AS).

KAHERAH 13 SEPT. - Beribu-ribu penyokong bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi mengadakan tunjuk perasaan sebagai bantahan terhadap tentera, ketika pasukan keselamatan meng gempur kedudukan kumpulan militan di semenanjung Sinai.

BANGKOK 16 SEPT. - Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang hidup dalam buangan di Thailand, meninggal dunia di sebuah hospital pada usia 95 tahun.

CANBERRA 18 SEPT. - Tony Abbott mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Australia yang baharu.

BANDAR SERI BEGAWAN 22 OKT. - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, mengumumkan penguatkuasaan hukum hudud di negara ini, termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.

ISTANBUL 26 OKT. - Lelaki tertinggi di dunia, Sultan Kosen menamatkan zaman bujangnya selepas sering mengadu mengalami kesukaran untuk mencari teman hidup.

LOS ANGELES 28 OKT. - Doktor peribadi mendiang Michael Jackson yang disabitkan kesalahan membunuh penyanyi pop itu dibebaskan dari sebuah penjara di sini, selepas menjalani separuh daripada hukuman penjara selama empat tahun ke atasnya.

KAHERAH 4 NOV. – Selepas kira-kira empat bulan ditahan di lokasi rahsia, bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi, dibawa ke sebuah akademi polis untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kaherah atas dakwaan mencetuskan keganasan dan pembunuhan.

NEW DELHI 5 NOV. – India melancarkan roket yang membawa misi pertama negara ini ke Marikh, dengan objektif mahu menjadi negara Asia pertama meneroka Planet Merah melalui program teknologi angkasa lepas yang melibatkan kos rendah.

BAIKONUR, 7 NOV. – Rusia melancarkan roket ke angkasa lepas untuk membawa tiga angkasawan dan obor Sukan Olimpik 2014 di Sochi.

MANILA 8 NOV. – Satu daripada taufan terkuat di dunia yang pernah direkodkan melanda Filipina menyebabkan sekurang-kurangnya 5,235 disahkan terbunuh, manakala 1,613 lagi dilaporkan hilang, manakala angin kencang dan ombak besar memusnahkan banyak kediaman penduduk.

MOSCOW 17 NOV. – Sekurang-kurangnya 56 orang termasuk enam anak kapal terbunuh selepas pesawat Boeing 737 milik syarikat penerbangan tempatan Tatarstan Airlines terhempas.

LONDON 22 NOV. – Tiga wanita termasuk seorang warga Malaysia, Siti Aishah Abdul Wahab, 69, diselamatkan selepas mereka didakwa menjadi hamba domestik selama 30 tahun di sebuah rumah di selatan ibu negara ini.

NEW YORK 28 NOV. – Aktivis remaja, Malala Yousafzai dianugerahkan sebagai individu Asia paling berpengaruh tahun ini pada Anugerah Kepemimpinan dan Kepelbagaian GG2 2013.

SINGAPURA 8 DIS. - Kira-kira 400 pekerja asing dari India melakukan rusuhan kerana berang berikutan kematian seorang rakan mereka.

SEOUL 13 DIS. - Korea Utara menjatuhkan hukuman mati ke atas bapa saudara pemimpin negara itu, Jang Song-thaek, selepas berita penyingkiran mengejut pegawai berkenaan yang suatu ketika dahulu merupakan seorang yang sangat berkuasa, dengan melabelkannya sebagai ‘manusia keji’ dan ‘pengkhianat’.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131231
Tags: konflik, peristiwa
Subscribe

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi)

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat…

  • History of the Old Melake

    Soalan KBAT atau Higher Order Thinking Skills Malayan Examination Chong worried over emphasis on exam results JERANTUT: An education system that…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments