kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keadilan terus ditegakkan ~ Mahkamah 2013

5 FEB. - Seorang perogol bersiri yang dikenali sebagai ‘Rambo Bentong’, Rabidin Satir, 42, dari Tambunan, Sabah dihukum penjara 115 tahun dan sebatan 50 kali setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub, Pahang terhadap empat tuduhan rogol dan satu tuduhan melakukan seks luar tabii.

19 FEB. - Seorang pembantu rumah Indonesia, Yuliana dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang selepas mengaku salah atas dua tuduhan mendera seorang bayi berusia empat bulan, Mohamed Hareez Mohamed Zamri pada 15 Februari lalu.

26 FEB. - Perogol bersiri, Amran Che Jaafar yang dikaitkan dengan lebih 20 kesalahan merogol di negeri Kelantan sekali lagi dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

14 MAC - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Rasah, Seremban daripada sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM20,000 atas tuduhan menerima rasuah lima tahun lalu.

14 MAC - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO.

17 MEI - Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan menganjurkan perhimpunan Black 505 tanpa kebenaran.

20 MEI - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan dua rakannya, Muhammad Hilmi Hasim dan Halimah Husein daripada pertuduhan menggalakkan keganasan untuk memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria, tahun lalu.

22 MEI - Seorang wanita warga Indonesia, Dewi Nadia Alias dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru setelah didapati bersalah mendera anak tirinya yang berusia tiga tahun, Nur Dania Qistina Norafizan sehingga mati, dua tahun lalu.


23 MEI - Bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan, dan R. Kathavarayan dijatuhi hukuman gantung setelah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

23 MEI - Penyokong tegar pembangkang, Adam Adli Abd. Halim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

29 MEI - Bekas Exco kerajaan negeri Perak, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Usaili Alias dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh daripada tiga tuduhan rasuah melibatkan projek pembangunan tanah bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, lima tahun lalu.

29 MEI - Selepas didakwa menyebarkan ajaran sesat dan mengaku sebagai tuhan, Harun Mat Saad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dua tuduhan menerima deposit secara haram sebanyak RM40 juta daripada beberapa buah syarikat dan orang ramai.

5 JUN - Pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Penganut Hindu (Hindraf), P. Uthayakumar dihukum penjara dua tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur setelah didapati bersalah menulis surat berbaur hasutan kepada bekas Perdana Menteri Britain.

5 JUN - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan gagal memaklumkan polis berhubung penganjuran satu perhimpunan.

19 JUN - Seorang guru sekolah menengah, Daeng Norul Asyikin Bachok, 28, dan suami, Mohd. Shukur Suradi, 29, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 25 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas didapati bersalah mendera pembantu rumah warga Indonesia pada tahun lalu sehingga mangsa cedera parah.

20 JUN - Mahkamah Koroner Petaling Jaya memutuskan kematian William Yau Zheng Zhong, 6, yang mayatnya ditemui terapung di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, 24 Januari lalu dikategorikan sebagai nahas kerana mangsa didapati secara tidak langsung terjatuh ke dalam longkang berhampiran Jalan Putra Mahkota Heights, Subang.

24 JUN - Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan pembantu kafeteria, Muhammad Hilmi Hasim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas, Tanzim Al-Qaeda Malaysia.

27 JUN - Seramai 22 orang termasuk komander kumpulan pengganas Kiram berpangkat ‘Jeneral’, Datu Amirbahar Hushin Kiram mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

28 JUN - Seorang kerabat diraja Johor, Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, 28, dan dua rakannya dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bharu selepas didapati bersalah mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang petinju negara, Muhammad Farkhan Haron, 25.

28 JUN - Seorang buruh kontrak, Muidin Maidin dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang yang mayatnya ditemui rentung akibat dibakar pada 12 Mac tahun lalu.

11 JULAI - Tiga atlet bola baling Sukan Malaysia (Sukma) 2013 didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan merogol seorang pegawai pengiring pasukan tersebut di perkampungan sukan, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

18 JULAI - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerbitkan gambar menghasut umat Islam di bulan Ramadan dan mempamerkan gambar-gambar lucah dalam sebuah laman web.

22 JULAI - Peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dilantik oleh Peguam Negara mengetuai pasukan pendakwa raya dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

2 OGOS - Bekas Pengarah KPF Quality Foods Sdn. Bhd., Tan Han Kook, 59, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Datuk Sarchu Sawal, 64, masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah melibatkan dana syarikat itu berjumlah lebih RM30 juta, dua tahun lalu.

6 OGOS - Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas Koperal Detektif Hassan Ali Basari kerana menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas di Sabah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

16 OGOS - Pegawai veterinar, Mohammad Affandi Ismail, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan sengaja mencederakan isterinya di dalam lif sebuah hospital setelah rakaman video perbuatannya membelasah wanita itu tersebar di Internet.

23 OGOS - Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan mereka daripada sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh model sambilan, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu.

26 OGOS - Seorang suri rumah, Chong Mee Chin, 30 didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan membunuh anak perempuan kandungnya, Ho Yan Hui, 5, dengan menderanya dengan kejam.

27 OGOS - Seorang anggota tentera berpangkat sarjan, Che Rosli Che Daud, 29, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tumpat, Kelantan atas tuduhan membunuh kerani sekolah, Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, dalam satu kejadian letupan bom yang diletakkan di atas sebuah kereta pada hari keempat sambutan Aidilfitri.

2 SEPT. - Tujuh lanun Somalia yang ditahan di Teluk Aden, dua tahun lalu dihukum penjara antara lapan hingga 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah melepaskan tembakan ke atas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di atas kapal dagang Bunga Laurel dengan niat merompak di perairan Oman pada Januari 2011.

3 SEPT. - Seorang lelaki Bosnia, Ervin Ahbabovic menyaman bekas kekasihnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut ganti rugi RM600,000 kerana mendakwa wanita tempatan itu mempergunakan spermanya bagi mendapatkan anak daripada genetik orang Eropah yang dikatakan berkualiti tinggi.

9 SEPT. - Seorang pakar patologi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan meminta dan bersetuju menerima rasuah RM700,000 daripada pemilik syarikat pembekal peralatan perubatan.

12 SEPT. - Bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad dihukum penjara enam bulan dan denda RM90,000 oleh Mahkamah Rayuan atas enam tuduhan rasuah melibatkan wang RM15,000, 10 tahun lalu.

27 SEPT. - Tiga pesalah muda yang mengaku bersalah merompak berkumpulan menerima hukuman dengan pendekatan berbeza apabila Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor menjalankan hukuman sebat sebanyak dua kali di galeri awam mahkamah tersebut sambil disaksikan oleh Hakim Manira Mohd. Nor, ahli keluarga dan orang awam.

27 SEPT. - Enam individu termasuk pengarah dan pengurus besar syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva (M) Sdn. Bhd. (GMSB) dan dua syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam atas 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai hampir RM5.5 bilion, dua tahun lalu. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

30 SEPT. - Sepasang suami isteri, Hiew Yook Cheang dan Wong Yin Tinn dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh anak kandung mereka, Mabel Hiew Mun, 5, dengan cara melemaskan mangsa dengan asap arang.

3 OKT. - Seorang penarik kereta, Koong Swee Kwan, 44 dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menembak mati pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi di sebuah tokong Cina di ibu negara pada 29 Julai lalu.

7 OKT. - Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Pinggiran Pelangi, Rompin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin atas tuduhan membunuh rakan pelatih kem tersebut, Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18 sementara lima lagi didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada 22 September lalu.

25 OKT. - Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

30 OKT. - Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don dihukum penjara enam tahun dan didenda RM300,000 selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 berhubung kelulusan permohonan visa pekerja Bangladesh.

31 OKT. - Seorang penyelenggara bangunan, Poon Wai Hong, 23, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dakwaan membunuh kenalan perempuannya yang berusia 15 tahun, Ng Yuk Tim yang mayatnya disumbat ke dalam beg pakaian pada 21 Oktober lalu.

7 NOV. - Seorang pemandu van, Muhammad Zamri Yusof, 26, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan membunuh penjual alat tulis, Lee Kah Ghee, 48, dan penuntut kolej, Kwan Chun Thai, 25, di hadapan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati pada 24 Oktober lalu.

19 NOV. - Pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila, 36, didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh dan melepaskan tembakan terhadap pegawai AmBank, Norazita Abu Talib, 37, semasa melakukan rompakan di dalam bangunan AmBank No. 5 dan 7, Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, 23 Oktober lalu.

19 NOV. - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dihukum penjara satu hari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah didapati bersalah menghina mahkamah berhubung penyiaran satu artikel berkaitan seorang hakim dalam laman web Perkasa.

6 DIS. - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee memfailkan saman terhadap DAP bagi memohon pengisytiharan keahliannya dalam parti itu dikekalkan setelah mendakwa pelucutan keahliannya itu adalah tidak sah.

17 DIS. - Dua pemain bola sepak Pahang, Mohd. Amirul Hadi Zainal dan Mohd. Zaiza Zainal Abidin bersama pasangan masing- masing didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang atas kesalahan berkhalwat di sebuah hotel pada September lalu.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131231
Tags: jenayah, mahkamah, peristiwa
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments