SEBAGAI rakyat Malaysia, kita sudah tentulah mengharapkan kedatangan tahun baharu 2014 ini akan membawa suasana lebih baik dalam kehidupan kita.
Dua isu penting yang sudah tentu menjadi kerisauan kita adalah perbuatan pihak-pihak tertentu untuk menjejaskan keselamatan negara dan soal peningkatan kos sara hidup.
Sudah tentu kita mahu keadaan keselamatan negara terus terpelihara bagi membolehkan kita keluar bekerja untuk mencari rezeki dan meluangkan cuti hujung minggu dengan aman serta pada masa sama kita mahu gaji yang diperoleh cukup untuk menyara kehidupan kita.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad yang mengulas perkara itu berkata, 2014 boleh menjadi tahun yang aman jika semua pihak menghormati undang-undang negara.
Beliau berkata, orang ramai harus mengambil iktibar daripada kekecohan yang berlaku ekoran tindakan pihak-pihak tertentu hendak mengadakan protes jalanan menjelang sambutan tahun baharu 2014.
"Apa yang berlaku berpunca daripada keengganan penganjur Himpunan Guling Kerajaan mengemukakan notis pemberitahuan dalam tempoh 10 hari kepada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan ini.
"Ini jelas sekali bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang digubal bagi memberikan pihak polis kuasa untuk memastikan keamanan negara terus terpelihara.
"Akta ini bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara sebaliknya memastikan protes diadakan di kawasan yang tidak menjejaskan aliran trafik dan tidak mengganggu acara lain seperti majlis sambutan tahun baharu," katanya yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pengaman Malaysia (YPM).
Beliau menjelaskan, pihak polis memerlukan notis pemberitahuan awal daripada penganjur bagi membolehkan semakan dilakukan bagi memastikan ia tidak dianjurkan oleh pihak-pihak yang mempunyai rekod buruk kerana pernah mencetuskan kekacauan sebelum ini.
"Untuk memastikan tahun 2014 terus aman, rakyat dinasihatkan tidak menyokong pihak-pihak yang sengaja melanggar undang-undang untuk meraih keuntungan peribadi atau menjayakan matlamat jahat parti politik yang diwakili mereka sahaja," ujar beliau.
Dalam pada itu, katanya, semua pihak hendaklah menyokong Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang telah diluluskan oleh Dewan Negara baru-baru ini.
Katanya, pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 itu membolehkan pihak polis melakukan penahanan tanpa perbicaraan atas kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah.
"Nampaknya kewujudan akta baharu ini telah memberikan kesan psikologi apabila jenayah berat yang berleluasa selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan semakin berkurangan.
"Jangan ada mana-mana pihak yang terus mendesak supaya Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dihapuskan dengan alasan ia menyekat hak asasi manusia kerana langkah ini hanya akan menyebabkan penjenayah tegar ketawa gembira," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, operasi menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) hendaklah dijalankan secara berterusan dan bukannya bermusim.
"Ia akan menakutkan PATI dan memberi kesan psikologi kepada mereka supaya memilih jalan sah untuk bekerja di negara ini.
"Operasi berterusan ini akan memastikan kegiatan PATI menggunakan MyKad palsu dapat dicegah sebelum mereka terlibat dengan jenayah lain," katanya.
Sementara itu, Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman menggesa kerajaan supaya menguatkuasakan dengan lebih tegas Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010 serta Akta Persaingan 2010.
Beliau berkata, langkah itu adalah penting bagi menghalang peniaga menaikkan harga sesuatu barangan tanpa sebab.
"Penguatkuasaan akta ini akan membolehkan kerajaan bertindak dengan segera terhadap peniaga yang mengaut keuntungan secara berlebihan termasuk menjadikan alasan kenaikan harga minyak untuk menaikkan harga barangan berkali-kali ganda.
"Para peniaga berani bertindak sedemikian kerana telah bersekongkol dengan pemborong dan syarikat pengeluar yang telah memonopoli pasaran.
"Sepatutnya kerajaan memastikan wujud persaingan yang sihat dalam kalangan peniaga sehingga membolehkan harga barangan turun ke paras yang munasabah," katanya.
Tambah beliau, sebarang permohonan baharu untuk menaikan caj perkhidmatan seperti tol dan tambang bas sekolah hendaklah diteliti dengan mendalam bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.
"Kalau kenaikan ini dibuat dengan alasan tidak munasabah atau semata-mata bagi membolehkan syarikat mengaut lebih banyak keuntungan, ia mestilah ditolak oleh kerajaan," tegas beliau.
Menurutnya, kerajaan juga hendaklah memastikan kadar inflasi negara yang dijangka naik kepada tiga peratus tahun depan berbanding 2.8 peratus sekarang tidak terus meningkat.
"Perlu ada langkah proaktif bagi mengurangkan kenaikan kadar inflasi yang antaranya berpunca daripada peningkatan tarif elektrik dan perlu ada langkah-langkah untuk mengurangkan impaknya kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.
Selain itu, katanya, agihan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hendaklah diperluaskan kepada golongan pertengahan yang dilihat turut menerima kesan daripada kenaikan harga barangan dan minyak.
"Ada golongan pertengahan di bandar yang mempunyai anak ramai yang hanya cukup-cukup makan sahaja dan malang sekali mereka tidak layak mendapat BR1M yang khusus kepada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah.
"BR1M juga hendaklah diagih secara bulanan bagi memastikan penerima mendapat faedah untuk jangka masa panjang.
"Kalau boleh BR1M disalurkan dalam bentuk baucar atau kad yang boleh ditukarkan dengan barangan keperluan harian yang penting untuk rakyat," ujarnya.
Tegas beliau, pemberian wang tunai secara sekali gus tidak bermanfaat kerana penerima mungkin menghabiskannya untuk membeli barangan bukan keperluan.
NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20140101