kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nuri masih boleh berkhidmat - Bekas juruterbang

LAPORAN Utusan Malaysia pada 27 Disember 2013 bertajuk Tamatkan Khidmat Nuri menarik perhatian saya.

Saya mengandaikan laporan tersebut ada kaitan dengan nahas helikopter Nuri di Pulau Perak pada 22 Disember 2013.

Pada pemahaman saya, saranan agar pesawat Nuri ditamatkan perkhidmatan berlandaskan kepada usianya yang telah mencecah 45 tahun.

Helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Saya bukannya seorang pakar dalam bidang penyelenggaraan pesawat. Pengetahuan saya terhadap subjek ini hanyalah berpandukan kepada pengalaman ketika berkhidmat dalam TUDM sebagai seorang juruterbang Nuri suatu ketika dahulu.

Pada pengamatan saya, nahas sesebuah pesawat tidak semestinya disebabkan usia pesawat. Usia menjadi faktor sekiranya pesawat tidak diselenggarakan dengan betul. Ini mungkin disebabkan produksi pesawat tersebut dihentikan.

Ini memungkinkan komponen pesawat tiada dalam pasaran. Justeru, operator mengambil risiko tinggi jika pesawat terus digunakan.

Seperti kereta, pesawat juga mempunyai jadual penyelenggaraan. Malah, pengawasan senggaraan begitu ketat sekali. Secara ringkasnya, TUDM menetapkan pemeriksaan berkala untuk semua pesawat dalam inventorinya.

Sebagai contoh, Nuri diselenggara mengikut jadual Check 1 hingga 5. Malah, pemeriksaan bermula sebelum/di antara/selepas setiap penerbangan. Apa jua kerosakan tidak 'disorok'; semua dicatat dalam buku log pesawat.

Check 5 adalah dimana Nuri perlu menjalani baik pulih (overhaul). Ini berlaku apabila jam penerbangan mencecah jam tertentu. Di waktu itu, pesawat 'dibogelkan' ke bare metal. Ia akan diperiksa dengan teliti menggunakan pelbagai kaedah, termasuk x-ray, bagi menentu ketiadaan sebarang rekahan dan kekaratan.

Komponen-komponen juga dibaik pulih atau diganti sama ada mengikut jam penerbangan atau sesuatu tempoh.

Kotak utama gear (main gear box) dan enjin, misalnya, akan dibaik pulih apabila mencecah jam penerbangan tertentu. Malah, kipas utama (main rotor blades) pula akan terus diganti; ia tidak dibaik pulih.

Sebelum Nuri mencapai tahap pemeriksaan tersebut, ia turut melalui beberapa kali proses Check 1 hingga 4.

Selepas dibaik pulih, Nuri boleh dianggap seperti pesawat baru; 'kosong' jam penerbangan. Sama juga komponen-komponen yang telah dibaik pulih.

Justeru, pandangan yang 'usia' sinonim dengan kemalangan seharusnya tidak timbul sama sekali. Banyak faktor penyebab sesuatu insiden, seperti keadaan cuaca dan juga kesilapan manusia.

Malah, pihak TUDM telah mengumumkan bahawa: "Pendaratan cemas di Pulau Perak, Kedah pada 22 Disember lalu bukan berpunca daripada masalah teknikal", petikan Utusan Malaysia bertarikh 28 Disember 2013 bertajuk Masalah teknikal bukan punca Nuri mendarat cemas.

Kecemerlangan helikopter Sikorsky model S61 (Nuri model S61A-4) tidak boleh dipertikaikan. Presiden Amerika Syarikat mengguna model ini sehingga sekarang untuk penerbangan dari Rumah Putih ke lokasi berhampiran, seperti lapangan terbang. Syarikat Westland, UK, dan Agusta, Itali, diberi lesen untuk mengeluarkan model ini. Produksi Westland bergelar 'Sea King' manakala Agusta model AS61N.



MEJAR NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN TUDM (B) Jitra   Utusan Malaysia Forum 20140102
Tags: nuri, pesawat
Subscribe

  • Ergonomi, Peranti Mudah Alih dan Tempat Kerja

    Sejak Mac 2020, kebanyakan institusi mula dan diarahkan untuk bekerja di rumah. Bagi institusi pendidikan terutamanya kerja mendidik dijalankan…

  • Perjalanan panjang telefon awam

    SEJARAH dan perkembangan telefon awam di negara ini bermula ketika zaman pemerintahan British sekitar tahun 1930-an. Menurut Ketua Muzium Telekom,…

  • Perlu bantuan operator

    A/B Black merupakan telefon awam buatan British yang dilengkapi dengan sebuah telefon lengkap dail bagi memberi kemudahan kepada sesiapa yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments