?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Hargai kesenangan hidup sekarang

KEHIDUPAN bagi kebanyakan generasi sebelum kemerdekaan negara dan 20 tahun selepas kemerdekaan bukanlah mudah. Dengan pendapatan yang kecil, menyara anak-anak bersekolah dan ekonomi yang baharu berkembang menjadikan kehidupan ala kadar namun bahagia menghadapi segala kesukarannya.

Makanlah apa yang ada. Jika ada wang lebih, makanlah makanan yang dianggap mewah dari pasar basah berhampiran atau orang menjual dengan motosikal. Yang sedikit dikongsi bersama-sama adik beradik yang ramai. Mandi di sungai dan perigi. Menangkap ikan di sawah, bermain wau selepas menuai, bergotong royong dan berderau untuk saling menolong dan menanam sayur di tanah yang kosong.

Walaupun harga barang agak tinggi mengambil kira pendapatan yang kecil ketika itu, kebanyakan diterima dengan hati terbuka. Bekerja keras untuk terus hidup dan membangunkan kehidupan termasuk sebagai buruh kontrak dan bertani di sawah, sendiri mahu pun kepunyaan orang.

Memiliki kereta sendiri adalah satu impian dan kemewahan bagi kebanyakan orang biasa, terutamanya yang berada di kampung pedalaman. Menonton televisyen hitam putih, atau kemudiannya warna adalah satu keseronokan luar biasa.

Menonton wayang hanyalah pada hari raya atau musim-musim tertentu di bandar terdekat. Hiburan yang ada adalah sesekali wayang pacak atau pun penyanyi dari ibu kota datang membuat persembahan.

Kebanyakan ibu bapa memasang cita-cita untuk mengubah kehidupan melalui proses pembelajaran anak-anak, untuk berjaya dan menikmati kesenangan dan keselesaan hidup.

Senario di atas bagi kebanyakan generasi sekarang adalah cerita dongeng dan akan diketawakan. Anak-anak hari ini, terutamanya yang lahir selepas 20 tahun kemerdekaan negara mengecapi nikmat kesenangan hidup yang sangat berbeza. Tentunya nilai-nilainya juga telah banyak berbeza.

Apa yang dianggap mewah satu ketika dahulu, kini adalah keperluan yang hakiki yang jika tidak memilikinya terasa begitu sukar untuk menjalani kehidupan harian.

Sebut sahaja keperluan rumah tangga, daripada peti sejuk, televisyen (termasuk beratus saluran berbayar), kipas angin, penghawa dingin, pinggan mangkuk mahal, makan di restoren mahal, makanan segera, telefon bimbit (termasuk yang terkini dengan keupayaan untuk melayari internet), kereta dan pelbagai lagi, yang sesetengah orang akan tersenyum sinis dan menganggapnya keterlaluan.

Hakikatnya, kita payah untuk bezakan antara keperluan, kemudahan dan kesenangan. Dalam dunia komersial hari ini, semuanya dianggap perlu dan jika kurang, akan dianggap menyusahkan atau dianggap kita tidak memahami kehendak anak muda dan generasi kini.

Malah, ibu bapa yang dahulunya melalui hidup susah juga memberikan segala yang dianggap keperluan kepada anak-anaknya dengan alasan untuk kemudahan dan istilah kehendak agaknya telah lama dipadamkan daripada kamus hidup kita.

Bayangkan sekarang ini anak-anak yang lulus cemerlang peperiksaan sekolah dihadiahkan dengan kereta. Itu baharu dalam kalangan kumpulan yang dikatakan berpendapatan sederhana. Lihat juga hadiah hari lahir, sambutan perayaan dan rumah terbuka, perkahwinan di hotel mewah atas alasan lebih mudah mengelolakannya dan pelbagai lagi kesenangan atau bagi generasi lama, kemewahan - yang diberikan kepada anak-anak.

Maka, kita tidaklah terkejut apabila sedikit kesusahan akan menjadi isu besar sehingga ingin menjatuhkan kerajaan. Tidak hairanlah juga apabila sebahagian anak-anak muda kita mudah sahaja dipengaruhi untuk mengadakan demonstrasi untuk membantah itu dan ini apabila kehendak atau apa yang dianggap sebagai keperluan mereka dijadikan mainan perasaan untuk mengambil tindakan yang boleh merosakkan kesejahteraan yang ada.

Adakah keselesaan dan kesenangan menjadikan sebahagian kita selesa dan bertindak di luar batas susila hanya apabila dipengaruhi oleh pihak tertentu. Perjuangan mahasiswa hari ini jangan disamakan dengan perjuangan mahasiswa era 70an. Kelaparan di Baling misalnya tidak sama dengan kesukaran hidup apabila harga barang melambung dan kos hidup meningkat pada hari ini dengan keperluan yang berbeza.

Tatkala kita marah dan berarak, pekerja asing yang menikmati kekayaan negara merayakan tahun baharu dengan kiriman wang untuk keluarga di kampung. Menghantar jumlah besar yang mengayakan keluarga mereka di Bangladesh, Indonesia, Filipina dan banyak lagi.

Apabila kos hidup meningkat, sememangnya semua kumpulan merasainya, tetapi jika kita tidak berusaha keluar dari lingkaran sukar yang ada seperti mana dilalui tatkala krisis ekonomi, hanya menuding jari dan mengambil tindakan yang lebih merosakkan keadaan, tentunya tidak ada masalah yang dapat diselesaikan.

Jawapannya ada pada kita semua. Kita perlu melihat semula definisi sesetengah nilai yang ada dalam hidup kita. Kita perlu bezakan di antara keperluan dan kehendak. Di antara kemudahan dengan kesenangan. Di antara kemewahan dengan keperluan sebenar.

Penyelesaiannya terletak di tangan sebahagian besar kita. Bekerja lebih keras untuk tingkatkan produktiviti. Membeli hanya yang perlu. Mengurangkan apa yang dianggap kehendak dan boleh dianggap kemewahan, mengurangkan sedikit kesenangan, memakai baju mengikut badan sendiri dan bersama-sama menangani setiap masalah, berikan pandangan yang dapat membantu menyelesaikan masalah malah boleh juga untuk membangunkan inisiatif untuk bersama-sama menanganinya.

Sikap ganas, menyalahkan orang, menyokong membuta-tuli, menidakkan apa yang orang lain buat akan hanya menimbulkan ketegangan sesama sendiri. Ketirisan, jika ada tidak boleh diselesaikan juga dengan ketirisan.

Kebijaksanaanlah yang akan membezakan seseorang itu dalam mengambil tindakan untuk menyelesaikan setiap cabaran. Kesenangan dan keselesaan jangan menjadikan kita alpa kerana pada akhirnya kita hanya mengundang kehancuran jika bersikap mudah, pandir dalam tindakan dan tidak sabar dalam mengejar kekuasaan.



MOHAMAD ABDULLAH ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Utusan Malaysia Online Rencana 20140106

Tags:

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow