kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berkesankah nanti?

SEHINGGA semalam kekosongan jawatan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum diisi.

Dikatakan pengisi kerusi nombor dua itu yang ditinggalkan Datuk Wan Ahmad Wan Omar kira-kira sebulan lepas akan dicadangkan oleh Majlis Raja-raja. Kemudian, pelantikan akan disah dan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sama ada sudah dikenalpasti atau belum, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof tidak khuatir sangat. Malah, beliau sebenarnya lebih sibuk memikirkan perkara yang lebih penting - soal persempadanan semula bahagian atau kawasan pilihan raya.

Difahamkan, di peringkat badan itu, dasar dan asas kerja-kerja persempadanan sedang dibuat. Cuma SPR belum mengumumkan secara rasmi tarikh untuk memulakan kerja-kerja persempadanan. Sebaik sahaja diumumkan, barulah kajian persempadanan semula itu dilakukan yang memakan masa dua tahun. Banyak proses dan prosedurnya. Antaranya, melibatkan kajian SPR negeri, bila akan dibawa dan dibentangkan di Parlimen, diluluskah? serta selepas itu melibatkan proses dipamer serta bantahan.

Selain soal persempadanan, isu lain melibatkan SPR yang besar, tidak ada.

Dan seperti biasa perkara melibatkan pendaftaran pemilih baharu berjalan seperti biasa. Mulai bulan ini (Januari 2014) pendaftaran pemilih untuk suku pertama (Januari-Mac) harus digerakkan untuk mencapai data yang banyak dalam Daftar Pemilih. Ketika ini pendaftaran suku keempat 2013 (Oktober, November dan Disember) belum diwartakan. Mungkin, sama ada hujung Januari atau awal Februari.

Apabila diwartakan nanti, barulah dapat diketahui berapa ramai jumlah yang belum mendaftar seperti mana tahun-tahun lepas yang setiap tahun boleh mencecah 500,000 pemilih baharu.

Selepas ini, menjadi tanggungjawab besar setiap parti untuk menggerakkan jentera mereka melakukan inisiatif menganjurkan program pendaftaran pemilih yang menginjak umur 21 tahun.

Cuma, kepada bakal-bakal pemilih baharu, jangan sibuk berdemonstrasi dan melakukan onar di jalanan. Sebab biasanya yang pergi 'melalak' ke sana sini, memaki hamun kerajaan tidak kira tempat dan masa, belum tentu mereka pengundi berdaftar. Di jalanan, tampak ramai, gah tapi belum tentu pergi mengundi. Kalau tak mengundi, apa hak mereka ini untuk berdemonstrasi dan merusuh? Memang 'menyeronokkan' merusuh, tapi peliknya sebahagian perusuh ini tidak mengundipun dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Dan jika sebelum ini, UMNO dan DAP, dua parti paling aktif mendaftarkan pemilih baharu, selepas ini diyakini parti-parti lain akan mengikut jejak sama. Inilah nanti menjadi cabaran besar buat jentera Barisan Nasional (BN). Sanggupkah jentera muda parti kerajaan (Pemuda, Puterinya) berhujan, berpanas untuk memastikan tunjang kuasa berkekalan di tangan?

Berbalik kepada persempadanan bahagian pilihan raya tadi, penulis difahamkan, tanggungjawab ini akan digalas SPR berdasarkan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan juga, SPR berkeyakinan tinggi bahawa persepsi pihak tertentu terutama pembangkang kononnya mereka tidak berlaku adil, sekali gus mendesak Abdul Aziz meletak jawatan atau apa sahaja isu-isu kecil yang menggugat kewibawaan suruhanjaya itu - akan terhakis sedikit demi sedikit.

SPR kali ini akan 'berwajah baharu' dengan pelaksanaan kerja-kerja persempadanan yang bukan semata-mata untuk memuaskan hati sebelah pihak, tetapi untuk semua parti politik lain.

Kajian persempadanan kawasan pilihan raya sudah tertangguh sejak 2011. Namun, untuk mengubah sesuatu perkara dalam Perlembagaan termasuk persempadanan semula, ia memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

Cuma yang perlu diingatkan - persempadanan semula bukan hanya diperlukan oleh kerajaan tetapi oleh rakyat yang mula mempertikai berkenaan jumlah pengundi di satu-satu kawasan. Keadaan tidak seimbang itu memerlukan kepada persempadanan semula.

Dan ini perlu dilakukan untuk tidak menzalimi hak rakyat

ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20140106

Tags: politik, spr
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments