kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Prestasi pendidikan kita merosot?

BEBERAPA orang rakan guru yang sedang berkhidmat bertanya kepada penulis, betulkah prestasi pendidikan di negara kita kian merosot? Pertanyaan mereka mungkin merujuk keputusan kajian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Jawatankuasa Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) yang meletakkan negara dalam kumpulan sepertiga bawah dalam kalangan negara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Kenyataan itu turut terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Baru-baru ini pula Laporan Bank Dunia menyatakan prestasi pelajar merosot akibat sistem pendidikan kita yang terlalu berpusat.

Sebagai pesara guru yang pernah berkhidmat lebih 35 tahun dalam bidang pendidikan, penulis menyangkal kenyataan rakan-rakan tersebut.

Ramai pelajar kita yang belajar di luar negara dan mendapat anugerah cemerlang.
Asasnya sudah tentu dibina sejak dibangku sekolah lagi. - Gambar hiasan

Ini disebabkan untuk menilai pencapaian pendidikan tidak boleh hanya melalui kajian yang ringkas dan melibatkan responden dalam bilangan yang kecil. Kajian yang komprehensif perlu merujuk kepada latar belakang sejarah, perbezaan lokaliti sekolah, kedudukan masyarakat majmuk, sistem pentadbiran negara dan dasar pendidikan kebangsaan.

Oleh itu penilaian terhadap keberkesanan pendidikan tidak mencukupi hanya bersandarkan kepada keputusan dua kajian iaitu PISA dan TIMMS sahaja.

Terdapat puluhan lagi kajian yang dilakukan oleh banyak badan antarabangsa. Ini termasuk dalam kalangan negara-negara OECD iaitu ‘Organisation for Economic Co-operation and Development’ atau kajian pembangunan pendidikan oleh UNESCO, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di antara kajian itu ialah ‘Student to Teacher Ratio by Country 2010' dilakukan oleh ‘Institute for Statistics, UNESCO.’ Kajian ini membuat perbandingan nisbah bilangan guru dengan pelajar di peringkat sekolah rendah terhadap 207 buah negara. Hasil kajian itu mendapati negara kita mempunyai nisbah 1 guru kepada 13 pelajar. Kedudukan negara berada di peringkat yang sangat baik jika dibandingkan dengan negara lain malah termasuk di beberapa negara maju.

Kajian lain ialah ‘National IQ Scores 2010' iaitu menilai tahap dan pencapaian inteligen pelajar berasaskan analisis IQ oleh Richard Lynn, Tatu Vanhanen dan Jelte Wicherts yang merupakan pakar psikologi dan sains politik. Kajian ini dilakukan dalam kalangan pelajar di 187 negara. Negara kita berada dalam kedudukan yang baik iaitu tempat ke-15 dengan jumlah skor 92 berbanding dengan negara yang berada di tangga pertama mendapat skor 108.

Kajian HDI atau ‘Human Development Index 1975-2005' merupakan program pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengukur tahap pembangunan melibatkan indikator kesejahteraan kehidupan, pencapaian pendidikan dan kadar pendapatan tahunan. Kajian ini meletakkan negara di tangga ke-63 daripada 159 negara di seluruh dunia. Analisis statistik daripada kajian ini membolehkan setiap negara mewujudkan kerangka rujukan dalam bidang ekonomi dan sosial untuk berbagai kegunaan.

Selain itu, GGG Index atau ‘The Global Gender Gap Index 2008' yang dibentangkan dalam World Economic Forum. Kajian ini dilakukan dengan kerjasama Universiti Harvard dan Universiti California, Berkeley. Ia melihat sejauh mana peluang dan tahap pencapaian pendidikan berdasarkan perbezaan jantina dalam kalangan 130 buah negara. Hasil kajian itu tidak mengecewakan kerana meletakkan negara dalam kedudukan pertengahan daripada keseluruhan negara yang dikaji itu.

Dalam kajian ‘Budget Expenditures 2013 Country Ranks’ melalui sumber rujukan CIA World Factbook 2013 didapati negara kita menduduki tempat ke-44 daripada 162 negara yang dinilai. Kajian ini menilai jumlah bajet tahunan negara yang diperuntukan untuk bidang pendidikan. Bajet 2012 berjumlah RM75 bilion di mana 21% daripadanya diperuntukkan bagi bidang pendidikan. Sudah tentu bajet yang besar itu akan memberi impak terhadap perkembangan sektor pendidikan. Tidak banyak negara yang menyediakan peruntukan terbesar untuk pendidikan seperti yang diamalkan oleh negara kita.

Baru-baru ini dalam kenyataan akhbar Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Dr. Faridah Abu Hassan menyatakan bahawa kajian PISA atau ‘Programme for International Student Assessment,’ tahun 2012 membuat penilaian membabitkan empat bidang iaitu Matematik, Sains, Bacaan dan Penyelesaian Masalah.

Menurutnya persampelan kajian ini melibatkan 164 buah sekolah dan responden seramai 5,729 orang pelajar Tingkatan 2 hingga 5. Kajian yang bermula tahun 2000 akan diadakan setiap tiga tahun sekali.

Sementara itu, kajian TIMMS atau ‘Trends in International Mathematics and Science Study’ dilakukan oleh ‘International Association for the Evaluation of Educational Achievement’ memberi fokus kepada isi kandungan kurikulum.

Kajian ini menguji apa yang hendak diajar dan apa yang dipelajari oleh pelajar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains yang diadakan setiap empat tahun sekali. Responden kajian terdiri daripada pelajar dalam satu kelas sahaja di Tingkatan 2 melibatkan 150 buah sekolah yang dipilih secara rawak.

Ternyata bahawa persampelan kedua-dua kajian PISA dan TIMMS tersebut adalah terlalu kecil jika dibandingkan bilangan sekolah yang berjumlah 10,000 buah dan pelajarnya mencecah hampir 5.4 juta orang. Tambahan pula kita mempunyai berbagai jenis sekolah dan kedudukan lokaliti yang berbeza di seluruh negara.

Dalam situasi lain perbandingan pencapaian pendidikan antara sebuah negara dengan negara lain boleh dipersoalkan kerana setiap negara mempunyai dasar dan matlamat pendidikannya yang berbeza dan tersendiri.

Baru-baru ini pula Pengarah Bank Dunia bagi Asia Tenggara, Ulrich Zachau menyatakan sistem pendidikan kita yang terlalu berpusat dalam mengawal pengambilan guru dan rancangan perbelanjaan menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian mereka.

Menurut laporan Bank Dunia sistem berpusat di mana Kementerian Pendidikan menetapkan perbelanjaan, pengambilan tenaga pengajar, sukatan pelajaran dan buku teks menyebabkan prestasi sesebuah sekolah sukar untuk diakses.

Sesungguhnya pentadbiran secara berpusat bukanlah suatu yang baharu. Sistem ini diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan dan turut melibatkan semua kementerian. Penulis berpendapat dengan wujudnya Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah berupaya mengurangkan kerenah birokrasi malah memudahkan sistem penyampaian, penyaluran peruntukan dan penyediaan segala keperluan sekolah.

Sistem pentadbiran berpusat diperlukan kerana pendidikan mempunyai peranan besar dalam pembangunan negara dan untuk merealisasikan agenda nasional seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Natijahnya kualiti pendidikan kita tidak merosot. Setiap tahun ribuan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kini tumpuan tidak hanya di negara penutur jati Bahasa Inggeris tetapi beralih ke negara lain seperti Perancis, Jerman, Mesir, Russia, Korea Selatan dan Jepun.

Ramai yang menerima anugerah dan mencapai keputusan cemerlang dalam pengajian mereka. Justeru kejayaan dan kecemerlangan itu sudah tentu asasnya telah dibina ketika di bangku sekolah lagi!

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniSZA. Utusan Malaysia Online Rencana 20140108

Tags: pendidikan
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments