kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Program baik, pelaksanaan belum tentu

Sehari lagi 2013 bakal melabuhkan tirainya, sekali gus meninggalkan dunia pendidikan negara dengan pelbagai peristiwa untuk dikenang.

Dunia pendidikan negara juga tidak ketinggalan dihimpit pelbagai isu panas dan kontroversi walaupun sektor pendidikan dianggap ‘kurang popular’ berbanding ekonomi dan politik.

Antara isu hangat dunia pendidikan negara ialah pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ia dilihat satu kerugian kerana boleh merencatkan usaha memperkasakan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.


KELEMAHAN dalam SPPBS memberi tekanan hebat kepada guru, sekali gus menjejaskan tumpuan golongan itu terhadap tugas hakiki.
- Gambar hiasan

Walaupun diperkasakan dengan dasar MBMMBI iaitu ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris’, pemansuhan PPSMI dianggap kerugian besar kepada negara untuk jang­ka panjang.


Kebimbangan itu turut disuarakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat bahasa Inggeris paling sesuai untuk mengajar subjek Sains dan Matematik kerana ia adalah bahasa ilmu yang mampu menjamin Malaysia disenaraikan sebagai negara maju di dunia.

Selain itu, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan menurun daripada 0.06 mata kepada 2.75 berbanding 2.69 yang dicatatkan pada 2012.

Matematik mencatat GP­MP 2.27 berbanding 2.24 pada 2012 dan Sains dengan GPMP 2.36 berbanding 2.34 pada 2012.

Ia dikatakan berpunca­ daripada pemansuhan PP­SMI.

Turut menjadi perbincangan hangat ialah keluhan dan rintihan guru yang terpaksa berdepan bebanan kerja melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Walaupun matlamat asalnya memudahkan tugas guru menghantar skor kepada pihak pusat, ia menjadi igauan ngeri guru dan membebankan tugas mereka.

Sistem Pangkalan Data PBS yang lemah membuatkan guru perlu memasukkan data pada waktu lewat malam dan membuat­kan mereka mengantuk pada waktu pagi.

Ini menjejaskan mutu pengajaran dan pembelajaran sehingga pelajar tidak mendapat pembelajaran sempurna kerana waktu guru dihabiskan pada tugas perkeranian, selain sibuk memasukkan data dan mengemaskan rekod.

Walaupun banyak rungutan dan rintihan, belum ada penambahbaikan dilakukan bagi mengatasi masalah itu.

Selain itu, isu pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kepada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mencetuskan pelbagai reaksi.

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, penjelasan PBS masih samar, bahkan kurang menyeluruh.

“Hal ini menimbulkan kebimba­ngan banyak pihak, apatah lagi PMR sudahpun berakhir tahun ini, sedang­kan ibu bapa yang mempunyai anak di tingkatan tiga tahun depan masih tidak mendapat gambaran penuh mengenai PBS.

“Justeru, pelaksanaan PBS memerlukan penjelasan mendalam dan menyeluruh supaya pihak pelaksana membabitkan guru dan sekolah dapat mendalami kehendak sebenar sistem baru itu.

“Pihak bertanggung­jawab seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) perlu menerangkan dengan jelas mengenainya bagi mengelak sebarang masalah,” katanya.

Turut menarik perhatian dunia pendidikan tempatan apabila Pilihan Raya Kampus (PRK) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada tahun ini berlangsung aman tanpa sebarang provokasi melampau.

Walaupun sebelum ini banyak kemelut melanda PRK terutama membabitkan isu nasional, tahun ini calon yang bertanding lebih menumpukan kepada isu dalaman kampus terutama kebajikan siswa.

Bagaimanapun, masih ada segelintir kecil siswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang sanggup memperjudikan masa depan dengan menyertai pelbagai demonstrasi bagi menyuarakan ketidakpuasan hati.

Meskipun Akta Universiti dan Kolej (AUKU) sudah dipinda dengan membenarkan golongan siswa terbabit dalam kancah politik sihat, masih ada yang bertindak di luar garisan norma dibenarkan.

Isu transformasi KPM terutama menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 turut mendapat perhatian.

Antara misi PPPM ialah meningkatkan lagi taraf profesion keguruan menjadi lebih berprestij dan elit dengan pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi profesion pilihan.

Menerusinya, guru akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi membantu guru mencapai potensi penuh.

Bagaimanapun, timbul persoalan, bagaimanakah nasib graduan lain yang tidak mampu mencapai tahap itu dan ke manakah mereka akan ditempatkan?

Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Noor Shah Saad berkata, kelayakan bukan satu jaminan kukuh untuk menjadi guru yang baik kerana masih banyak lagi latihan atau rutin perguruan perlu diikuti sebelum mahir menjalankan tugas.

“Apa disasarkan KPM (mengenai kelayakan guru) adalah usaha yang baik bagi mencerminkan wawasan melahirkan guru berkelayakan cemerlang untuk masa depan.

“Namun, ia perlu memikirkan juga masalah lain yang mungkin timbul akibat pelaksanaan dasar itu seperti keciciran graduan tidak berkelayakan memenuhi prasyarat ditetapkan.

“Mereka yang memenuhi taraf kelayakan pula, adakah boleh menjadi guru yang baik dengan hanya bersandarkan keputusan pada sehelai kertas semata-mata?” katanya.

KPM juga berhasrat me­ngubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti latihan guru bertaraf dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan praperkhidmatan semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi yang diperlukan murid.

Turut menerima suntikan pembaharuan apabila sekolah vokasional dinaik taraf sepenuhnya kepada kolej vokasional sebagai persediaan melahirkan pelajar berkemahiran tinggi serta tenaga mahir dalam sektor industri untuk tempoh jangka panjang.

Tags: pendidikan, program
Subscribe

  • Skor markah bukan tujuan peperiksaan

    ISTILAH penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Gred Inflasi Stagflasi

    Apa yang kita lihat bukan inflasi gred: ini adalah tahap stagflasi Ini adalah peraturan umum bahawa apabila kuantiti item meningkat, nilai…

  • Melengkung Gred: Apa yang tidak kena?

    Istilah penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments