kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina

CALON KALAH TERPINGGIR

AKHBAR China Press bertarikh 6 Januari 2014 menyiarkan artikel mengenai pelantikan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai Setiausaha Agung MCA yang baharu manakala Ketua MCA Bahagian Teluk Intan, Datuk Seri Kuan Peng Soon sebagai bendahari agung parti itu.

Artikel bertajuk ‘Kabinet MCA sandiwara melucukan’ yang ditulis oleh penulis samaran, San Sian disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Menurut artikel itu, pelantikan kedua-duanya membuktikan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hanya memilih orang yang beliau percaya bagi memegang jawatan berkenaan. Bagaimanapun, pernahkah anda lihat presiden yang mempunyai kuasa besar melantik peneraju jawatan tertinggi daripada kalangan lawan yang tewas bertanding dalam pemilihan parti?

Presiden berjiwa besar boleh diumpamakan seperti hulubalang yang bersikap terbuka sehingga mampu menampung kapal besar dalam hati mereka. Yang menjadi fenomena dalam MCA sekarang adalah pihak yang menang akan melantik orang kepercayaan sendiri bagi memperkukuhkan kuasa dan jawatan mereka.

Jika diambil musuh-musuh politik sendiri, ia seperti pepatah Cina iaitu “menjemput serigala masuk ke dalam rumah". Ia juga seperti membela seekor harimau yang boleh mengganas pada bila-bila masa. Ini sudah pasti mengundang bala dan kecelakaan.

Tiong Lai bukanlah bodoh untuk melantik musuh-musuhnya sendiri yang tewas bertanding seperti calon jawatan presiden, Gan Ping Sieu sebagai setiausaha agung.

Beliau juga tidak akan melantik seorang usahawan berjaya seperti Datuk Donald Lim Siang Chai yang turut kalah dalam merebut jawatan timbalan presiden sebagai bendahari MCA?

Jika beliau mengambil orang yang tidak memihak kepada dirinya, dia sudah tentu akan merasa tidak selesa.

Segala yang dilakukan oleh Tiong Lai sekarang umpama kata pepatah Cina, “selepas dapat menyeberangi sungai, jambatan dirobohkan". Kemenangannya menjadi presiden juga bermakna beliau telah dapat merentasi lautan dan sudah menjadi dewa walaupun menang dengan majoriti tipis berbanding Ping Sieu.

Mereka yang berkuasa juga melantik anak bekas presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Pengerusi Perhubungan MCA Perlis. Datuk Chua Tee Yong dilepaskan untuk menjaga pekan kecil di Perlis berdekatan dengan Bukit Kayu Hitam yang masyhur dengan permainan bunga api.

GUAN ENG SUDAH BERUBAH?

ISU Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggunakan kereta rasmi baharu jenis Mercedes-Benz S300L bernilai RM657,218 turut diulas oleh China Press dalam artikel bertarikh 8 Januari 2014.

Artikel oleh Goh Kah Hau bertajuk ‘Lim Guan Eng, kamu sudah berubah ke?’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Pada 2008, Guan Eng mengkritik kerajaan Terengganu kerana membeli kereta Mercedes-Benz dalam keadaan negara menghadapi tekanan ekonomi. Hari ini, di saat-saat harga barangan sedang naik, beliau menukar kenderaan. Kenapa dalam masa dua bulan sudah dua kali menukar kenderaan rasmi termasuk sebelum ini kereta Toyota Camry 2.5?

Kenderaan yang ditukar lebih mahal daripada yang terdahulu (walaupun dikatakan telah mendapat potongan harga). Adakah pembelian benda-benda yang mahal itu, bukan tindakan yang salah?

Sebelum ini, sesuai dengan status sebagai bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pertama yang menjadi ketua menteri, Guan Eng secara agresif berkempen supaya pemimpin negeri dan kakitangan kerajaan berjimat cermat dan beliau sendiri naik kapal terbang kelas ekonomi.

Tetapi selepas lima tahun memerintah dan setelah menang lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), beliau lupa diri.

Beliau menjadi ketua menteri yang lebih suka bergaya. Jawapan beliau berhubung isu menukar kenderaan itu bukan sahaja dihentam oleh Barisan Nasional (BN) malah turut dikritik oleh pemimpin-pemimpin pembangkang.

Diharapkan Guan Eng tidak lupa bahawa dalam pemilihan semula DAP Pusat baru-baru ini, undi yang beliau peroleh telah merosot.

Selain itu, semasa pemilihan DAP Pulau Pinang, ramai orang beliau telah tewas. Ini jelas menunjukkan dalam parti itu, sudah ramai yang tidak menyukai beliau.

Tindakan beliau yang tergesa-gesa menukar kenderaan rasmi mengecewakan ahli-ahli DAP kerana mereka tidak mempunyai alasan kukuh untuk mempertahankannya.

SELESAI SEGERA MASALAH SJKC

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 4 Januari 2014 menyiarkan artikel mengenai masalah yang sedang dihadapi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Artikel bertajuk ‘Antara kekurangan guru dan SJKC bersaiz kecil’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman C7.

Fenomena pertama yang dihadapi SJKC sejak puluhan tahun adalah masalah kekurangan guru dan fenomena kedua, isu jumlah kemasukan murid yang kecil.

Dua fenomena yang agak luar biasa ini menyebabkan SJKC berada dalam kedudukan membimbangkan.

Mengikut laporan tidak rasmi, SJKC kekurangan lebih 1,000 guru. Walaupun Kementerian Pendidikan telah meluluskan 300 guru sementara berkelulusan universiti, ia belum dapat menyelesaikan masalah.

Sekarang persekolahan sudahpun bermula. Sepatutnya kementerian melantik secara sah guru yang layak itu untuk mengisi kekosongan jawatan di SJKC.

Dalam pada itu, fenomena kekurangan murid di SJKC juga perlu diberi perhatian.

Apa yang menyinggung perasaan adalah murid bukan Cina melebihi murid Cina di sekolah berkenaan. Tetapi jika sekolah berkenaan hanya mempunyai murid Melayu dan India dan tiada langsung murid Cina, adakah ia masih boleh digelar SJKC?



Utusan Malaysia Online Rencana 20140109
Tags: dap, mca, politik, sekolah, sjkc
Subscribe

  • Perlukah Menyuruh Mereka Meletak Jawatan?

    Maka dengan ini ‘sila letak jawatan’ merupakan catatan di media. Kegagalan para Menteri (termasuk Menteri Kanan) , ahli Parlimen yang…

  • Keserasian Pasukan Negara?

    Pasukan Harimau Malaya kini sedang bersiap sedia untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang baki pusingan keduanya akan disambung di…

  • Keserasian dalam pasukan bola, politik

    Pasukan Hari Malaya kini sedang bersiap sedia ke Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang baki pusingan keduanya akan disambung di Dubai,…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments