kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Adat budaya gelanggang satukan Melayu

Jati diri bangsa perlu dipertahan

Di Malaysia, boleh dikatakan hampir semua rakyat pernah mengalami alam persekolahan. Semiskin mana sekali pun, ibu bapa sedaya upaya berusaha menghantar anak mereka ke sekolah. Sebahagian besar rakyat sedar pentingnya pelajaran, walaupun sewaktu bersekolah dahulu, mereka mengabaikan pelajaran. Setelah menjadi ibu atau bapa, mereka memastikan anak mendapat pendidikan secukupnya. Ada yang menjadikan diri mereka model sebagai galakan kepada anak untuk maju dalam pelajaran. Jika ibu bapa itu berjaya, mereka akan meminta anak mengikuti jejak langkah mereka, manakala jika daripada kumpulan yang tidak berjaya dalam pelajaran, diri mereka juga dijadikan contoh supaya anak tidak mengikut jejak apa yang mereka lakukan dahulu. Ada yang sanggup mengurangkan keperluan harian lain asalkan belanja persekolahan anak disediakan terlebih dahulu.


Jika mampu, mereka menghantar anak ke sekolah swasta yang belanjanya tinggi sejajar dengan mutu pembelajaran disediakan. Ramai yang menyesal kerana sewaktu bersekolah mereka lebih banyak bermain. Mereka tidak kisah pun harapan ibu bapa. Tetapi, setelah melihat kejayaan orang lain, khasnya yang berjawatan dan bergaji besar kerana tekun belajar, mereka menyesal tidak bersungguh sewaktu alam persekolahan. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, tiada guna. Itulah sebabnya mereka berazam menyekolahkan anak setinggi yang boleh supaya berjaya dalam hidup. Mereka mahu menebus kesalahan yang pernah mereka lakukan dahulu.


Disebabkan terlalu ghairah, anak yang baru lima tahun sudah dihantar ke taman didikan kanak-kanak. Walaupun ada rakyat negara ini tidak bersekolah atas alasan kemiskinan, ada faktor lain yang menyebabkan keadaan itu berlaku. Ia mungkin kerana anak mempunyai masalah kesihatan, malas, sekolah jauh atau ibu bapa tidak peduli.

Sekolah didik generasi beradab

Di Malaysia, sekali pun ibu bapa tidak mampu atas sebab kemiskinan, jika diusahakan bersungguh-sungguh pasti anak itu dapat dihantar ke sekolah. Sudah ramai anak daripada keluarga miskin dan daif dapat ke sekolah ditaja oleh pelbagai pihak. Yang penting, jika ada kemahuan, pasti ada jalan, ada pihak yang akan membantu.

Sebaliknya, disebabkan masalah mereka didiamkan, anaklah yang menjadi mangsanya. Selain menimba ilmu, sekolah tempat anak dididik supaya menjadi manusia beradab dan beradat.

Dalam sistem pendidikan di Malaysia, setiap rakyat belajar mengenai adat dan adat secara langsung dan tidak bermula di sekolah. Secara langsung melalui buku mengikut mata pelajaran tertentu, manakala secara tidak langsung menerusi nasihat guru, pergaulan sesama rakan sekolah dan pengalaman peribadi murid serta pelajar. Sekolah mana sekali pun di negara ini sentiasa mendidik murid dan pelajar beradat dari segi tingkah laku, berfikiran rasional dan mengikut perubahan serta berfikiran logik, saintifik dan berperi kemanusiaan.

Sistem sekolah menolak murid dan pelajar tidak beradat, yang menolak kebaikan, kemajuan, kedamaian dan menafikan perkara baik. Tidak ada sekolah yang mengajar murid dan pelajarnya cara berdemonstrasi.

Meskipun dalam sistem politik dunia, demonstrasi dianggap amalan demokrasi, penunjuk perasaan perlu akur kepada adat dan adab. Jika tujuan berdemonstrasi untuk menimbulkan kekecohan, ia dianggap tidak beradab dan beradat.

Hidup berasaskan adat

Masyarakat Malaysia cintakan keamanan dan kesejahteraan. Sebarang tindakan yang boleh mencetuskan gejala tidak baik, adalah dilarang. Bagi orang Melayu, khasnya yang berbeza ideologi politik, perlu diingat mereka hidup berasaskan adat yang turut diamal sebahagian besar orang sebangsa. Orang Melayu, walau apa juga ideologi politik tetap mengendung adat. Jika menolak adat, mereka akan kehilangan jati diri kemelayuannya.

Ramai yang mengharapkan Melayu dapat disatukan melalui adat bertunjangkan kepada suasana politik semasa dan Islam seperti yang diakui bahawa agama dijunjung, adat dan warisan dikendung. Jika agama dan adat ini seiring untuk menyatupadukan Melayu, insya-Allah, orang Melayu akan berada dalam penyatuan walaupun pemikiran politiknya berbeza.

Dalam konteks penyatuan orang Melayu, khasnya setelah kegagalan pelbagai percubaan, mereka yang terbabit perlu melihat peranan yang boleh dimainkan institusi adat yang bukan saja melindungi adat Melayu tetapi juga ke arah menyatupadukan bangsa. Satu pemikiran baru berhubung soal adat ini perlu diberi pertimbangan wajar berasaskan peranan yang boleh dimainkan untuk menyatupadukan bangsa.

Jika budaya boleh menyatupadukan bangsa, apatah lagi adat yang sudah menjadi darah daging orang Melayu. Dalam budaya, tidak ada tarian Melayu untuk UMNO atau PAS semata-mata, begitu juga tidak ada adat Melayu hanya untuk UMNO atau PAS. Adat Melayu adalah untuk semua bangsa Melayu.


Mior Kamarul Shahid Berita Harian Online Rencana 10/01/2014
Tags: adat, budaya, melayu, sekolah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments