kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengabadikan fahaman kesederhanaan

PERBUALAN singkat dengan seorang kakitangan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) baru-baru ini, memberikan penulis kesedaran peri pentingnya kita terus mendokong kedaulatan undang-undang dalam konteks kehidupan kita. Kakitangan Petronas tersebut menceritakan bagaimana rakan-rakannya yang berada di Sudan Selatan, sedang berhadapan dengan situasi risiko kehilangan nyawa yang serius.

Tindakan pantas sebuah syarikat petroleum yang dihormati di seluruh dunia seperti Petronas membawa pulang kakitangan ke Malaysia adalah suatu usaha yang sangat berani. Keluarga kakitangan syarikat tersebut tidak boleh dibiarkan terus khuatir dengan apa yang bakal menimpa suami atau sanak-saudara mereka dalam keadaan serba tidak menentu.

Kita bersyukur kerana semua kakitangan warga Malaysia selamat dan tidak terlibat dengan suasana politik kacau-bilau di negara tersebut. Cukup malang, dua buah negara yang mempunyai potensi pembangunan ekonomi yang cemerlang, akhirnya terpaksa tunduk dengan suasana kekacauan dan ketidakstabilan.





RIBUAN rakyat Sudan terpaksa berlindung di pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Juba di Sudan Selatan ketika keganasan semakin merebak ekoran pemberontakan oleh bekas Timbalan Presiden, Riek Machar daripada puak Nuer terhadap kerajaan pimpinan Presiden Salva Kiir, yang berketurunan Dinka. - AP

Tanpa sebarang kekacauan politik, mahupun suasana huru- hara, Sudan Selatan sahaja dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi hampir 35% dalam tahun 2014 ini. Bayangkan, sebuah negara Islam yang mempunyai sumber sedemikian besar, mampu membangun ekonomi dan kesejahteraan rakyat dengan lebih molek, sekiranya sistem politik, ekonomi dan perundangan mereka berada di tahap yang terbaik.

Potensi Sudan dan Sudan Selatan bukannya kecil. Berdasarkan data Oil and Gas Journal (OGJ) di samping statistik yang dikeluarkan BP, kedua-duanya mempunyai simpanan minyak hampir lima ribu bilion barrel. Simpanan gas juga besar dan mempunyai potensi ekonomi yang amat positif.

Sudan dan Sudan Selatan mula terpisah sejak Julai 2011. Walaupun kebanyakan medan minyak berada di Sudah Selatan, namun Sudan masih mempunyai fasiliti paip minyak yang diperlukan Sudan Selatan. Jika menurut prinsip 'menang-menang', seharusnyalah dua buah negara adik-beradik tersebut perlu merebut peluang untuk mengambil pendekatan sederhana dan berdiskusi.

Malangnya, ia tidak berlaku. Bermula Januari 2012, sehingga sekitar April 2013, Sudan Selatan menghentikan sama sekali pengeluaran minyak. Bayangkan, kerugian yang terpaksa ditanggung kedua-dua buah negara, hanya kerana kegagalan mencari jalan penyelesaian bersifat sederhana.

Politik Sederhana

Penulis memulakan artikel ini dengan memberikan gambaran bagaimana amalan politik yang tidak bersifat 'wasatiyyah' dan sederhana, pada hakikatnya akan merugikan ekonomi dunia Islam itu sendiri. Apa yang berlaku di Sudan dan Sudan Selatan tersebut hanyalah tamsil dan contoh.

Dua negara, yang pada hakikatnya mempunyai DNA manusiawi yang sama, tidak mampu duduk semeja dan mendahulukan kepentingan rakyat dan umat. Kesudahannya, rakyat terbiar miskin. Undang-undang rimba mula mengambil alih suasana politik, yang akhirnya menawarkan kekacauan untuk jangka masa panjang.

Kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, bahawa cukup mudah untuk merosak fabrik sosial dan kestabilan politik, apabila yang menjadi keutamaan adalah kepentingan kumpulan yang kecil. Sekiranya kita mampu memberikan keutamaan kepada prinsip 'wasatiyyah' dan kesederhanaan, pasti lebih banyak manfaat yang boleh kita realisasikan sebagai satu umat yang bersatu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan sambutan Hari Krismas peringkat kebangsaan, menyentuh sedikit bagaimana kita perlu melihat kepada unsur kebersamaan - berbanding terlalu memberi tumpuan kepada perbezaan.

"Saya pernah sebut saya tidak berminat untuk memenangi sesuatu pertengkaran berhubung sesuatu isu. Saya hanya memikirkan bagaimana mencapai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang sewajarnya untuk negara ini. Inilah tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri Malaysia," kata Perdana Menteri.

Dalam bahasa yang mudah dan menggunakan landasan 'fiqh awlawiyyat - fiqh keutamaan' sekalipun, kita perlu mendahulukan sesuatu yang lebih membawa manfaat kepada umat secara keseluruhannya.

Potensi Malaysia 2014

Kita wajar memanjatkan doa dan harapan, agar Malaysia akan mengisi tahun 2014 dengan pencapaian yang lebih cemerlang dalam segala bidang. Untuk Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), 2014 ini akan menjadi tahun yang amat sibuk dan penuh dengan aktiviti yang menjurus kepada usaha membugar semangat 'wasatiyyah' dan kesederhanaan.

Syukur kepada Allah, peringkat awal penubuhan IWM ini lebih tertumpu kepada memperteguh asas intelektual, dalam bentuk makalah dan penerangan mengenai kepentingan konsep 'wasatiyyah' dan kesederhanaan ini. Beberapa pertemuan dengan intelektual dan ulama tersohor dunia seperti Sheikh Dr. Yusof al-Qaradawi sendiri memberikan kita keyakinan bahawa konsep ini wajar diperteguh di segenap peringkat.

Jalinan strategik pastinya akan dibentuk dengan institut-institut yang membawa hasrat dan fikrah sama di peringkat dunia. Baik di Kuwait, mahupun di Qatar, jalinan kerjasama ini akan dibentuk secara berperingkat dan menjurus ke arah kebaikan dan kesejahteraan umat.

Malahan, sememangnya ada di dalam perancangan, untuk kita turut memperteguh semangat kesederhanaan di kalangan pemikir dan intelektual dari Sudan sekalipun. Mereka wajar diberikan ruang untuk melihat wajah dan amalan kesederhanaan yang selama ini menjadi umbi kepada kekuatan politik dan ekonomi di Malaysia.

Setakat pertemuan yang dilakukan oleh IWM dengan pemimpin dunia Islam, para ilmuwan, perencana polisi - mereka menganggap apa yang diusahakan oleh kepimpinan Perdana Menteri adalah bertepatan dengan masa dan keadaan. Dunia Islam memerlukan resipi faham kesederhanaan yang sesuai dengan cabaran globalisasi yang semakin mencengkam.

Kos untuk kita menjadi sebuah umat, mahupun masyarakat yang terpecah-pecah dengan jalur ideologi politik adalah sangat besar. Potensi kestabilan dan kekuatan ekonomi itulah yang perlu cepat dicerakin untuk merealisasikan maslahah umum dan rakyat terbanyak.

Sewajarnya ada tempoh bertenang, untuk kita bermuhasabah sebagai sebuah bangsa Malaysia, jalan dan hala tuju mana yang mahu kita capai dan realisasikan. Apakah kita mahu Malaysia yang tercarik-carik dengan kepentingan individu dan kelompok kecil; atau kita mahukan Malaysia yang teradun kukuh dengan semangat kekitaan dan kebersamaan yang ikhlas dan jujur.

Langkah kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) sebagai contoh adalah langkah permulaan yang baik dan terpuji. Segala perancangan dan pernyataan harapan MKPN mestilah mampu diterjemah dan diasuh semai di peringkat masyarakat yang paling bawah.

IWM bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sekalipun, dalam membawa gelombang pemikiran 'wasatiyyah' dan kesederhanaan. Pada kita, tanggungjawab dan amanah besar ini mestilah dipikul dengan penuh rasa insaf dan kesungguhan.

Akhirnya nanti, IWM mesti membuktikan bahawa prinsip 'wasatiyyah' dan kesederhanaan tidak hanya menjadi agenda tekstual dan muluk di atas kertas. Makna kepada semua ini adalah pelebaran faham 'wasatiyyah' dan kesederhanaan di pelbagai lapisan masyarakat.


Mohd. Yusuf Din ialah Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM). Utusan Malaysia Online Rencana 20140110
Tags: politik, sederhana, wasattiyah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments