kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sokongan dan patriotisme tak sama

Zaman kita bercakap dan orang dengar membisu dah berlalu. Sekarang bila kita cakap, orang yang tak tahu akan tanya, orang yang pandai akan jawab.


Zaman orang bergantung pada satu atau dua sumber berita pun dah tak ada. Hari ini orang ada macam-macam sumber dan saluran berita.


Kalau dulu kena tunggu seminggu atau dua sebelum surat kita kepada surat khabar disiarkan (itu pun kalau dilayan), sekarang dalam masa beberapa minit kita boleh bagi pandangan kita.

Tak tepat kita nak samakan sokongan kepada kerajaan atau kepada sesebuah parti politik dengan taat setia kepada negara dan patriotisme.

Ledakan teknologi telekomunikasi dan maklumat (ICT) telah runtuhkan sempadan perhubungan dan monopoli maklumat.

Jadi kita kenalah sesuaikan cara kita berkomunikasi dengan suasana baru yang cepat, bebas dan terbuka ini. Kita kena lebih berjaga-jaga dan berhemah bila buat kenyataan.

Ambil contoh laporan yang kata seorang ahli politik dari Pahang suruh orang yang tak hargai kemajuan dan keamanan yang kerajaan bawa supaya tinggalkan negara.

Kalau betullah apa yang dilaporkan itu, Kunta Kinte sangat sedih dan Kunta Kinte berasa terluka sebab Kunta Kinte pun bukan setuju sepanjang masa dengan kerajaan.


Hak suarakan pandangan

Itu perkara biasa. Lebih-lebih lagi dalam negara demokrasi macam kita. Kita pilih kerajaan dan adalah hak serta tanggungjawab kita bagi teguran dan nasihat. Busuk-busuk pun kita suarakan pandangan kita.

Lagi pun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah kata, zaman kerajaan tahu segala-galanya dah berlalu. Jadi apa yang kita rasa kerajaan tak tahu, kita bagi tahulah.

Jadi Kunta Kinte rasa tak patutlah sesiapa pun suruh warga negara kita sendiri tinggalkan negara semata-mata kerana mereka tak sependapat dengan kerajaan. Kalau macam tu, ramailah yang kena berhijrah ke negara lain.

Tak tepat kita nak samakan sokongan kepada kerajaan atau kepada sesebuah parti politik dengan taat setia kepada negara dan patriotisme.

Lagi pun kita dah berada dalam zaman lain. Zaman kita taat setia kepada satu pihak saja dah berlalu. Kita sendiri yang buat jadi macam itu.

Bila kita runding kemerdekaan dengan British pada 1956, kita setuju ikut sistem mereka. Raja-raja kita bagi persetujuan kepada kita untuk berunding dengan British, walaupun mereka pun hantar wakil juga.

Raja-raja kita setuju daripada raja yang berkuasa mutlak di negeri masing-masing sebelum datang penjajah untuk berubah jadi raja berperlembagaan. Maka daripada sistem feudal kita berubah kepada sistem demokrasi.

Dalam demokrasi, rakyat pilih wakil untuk perintah dan tadbir negara. Setiap lima tahun sekali kita buat kontrak baru melalui pilih raya. Kita berkongsi kuasa dan tanggungjawab.

Jadi takkanlah selepas 13 kali pilihan raya umum dan lebih 56 tahun merdeka ada lagi orang kita yang bebal sampai tak boleh bezakan antara sokongan kepada parti dengan cinta kepada negara.

Harum negara patriotik

Cuba tanya, takkan semua orang berjuang demi negara, yang harumkan nama negara dan yang peduli kepada maruah bangsa semua sokong parti yang memerintah?
Tentu tidak. Takkanlah kita nak tuduh anggota polis, tentera, kakitangan awam dan ahli sukan yang harumkan nama negara tak patriotik kalau mereka tak sokong atau tak hargai apa yang sesebuah parti politik buat.

Ini bukanlah cara kita nak pikat hati orang supaya sokong kita atau hargai apa yang kita buat. Kunta Kinte tak tahulah kalau politik hari ini dah jadi politik ungkit- mengungkit.

Dalam kerajaan dok usaha keras nak ajak warga negara kita yang berjaya di luar negara supaya balik dan sumbang tenaga kepada negara, tak patut sangatlah kalau ada orang yang panas baran dan cetek akal suruh rakyat jelata yang tak sokong parti mereka supaya tinggalkan negara.

Kunta Kinte harap sangatlah berita sensasi macam itu tak betul dan tak ada lagi ahli politik yang panas baran dan pendek akal. Wallahua’lam.


Kunta Kinte Berita Harian Online Kolumnis 11/01/2014
Tags: patriotik, sokongan, suara
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments