kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Erti kebebasan yang sebenar

HARI INI semua orang bercakap soal kebebasan dan menuntut diberi hak asasi bagi menjalani kehidupan mengikut cita rasa dan kehendak hati mereka.

Ada yang mahu diiktiraf sebagai seorang yang mengamalkan homoseksual, lesbian dan mengamalkan ajaran agama mengikut naluri hati sendiri. Hasrat yang terpendam di hati mereka, semuanya diluahkan tanpa ada rasa segan silu dan memikirkan sensitiviti manusia lain yang telah sekian lama menjalani hidup dengan pegangan agama dan moral yang telah diterima pakai oleh majoriti masyarakat timur.

Baru-baru ini seorang ketua agama bukan Islam menuntut kalimah Allah diguna pakai oleh mereka, sebagaimana bible yang diterjemah ke bahasa Melayu.

Rentetan daripada kebebasan berkata yang beliau luahkan itu, umat Islam di negara ini (kecuali ahli parti Pas) melahirkan rasa marah hingga wujud laporan polis dan demonstrasi aman bagi meminta ketua agama tersebut memohon maaf kerana membelakangkan titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di negeri itu.

Buat pengetahuan ketua agama yang enggan meminta maaf kerana dianggap menderhaka kepada ketua agama Islam di negeri termaju di negara ini, dalam Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukkan artikel membenarkan orang ramai untuk berhimpun. Selaras dengan itu, Akta Perhimpunan Aman turut mengambil semangat daripada artikel tersebut.

Namun setiap peruntukan ada syarat tambahan atau disebut proviso yang menghalang orang ramai untuk melakukan perhimpunan yang menyalahi undang-undang iaitu yang boleh menimbulkan kesusahan kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan seharian.

Begitu juga kebebasan untuk mendapat pelajaran dan maklumat yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan. Memang semua orang boleh mendapat pendidikan di sekolah kita. Namun bagi warganegara asing mereka perlu membayar yuran jika hendak bersekolah di sekolah milik kerajaan.

Kesimpulannya kesemua kebebasan yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan mengandungi syarat-syarat khas bukan sekadar beri mentah-mentah macam ikan mentah yang semakin naik harga di pasaran akibat kebebasan menentukan harga oleh peniaga.

Apabila seorang ketua agama bukan Islam berkata beliau tetap akan menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan dan tidak akan meminta maaf kepada umat Islam dan Sultan Selangor atas nama kebebasan beragama maka terimalah apa saja kemungkinan daripada kenyataan beliau tersebut.

Sepatutnya beliau perlu memegang kepada prinsip toleransi beragama yang telah dipraktikkan oleh rakyat negara ini. Yang mana kita tidak kisah jika siapa pun yang hendak mengamalkan agama mereka, namun biarlah tidak mendatangkan keresahan kepada majoriti umat Islam di negara ini.

Pada masa ini, apabila bantahan berlaku dan nama serta wajah ketua agama tersebut terpampang di laman sosial dan blog, adakah beliau boleh bermegah bercakap soal kebebasan beragama? Pada saat ini, adakah beliau berasa bebas bergerak ke sana sini tanpa ada mata yang memandang dan berasa marah dengan beliau? Jika ada apa-apa yang berlaku terhadap dirinya, jangan pula beliau menuduh pihak berkuasa tidak melindungi dirinya kerana beliau sendiri menyekat kebebasan dirinya.

Dalam prinsip beragama ia adalah ajaran yang menjurus kepada kebaikan dan bukan sebaliknya. Bagi agama Islam, ia adalah addin iaitu cara hidup dan kalimah Allah dan Muhammad SAW adalah syahadah kita. Jika kita membenarkan orang lain bebas menggunakan kalimah suci ini maka ia seperti menjadikan akidah kita sebagai permainan.

Ini yang ditakuti. Kerana dalam konteks rakyat Malaysia, kita mempunyai toleransi dan penerimaan atas konsep 1Malaysia yang tinggi tapi setiap kesabaran ada had yang perlu dipatuhi oleh semua pihak. Bak kata orang, "biarlah kalah sedikit menang banyak, jangan kalah banyak menang langsung tidak."

Justeru kepada sesiapa di luar sana, berhati-hatilah bila berbicara soal kebebasan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempunyai syarat-syarat tertentu untuk dijadikan sempadan.

Di dalam Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan : Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Selangor ada peruntukan sedemikian maka patuhilah undang-undang yang ditetapkan. Jadi mana kebebasan yang dimaksudkan itu.

Sesungguhnya tiada kebebasan mutlak dalam soal beragama mahupun untuk melakukan demonstrasi kepada orang yang tidak mahu tahu apa itu erti toleransi.



ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Rencana 20140110
Tags: bebas, perlembagaan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments