kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran PDRM jamin keselamatan

2013 yang baru sahaja melabuhkan tirai lebih seminggu lalu menjadi tahun yang amat mencabar dan menguji kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan keamanan negara.

PDRM berhadapan dengan pelbagai cabaran jenayah termasuk yang menggugat keselamatan negara seperti insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, di samping terpaksa menangani 26 perhimpunan haram yang mendedahkan pasukan itu dengan tuduhan keganasan oleh perusuh.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meluangkan masa sejam menjawab pelbagai soalan berhubung pencapaian PDRM sepanjang tahun lalu dan cabaran yang bakal dihadapi oleh pasukan itu pada 2014 dalam sesi wawancara khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, yang turut disertai wartawan Utusan Malaysia, Rajmah Hasan dan Azrai Mohammad. Berikut sedutan wawancara itu.

UTUSAN: Boleh Tan Sri nyatakan cabaran dihadapi PDRM serta kejayaan dicapai sepanjang 2013?

KHALID: Tahun lepas boleh dikatakan tahun yang sangat mencabar buat warga PDRM. Isu Lahad Datu, Sabah, peristiwa paling getir sepanjang perkhidmatan saya dalam bidang kepolisan. Ia bukan sahaja satu bentuk ancaman kepada negara tetapi juga telah mengorbankan lapan anggota dan pegawai PDRM.

Selain itu, PDRM berhadapan dengan beberapa siri perhimpunan haram. Tahun lepas sahaja, ada sebanyak 26 perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan melibatkan pelbagai isu antaranya Lynas, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hak asasi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), kenaikan kos sara hidup berkaitan kenaikan harga barang, tol dan cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan terkini isu berkaitan kalimah Allah.

Biarpun banyak cabaran yang dihadapi, pasukan PDRM mampu berterusan memelihara keamanan dan ketenteraman awam secara berkesan berpandukan teras Pelan Strategik Lima Tahun PDRM.

Ini terbukti apabila statistik indeks jenayah bagi tempoh Januari hingga Disember 2013 menurun sebanyak 4.3 peratus. Indeks ini memperlihatkan persekitaran yang lebih selamat dengan jumlah kes dilaporkan 147,073 pada 2013 berbanding 153,699 kes (2012) iaitu penurunan 6,596 kes.

Pencapaian ini menunjukkan kita sudah hampir dengan sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebanyak lima peratus, maknanya kita kekurangan hanya 0.07 peratus untuk capai sasaran itu.

Selain itu, Ops Cantas Khas yang bertujuan mengurangkan kadar jenayah dan membendung kegiatan itu khususnya berkaitan aktiviti kongsi gelap serta jenayah menggunakan elemen senjata api dan senjata tajam telah berjaya menunjukkan impak positif dan berkesan dalam menurunkan indeks jenayah sejak dilancarkan pada 17 Ogos 2013.

Kalau dibuat perbandingan 137 hari sebelum dilaksanakan Ops Cantas Khas berbanding 137 hari selepasnya, kita telah berjaya menurunkan jenayah kekerasan sebanyak 10.93 peratus dan jenayah harta benda (6.1 peratus).

Bagi tempoh 20 November hingga 20 Disember 2013 pula, sejumlah 14,896 orang ditangkap di bawah Ops Cantas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang melibatkan 14,138 kes manakala 655 orang lagi ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Sementara itu, dadah bernilai RM30.82 juta dirampas manakala empat kes makmal haram memproses dadah dibongkar dengan 16 tangkapan dibuat dalam tempoh sama. Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 14,228 serbuan dilakukan.

Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam Bersepadu atau i-SPAAA dan pelaksanaan Akta Pelindungan Pemberi Maklumat turut berjaya menaikkan imej PDRM di mata masyarakat. i-SPAAA memberi kemudahan terbaik kepada masyarakat menyalurkan maklumat dan aduan untuk diambil tindakan dan dipantau dengan lebih berkesan.

Semua jenis aduan baik melalui e-mel, telefon atau datang sendiri diterima dan diproses unit ini.

PDRM juga telah mewujudkan Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah mulai 1 Julai lalu sebagai langkah pendekatan proaktif bersepadu mencegah jenayah, mendidik serta membudayakan masyarakat tentang tanggungjawab bersama mencegah jenayah, menghapuskan peluang melakukan jenayah, menghapuskan hasrat melakukan jenayah, memerangi dan mengurangkan persepsi masyarakat terhadap isu-isu keselamatan serta berperanan sebagai konsultatif kepada komuniti institusi pendidikan, perniagaan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Himpunan Gulingkan Kerajaan di ambang tahun baharu mengundang kritikan terhadap PDRM apabila didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut sedangkan perkara itu tidak pun berlaku?

Bukan kami yang mengeluarkan atau menyebut kenyataan tersebut tapi perkara itu telah diuar-uarkan di media-media alternatif.

Namun, adakah kami perlu diam mengenai perkara ini atau saya perlu kata ini adalah perkara main-main sahaja. Ini adalah perkara serius, jadi adakah saya tidak perlu ambil tindakan terhadap perkara ini? Sudah tentu tidak.

Ini kerana jika tiada langkah-langkah diambil untuk menyekat perkara ini dilakukan mungkin ada pihak yang kata seruan itu adalah benar.

Pada masa itu sudah terlambat jika hendak ambil tindakan. Apabila saya memberi kenyataan atau amaran kepada mereka yang mengeluarkan kenyataan itu tujuannya adalah untuk mencegah daripada berlaku.

Apakah perbuatan-perbuatan jenayah yang berlaku semasa perhimpunan haram?

Dalam contoh terbaru, pihak polis telah menemui senjata tajam di bangunan Daya Bumi pada malam tahun baharu lalu. Kami telah merampas senjata tersebut tapi malangnya kita tiada petunjuk bagi mengaitkan mana-mana individu atau kumpulan. Tapi faktanya senjata itu ditemui sebelum atau semasa perhimpunan itu berjalan.

Sebelum ini , banyak pihak mahu kita membenarkan demonstrasi-demonstrasi aman, tapi mana ada demonstrasi yang benar-benar aman, setidak-tidaknya ada yang kena baling botol atau kena tumbuk. Tidak pernah demonstrasi di negara ini yang betul-betul aman.

Sebagai polis, kita perlu mengambil langkah patut dan bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.

Sebab itulah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) itu dibuat antaranya untuk memberi ruang kepada orang ramai menyuarakan apa jua yang mereka inginkan dengan cara teratur.

Polis kena permudahkan apa jua perhimpunan tapi mesti ikut cara yang teratur seperti yang telah digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman. Tapi malangnya ada individu yang tidak mahu ikut peraturan tetapi selepas itu salahkan polis.

Dulu semasa ada Seksyen 27 Akta Polis, tidak dibenarkan langsung berhimpun dan kita akan mengambil tindakan sekiranya perkara itu berlaku. Namun apabila Parlimen telah buat undang-undang baru dan benarkan perhimpunan jadi kita akur dengan undang-undang baru ini.

Apakah tindakan terhadap individu tertentu yang mengeluarkan kenyataan berkaitan perhimpunan haram?

Bukan orang tertentu saja apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengancam keselamatan negara kita akan panggil. Bagi kami, semua demonstrasi yang tidak mengikuti APA 2012, kami akan siasat.

Mengikut akta itu penganjur sepatutnya bagi notis. Apa salahnya beritahu kita, tetapi mereka sengaja tidak mahu beritahu.

Mereka mahu polis bertindak terhadap mereka kerana tindakan polis itu nanti akan diuar-uarkan di seluruh dunia bahawa polis Malaysia zalim. Pada pandangan saya, itu yang mereka hendak.

Oleh itu, saya ingin terus menasihatkan mana-mana pihak yang hendak melakukan apa jua demonstrasi atau bantahan agar patuh undang-undang.

Adakah kebimbangan PDRM berhubung perhimpunan haram yang berlaku di negara ini ada kaitannya dengan apa yang berlaku di Thailand?

Boleh dikatakan seperti itu, namun perkara itu bukan berlaku di Thailand sahaja tetapi di serata dunia.

Ada anak-anak muda kita yang cuba meniru apa yang berlaku di Mesir, Syria dan sebagainya, jadi perkara ini perlu menjadi iktibar kepada kita dalam memelihara ketenteraman dan keselamatan negara.

Adakah pihak polis mengambil tindakan terhadap anggota yang melakukan kekasaran semasa perhimpunan seperti pada Bersih 3.0?

Pihak kami telah mengambil tindakan terhadap anggota terlibat dan jika cukup keterangan mereka akan didakwa di mahkamah. Sekiranya tiada tindakan mahkamah, kami akan ambil tindakan disiplin.

Bolehkah Tan Sri ulas mengenai pegawai dan anggota PDRM yang terlibat dengan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa?

Statistik menunjukkan anggota PDRM yang dikenakan tindakan tatatertib atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tahun lalu seramai 1,391 individu. Jumlah tersebut bersamaan 1.23 peratus daripada 112,000 jumlah anggota PDRM.

Pada pendapat saya jumlah ini adalah serius dan sebab itulah kita perlu mengambil langkah-langkah tertentu seperti menubuhkan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) agar perkara ini dapat dihentikan.

Antara tindakan yang diambil adalah potong atau tahan gaji, diberi amaran malah buang kerja. Mengikut peraturan, pegawai dan anggota polis perlu isytihar segala harta dan aset mereka setiap lima tahun.

Baru-baru ini dilaporkan seorang pegawai kanan polis telah ditangkap atas kesalahan rasuah. Sebenarnya bukan ditangkap tapi dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan dan kesnya masih disiasat. Pegawai tersebut telah pun saya tukarkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Bagaimanakah kesediaan PDRM dalam mengawal keselamatan Pantai Timur Sabah?

Ekoran kes terbaru di Pulau Pom-Pom, Sabah tahun lalu, kami amat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan atau ancaman yang berlaku.

Kami telah melihat kelemahan-kelemahan dari pelbagai sudut di kawasan tersebut bagi memperbaikinya. Sebanyak tujuh balai polis di zon Pantai Timur Sabah telah diluluskan dengan perjawatan anggota seramai 150 orang bagi setiap balai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah meluluskan satu lagi briged Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Sementara kita mengisi perjawatan tersebut, kita akan menggunakan khidmat anggota PGA di seluruh negara untuk membantu meningkatkan kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah. Begitu juga keupayaan marin, kita telah tingkatkan di seluruh lokasi terbabit.

Kita tahu beberapa minggu lepas ada percubaan musuh untuk masuk ke negara kita tapi Alhamdulillah dapat kita patahkan bersama-sama agensi penguat kuasa lain seperti Angkatan Tentera laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Adakah Tan Sri bersetuju jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan semula?

Ya, saya harap begitu. Walaupun Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sudah mencukupi tapi apa salahnya ada ISA. SOSSMA sesuai untuk keadaan tertentu manakala ISA juga ada kesesuaiannya.

PDRM sebagai badan penguatkuasaan menyokong apa saja undang-undang yang boleh bantu kami jadikan negara lebih selamat.

PDRM masih perlu undang-undang yang baik bagi membantu pasukan ini memastikan negara aman dan damai dan mengetahui keupayaan ISA sudah tentu saya mahu ia dikembalikan.

Apa hala tuju PDRM pada 2014?

PDRM akan meneruskan tiga fokus utama seperti digariskan semasa saya mengambil alih jawatan pada 13 Mei 2013.

Misi dan visi kekal iaitu sebagai agensi yang memberi perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam melindungi negara dan menjamin persekitaran selamat kepada masyarakat.


Utusan Malaysia Online Rencana 20140111
Tags: keselamatan, pdrm, polis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments