Sebenarnya, Bro tak terkejut pun dengan komen-komen macam tu sebab memang perangai perempuan suka buat komen tak tentu fasal dan bersungut tak kena tempat. Bagi perempuan, kalau boleh semua perkara mereka nak komen, mulut tak boleh diam, asyik nak bercakap sahaja mungkin masa tidur pun mereka bercakap.
Sebab itulah, kalau kita tengok Facebook atau Twitter yang banyak komen ialah perempuan, timbul aje isu terus mereka komen. Kadang kala komen mereka tu tak masuk akal dan paling teruk kalau komen tersebut boleh membawa kepada penambahan dosa.
Bro tak kisah kalau komen yang diberikan bernas, tetapi masalahnya perempuan ini suka komen perkara remeh-temeh, kadang kala fasal tudung orang pun mereka komen berjela-jela. Ada pula yang komen ikut sedap mulut sahaja tak usul periksa macam minah tadi tu la, senang-senang aje cakap fasal maksiat, dia siapa nak jatuh hukum atau buat andaian macam tu.
Tetapi nak buat macam mana, perempuan memang begitu, sebab itulah Bro diberitahu kalau ada group dalam Whatsapp melibatkan perempuan ia tidak akan bertahan lama sebab mereka akan bergaduh sesama sendiri. Macam mana tak gaduh sebab kadang kala benda-benda kecil pun mereka nak komen. Akhirnya dia menyinggung perasaan rakan sendiri, apa lagi bergaduhlah alamatnya.
Ada pula yang kalau duduk ramai-ramai tak ada kisah lain, kadang kala mereka boleh duduk berjam-jam untuk memberi ulasan selari berhubung tudung, rambut, pakaian dan macam-macam lagi. Senang cakap kebanyakannya tidak berfaedah.
Bro ambil contoh mudah, ada sesetengah perempuan tu bila tengok rakan sepejabatnya bergaya lebih sikit atau pakai nampak semacam sikit mula hati membuak-buak nak komen. Kalau dia kenal mungkin orang tu akan disapanya, tetapi kalau dia tak kenal maka dia akan komen dalam hati sahaja. Bro bukan ada kuasa untuk baca hati orang tetapi Bro tahu sangat perempuan ni.
Dan Bro yakin puak-puak macam ni kalau pergi ke mana juga tabiat menjadi pengkritik tak bertauliah sukar untuk dibuang.
Kalau pergi majlis kahwin kawan-kawan, depan mereka memuji dan tak komen apa-apa tapi bila balik rumah atau pejabat, percayalah sampai warna nasi minyak pun mereka nak komen. Tambah pula duduk ramai-ramai sambil menikmati minum petang mesti topik majlis kahwin tadi akan menjadi bualan utama.
Fasal perempuan suka komen bukan-bukan inilah, Bro tak suka nak buka Facebook, menyampah baca sebab sesetengah perempuan memaparkan dalam Facebook dia, macam dia manusia paling sempurna di muka bumi Allah ini. Tetapi perangai sebenarnya, hanya Allah sahaja mengetahui.
Yang Bro pelik tu ada pula komen perkara yang tiada kaitan langsung dengan dia, tetapi sebab jari jemari dan mulut tak boleh duduk diam serta hati pula tak tenang, maka dia pun komen walaupun tak ada asas.
Begitu juga bila perempuan bersungut, ada sesetengah tu 24 jam asyik nak bersungut sahaja. Contohnya, dok mengeluh harga barang naik dan sebagainya, tetapi bila beli-belah termasuk untuk mencantikkan diri tak ingat dunia.
Bagi Bro, perempuan bersungut ni jiwanya tak tenteram, sepatutnya bila berlaku sesuatu perkara tak payah bersungut, fikir dengan waras kenapa sesuatu perkara itu berlaku dan berusaha memperbaiki.
Paling kelakar Bro tengok, bila perempuan tu bersungut sorang-sorang depan cermin. Apa hal muka aku ni, kenapa rambut aku ni...ok tak baju ni Itulah antara perkara yang mereka sungutkan.
Pendek kata, bila mereka tengok diri mereka kat cermin tu, mesti ada perkara mereka nak sungutkan, biar pun seorang diri. Begitu juga bila tengok telefon bimbit. Bila terima mesej atau gambar ke, ada terus bersungut. Yang senyum sorang-sorang tu tak apalah sebab senyum tu sedekah.
Tetapi yang perempuan nak bersungut ni apa hal? Oleh itu Bro nak nasihatkan perempuan, buanglah dua tabiat ni untuk permulaan. Kenapa Bro kata permulaan sebab banyak lagi tabiat buruk yang perempuan kena buang, itu Bro akan ceritakan dalam keluaran-keluaran akan datang.
Buat masa ini belajar hapuskan tabiat suka komen tak tentu fasal dan bersungut tak tentu hala. Bro suka guna ayat ni sebab memang kena dengan perempuan pun. JUMPA LAGI!
- BRO TOMPOK Kucing Jantan:Utusan Malaysia Online Rencana 12/01/2014