kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah jatuh bangun Mohamad Salim

TERLALU banyak sisi menarik tentang tokoh di sebalik nama minggu ini untuk dikongsi bersama pembaca.

Sepanjang pertemuan berlangsung, ternyata beliau ialah seorang yang ceria dan sering mengeluarkan kenyataan yang membuat kami semua ketawa bersama.

Namun di sebalik personaliti dan karakter beliau yang mesra dan lucu itu, ramai yang tidak tahu terlalu banyak episod kegagalan yang telah dilalui beliau.

Kebiasaannya banyak orang enggan berkongsi kisah atau episod kegagalan dalam hidup mereka kepada Mingguan Malaysia sebelum ini, namun bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRCB, Datuk Mohamad Salim Fateh Din semua kisah kegagalan yang diceritakan menjadi sumber inspirasi sehingga beliau berjaya pada kedudukan sekarang.

Menemani Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur Sentral.

Bermula dengan kegagalan menamatkan pengajian dalam bidang ACCA di London yang menimbulkan kesedihan yang bukan sedikit kepada keluarganya hinggalah kegagalan demi kegagalan yang ditempuhi ketika berkecimpung dalam bidang perniagaan, semuanya dihadam tanpa rasa gentar untuk membuktikan anak Melayu juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan.

Namun sebelum bercerita lebih lanjut satu perkara menarik yang ramai antara kita tidak tahu ialah, beliau pernah bekerja dalam bidang yang senantiasa dicemburui kebanyakan lelaki lain iaitu sebagai pramugara.

Sedih

Apatah lagi ketika beliau menceburi kerjaya itu sebaik-baik pulang ke tanah air, pramugara adalah antara kerjaya impian hampir semua orang kerana pelbagai peluang dan kemudahan yang boleh diperolehi.

“Semua itu berlaku secara tidak sengaja, apabila saya balik dari London, dan keluarga pula sedih dengan kegagalan saya dalam pelajaran.

“Satu hari saya terlihat iklan di dalam surat khabar yang mencari pramugara dan pramugari untuk MAS dan sudah tentu itu adalah sesuatu yang menarik ketika itu kerana gajinya yang lumayan selain dapat berjalan ke seluruh dunia serta dapat berkhidmat dengan gadis-gadis cantik," selorohnya yang disambut dengan gelak ketawa kami berdua.

Selepas itu beliau terpaksa melalui pelbagai ujian yang agak ketat sebelum berjaya menjadi pramugara pada tahun 1979. Selepas enam tahun terbang di awan biru, akhir beliau turun ke bumi juga apabila meletak jawatan pada 1985.

Anak jati Kuala Lumpur yang dilahirkan di Bangsar ini dilahirkan pada 1 Ogos 1957 merupakan anak kepada pegawai polis yang bertugas di Bukit Aman.

Pelajar Sekolah St. John Institution ini seorang yang aktif dalam bidang sukan dan pernah mewakili sekolahnya dalam pasukan bola sepak dan hoki.

Selepas menamatkan zaman persekolahan, beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Tunku Abdul Rahman di Genting Klang sebelum mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang ACCA di salah sebuah kolej di London.

Menjelaskan keadaan dirinya yang lebih meminati sukan berbanding pelajaran ketika zaman persekolahan, perkara yang sama berulang semasa beliau melanjutkan pelajaran di London.

Fokusnya agak ‘hilang’ ketika di sana apatah lagi filem popular John Travolta ketika itu, Saturday Night Fever sedang meletup mengakibatkan dirinya gagal dalam pelajarannya.

“Yalah masa itu keadaan berbeza di London tidak seperti di Malaysia, namun saya gagal bukan kerana tidak minat bidang akauntan tetapi hilang fokus mengakibatkan saya pulang lebih awal ke Malaysia," sambil bercerita lanjut tentang kasut tumit tinggi dan seluar bell bottom yang digilai anak muda ketika itu.

Apabila sampai ke Malaysia beliau sudah dapat menduga bahawa berita kegagalannya itu bukanlah sesuatu yang mahu didengari keluarganya ketika itu, terutama ibunya.

Selepas beberapa ketika, beliau seperti membawa diri dengan terbang di awan biru tetapi hakikatnya banyak perkara yang dipelajari ketika bertugas sebagai pramugara.

“Dalam kerjaya itulah saya belajar banyak perkara tentang disiplin, menepati masa, membina hubungan perniagaan, membina kepercayaan dan banyak lagi," jelas Mohamad Salim.

Takdir

Selepas menamatkan perkhidmatan di MAS, beliau memulakan langkah pertamanya dalam bidang perniagaan dengan menjadi wakil penjual di stesen minyak Esso.

Beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan kiosk pelbagai barangan di stesen minyak yang akhirnya menjadi begitu popular dan digunakan oleh semua syarikat minyak di negara ini.

Mohamad Salim juga pernah menjadi Pengerusi Pasar Raya Giant dan kekal memegang jawatan Pengerusi British American Tobacco (BAT) sehingga kini.

Beliau memulakan perniagaan dalam bidang hartanah sejak 1991 dengan tertubuhnya syarikat Gapurna Sdn. Bhd. yang telah banyak menaikkan namanya dalam industri hartanah dan pembinaan.

Namun adat berniaga ada pasang surutnya. Beliau beberapa kali gagal dalam perniagaan namun semua itu bukanlah penghalang baginya untuk terus maju.

“Apabila saya gagal meraih kontrak atau urus niaga berkaitan, memanglah rasa kecewa begitu memberi kesan. Namun kita kena ingat bahawa dalam hidup dan juga perniagaan, kita perlu memberikan yang terbaik, tetapi akhirnya kita wajib menyerahkan segalanya kepada Allah.

“Walau bagaimana hebat dan berkesan kertas kerja yang dilakukan, akhirnya kita perlu menerima hakikat bahawa Tuhan lebih berkuasa dan takdir terletak di tangan-Nya," kata Mohamad Salim.

Namun di sebalik pelbagai kejayaan yang diraihnya, beliau tidak pernah lupa untuk menjalankan tanggungjawab membantu dan memberi bimbingan kepada orang Melayu dan bumiputera yang menceburi bidang kontraktor, vendor, pembekalan dan hartanah.

“Pihak MRCB sentiasa berusaha membantu golongan peniaga kecil dan sederhana (SME) bumiputra dengan memberi peluang kepada mereka terlibat dalam projek-projek pembangunan yang dilakukan MRCB.

“Kami akan senantiasa terlibat secara sama rata dan inklusif dalam soal dan polisi melibatkan Melayu dan bumiputera supaya dapat membantu dan memandu mereka ke arah perkongsian yang lebih sihat pada masa hadapan. Kaum lain tidak perlu bimbang kerana ia tidaklah sampai merosakkan peluang mereka dalam perniagaan ini," kata Mohamad Salim.

Satu lagi perkara menarik tentang dirinya ialah minat yang mendalam terhadap sukan skuasy. Boleh dikatakan dalam seminggu, beliau akan cuba mencuri masa antara tiga hingga empat kali untuk bermain sukan kegemarannya itu bersama rakan-rakannya.

“Sukan ini sebenarnya baik untuk jantung kerana sepanjang masa anda perlu berlari dan peluh pula keluar tanpa henti.

“Saya pernah bermain bersama Juara Dunia, Nicol David dan beliau sememangnya seorang yang sangat hebat dalam sukan ini.

Selain itu Mohamad Salim juga pernah bermain bersama bekas Juara Dunia Jahangir Khan yang disifatkan sebagai jaguh yang tiada tolok bandingnya.

Malah beliau juga pernah bermain skuasy dengan pengasas bersama Syarikat Penerbangan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes beberapa kali sebelum ini.

Apabila ditanya siapa yang menang dalam pertandingan itu, beliau hanya tersenyum.

“Tony merupakan pemain skuasy yang baik dan saya gembira dapat bermain dengannya," katanya sambil tersenyum tanpa memberi sebarang jawapan.

Namun agak malang kerana sebagai peminat sukan bola sepak, beliau pernah meminati pasukan terkenal seluruh dunia iaitu Liverpool ketika menuntut di London dahulu.

Kini beliau beralih arah menyokong kelab Chelsea sesuatu yang mungkin agak pelik namun boleh dimaafkan asalkan beliau tidak beralih kepada kelab yang kini semakin bermasalah Manchester United.



HAFIZAHRIL HAMID Utusan Malaysia Online Rencana 20140112
Tags: tokoh
Subscribe

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi)

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat…

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments