kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Beli kereta ikut kemampuan

JANUARI adalah bulan yang sesuai untuk anda mengkaji keperluan berkereta. Bagi yang biasa chauffer-driven dalam teksi atau bas, pilihannya ialah membeli kereta baharu atau terpakai. Bagi yang sudah berkereta, mahu saiz lebih kecil atau besar daripada yang sedia ada.

Ini adalah kerana Januari bermaksud sudah bertukar tahun baharu, lebih sesuai daripada membeli kereta pada Disember 2013. Perbezaan sebulan Disember dan Januari bagi pembeli memang tidak ada. Tetapi apabila mahu menjualnya kelak, tahun dibeli menjadi rujukan utama, bukan bulan. Tahun 2013 akan menurunkan beberapa ribu ringgit daripada harga pasaran semasa.

Ini kah yang termampu ... alhamdulillah ?

Pencen pun dok kena bayag lagi .... sapa sughuh ... !

Atas faktor yang sama, kebanyakan syarikat jualan kereta tidak membuat unjuran jualan yang besar bagi tiga bulan terakhir iaitu Oktober, November dan Disember. Aktiviti mereka terhad kepada memperkenalkan model baharu yang angka jualannya hanya dijangka meningkat bermula Januari.

Sasaran jualan ditumpukan bagi segmen pembeli yang mahu berkereta baharu sempena musim perayaan atau baru menerima gratuiti dan bonus gaji, misalnya. Kelompok ini tidak mewakili majoriti dalam sasaran pembeli tetapi syarikat kereta menyediakan pelbagai tawaran menarik bagi menghabiskan stok. Namun isu perbezaan tawaran harga semasa mahu menjual kereta kelak tidak berubah.

Januari 2014 lebih menarik kerana faktor begitu banyak sambutan perayaan bulan ini. Paling hebat ialah Tahun Baharu Cina pada 31 Januari. Perhatikan banyak tawaran tambahan diberikan bagi menarik anda memasuki bilik pameran masing-masing. Andai anda menyukai model tertentu, lawatlah bilik pameran atau layari laman web.

Ini nasihat umum yang saya berikan kepada sahabat-handai mengenai cara membeli kereta. Secara kebetulan, kereta adalah antara subjek kegilaan saya, selain Liverpool FC dan Metallica. Kegilaan kepada kereta juga dapat saya aplikasikan dalam ruangan pemotoran Utusan Malaysia setiap Isnin. Ada teman menggelar saya sebagai pakar pemotoran. Label ini saya tolak sebab bila kereta rosak, saya hantar ke bengkel juga. Yang benar-benar pakar ialah mekanik.

Kegilaan ini merangkumi definisi keinginan yang sentiasa bersemarak untuk mengetahui tentang model-model terbaharu kereta, perbandingan teknologi yang diperkenalkan dan serba-serbi berkaitan. Bagi sesetengah orang, topik kereta ini mungkin membosankan dan kelaziman topik perbualan lelaki semata-mata.

Tambah lagi membosankan bila membaca: Kuasa Maksimum 200 kuasa kuda (hp) pada 6,000 revolusi per minit (rpm) dan Kuasa Kilas 196 Newton meter (Nm) pada 5,000 rpm.

Anda tidak perlu menjadi mekanik atau belajar kejuruteraan automotif untuk memahaminya. Formula mudah ialah lagi besar angka pada kuasa kuda dan kuasa kilas, bermakna lagi bertenaga keupayaan pecutan kereta tersebut. Anda akan dapati lagi besar keupayaan enjin, lagi mahal kereta.

Berikut adalah 10 petua yang saya gabungkan daripada pengalaman dan juga laman web kereta yang terkenal untuk panduan anda membeli:

1 Tanya diri sejujur-jujurnya

Setiap orang ada kereta idaman tetapi tidak semestinya semua idaman mampu direalisasikan. Tanya diri sejujur-jujurnya berkaitan kemampuan membeli dan menyenggara. Kira perbelanjaan kereta berbanding gaji bulanan. Seelok-eloknya urusan kereta tidak melebihi satu pertiga daripada gaji bulanan merangkumi bayaran bulanan, minyak dan penyenggaraan serta persediaan pembaharuan insurans dan cukai jalan (serta saman AES).

Pilih model yang lawa dengan ciri-ciri yang bagus dalam lingkungan keupayaan wang anda. Bukan nafsu anda.

2 Kajian menerusi majalah atau Internet

Bacalah seberapa banyak ulasan mengenai model yang anda berkenan. Baca juga ulasan pembeli tentang suka-duka menyenggaranya. Tayar kereta sedan tidak semahal harga kereta SUV. Menerusi pembacaan itu, harga juga boleh dibandingkan.

3 Buat perbandingan

Walaupun hati anda sudah tetap pada sesebuah model, tapi anda harus membuat perbandingan dengan model lain, yang mungkin lebih lengkap. Pelaburan anda terlalu mahal untuk tidak membuat perbandingan.

4 Jangan endah promosi penjimatan bahan api

Di kala harga minyak mahal sekarang, hampir keseluruhan syarikat penjual menggunakan aspek penjimatan bahan api sebagai bahan promosi. Semua itu tidak berguna jika anda memandu ganas laju. Hibrid misalnya, sangat sesuai dalam kesesakan bandar. Tapi memecut di lebuh raya, sama juga kos petrolnya. Semua ini kena tahu.

5 Senarai pendekkan calon, pandu uji semua

Anda mahu kereta petrol, diesel, hibrid atau elektrik? Khususkan ketetapan anda. Kemudian pandu uji kesemuanya. Memang ambil masa. Saya guna masa lapan bulan untuk memandu uji kereta pilihan saya. Tiada tergesa-gesa.

6 Cari bank pembiaya terbaik

Anda ada pilihan sama ada untuk melepaskan sahaja semua urusan pembiayaan kepada jurujual kereta. Mungkin ditawarkan kadar faedah yang rendah atau secara syariah. Andai anda ada kaedah mencari sendiri bank pembiaya, beritahu jurujual. Mereka tiada hak untuk menegah.

7 Jangan emosi semasa berunding harga

Jangan sesekali dedahkan kepada penjual mengenai rancangan anda untuk membiayai kereta semasa berunding harga. Penjual dijanjikan komisen. Mereka diberi pilihan sama ada untuk memotong komisen mereka dengan memberikan ‘diskaun’ kepada bakal pembeli. Diskaun itu dipotong daripada komisen mereka. Gunakan fakta ini untuk mendapatkan harga yang lebih baik untuk diri anda.

8 Pastikan anda selesa

Ini berkait dengan pandu uji. Selalunya bila memilih kereta, kita kadang-kadang lupa mengenai keselesaan. Apakah kerusinya muat dengan tubuh badan? Apakah kerusi boleh dijungkit naik? Kemudi roda boleh ditarik ke depan? Mahu kerusi disarung kulit?

9 Uji infotainment

Hari ini, tiada lagi kereta menawarkan sistem pemain kaset. Kebanyakannya pemain CD tetapi generasi hari ini guna USB atau iPod atau sambung kepada telefon bimbit. Pastikan ada saluran khas untuk sambungkan peralatan anda. Tekan setiap butang bagi memastikan benar-benar berfungsi. Kalau disedari rosak selepas memandu, maka banyak menyusahkan untuk dihantar balik bagi dibaiki.

10 Beli ikut keperluan

Evolusi bagi pemilikan kereta ialah orang bujang belilah kereta yang sesuai dengan gaji dan tidak perlu bersaiz besar. Bila sudah berkahwin, kenalah ada empat pintu sebab hendak mengangkut keluarga mertua. Bila sudah ada anak, kenalah tukar sedan kepada MPV sebab anak perlukan dua baris tempat duduk. Tetapi formula di atas tidak mutlak. Bergantung pada kesukaan masing-masing. Kalau mampu, belilah.



Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Online Rencana 20140112
Tags: kemampuan, kereta
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments