kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Najib penyambung perjuangan murni Tun Razak

Pada 14 Januari lalu, Malaysia memperingati pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Ia berlalu tanpa sebarang majlis besar-besaran sebaliknya secara sederhana dengan doa anak-anaknya dan satu penghormatan tulus oleh anak bongsunya, Datuk Seri Nazir Razak mengenai visi, misi dan pencapaian besar Perdana Menteri kedua itu.


Jika Allahyarham ada, beliau tentu bersetuju dengan kesederhanaan itu kerana beliau memang dihormati kerana kejujurannya, tidak boros dan bersederhana dalam semua perkara ketika menjadi Perdana Menteri, daripada tidak menonjolkan kejayaannya sehinggalah kehidupan keluarganya.

Harapan wujud perpaduan, keamanan negara diteruskan














Gambar fail, Tun Abdul Razak bertemu rakyat ketika merasmikan masjid baru di
Kampung Teliar dekat Pasir Mas, Kelantan pada November 1975.
Kekuatan beliau adalah semangatnya ke arah mencapai visi untuk menyaksikan rakyat Malaysia daripada semua kaum dan latar belakang sosioekonomi boleh hidup secara harmoni sejajar dengan idea mewujudkan sebuah negara yang makmur dan dinamik.

Visi beliau sudah menjadi kenyataan. Siapa yang boleh menafikan kemakmuran dan dinamisme Malaysia sekarang yang didorong oleh misi sepanjang tujuh tahun
pentadbirannya yang mana ketika itu negara ini berdepan cabaran politik, permasalahan sosial dan ancaman pengganas komunis.

Di sebalik kesukaran yang dihadapi, bukan hanya membabitkan muslihat musuh politik, tetapi juga keuzurannya, beliau berjaya membina negara dengan dasar yang tepat.

Apabila mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang menerajui negara selepas kemerdekaan, sengketa kaum baru meletus yang memaksa beliau memperbetulkan keadaan selepas tragedi 13 Mei. Dengan semangat sama beliau berjaya menghadapinya.

Tubuh MAGERAN

Allahyarham Tun Abdul Razak tahu apa yang perlu dilakukan. Beliau menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk membentuk prototaip demokrasi yang kini sudah berkembang kepada satu prinsip yang ada kalanya dipandang remeh oleh rakyat Malaysia.

Sepanjang menggerakkan MAGERAN, beliau sentiasa menerapkan ciri-ciri sebenar Malaysia, iaitu sebagai sebuah negara pelbagai budaya, berbilang agama dan etnik yang membantu ke arah mencapai pembangunan menyeluruh, tetapi pada masa sama mengukuhkan penyatuan nilai sosial, budaya dan agama.

Ia satu tugas yang berat, tetapi misi Allahyarham juga besar. Tiada siapa yang boleh menafikan kepentingan tugas itu dan kesannya yang sukar dijangkakan.

Agak sukar untuk mengetahui cara beliau berfikir menyelesaikan masalah, bagaimana menghadapi pelbagai kerumitan, tetapi akhirnya berjaya menanganinya untuk mewujudkan sebuah negara yang berjaya.

Allahyarham boleh memilih untuk merangka pelan pembangunan negara mengikut kepadatan kaum, tetapi sebaliknya menetapkan hala tuju bahawa rakyat Malaysia tidak harus bertelagah sesama sendiri.

Dalam melaksanakan hala tuju itu, beliau menetapkan prinsip penting berikut, iaitu tidak perlu takut antara satu sama lain serta semua hak dan kedudukan tidak kira kaum dan agama termaktub dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sehingga hari ini, doktrin itu kekal relevan di sebalik pertelingkahan semasa mengenai isu hak kaum dan agama.

Walaupun menyedari beliau tidak akan dapat bertahan lama, Allahyarham meneruskan perjuangan bagi mewujudkan perpaduan dan keamanan di Malaysia. Itulah cita-cita murni beliau.


Doktrin murni diteruskan Najib

Kita boleh melihat bahawa doktrin murni Allahyarham itulah yang kini cuba diteruskan oleh anaknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun berdepan kesukaran dan kritikan daripada pembangkang.

Namun, Najib menjadi yang pertama mengakui, iaitu sejak Allahyarham bapanya merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehinggalah sekarang yang menyaksikan perselisihan budaya mengganggu dari setiap sudut, Malaysia ada kalanya kelihatan berada dalam keadaan goyah dan pada asas yang salah.

Sejak hari pertama beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara, Najib mengeluarkan kenyataan: Kerajaan bukan tahu segala-galanya, beberapa undang-undang yang dianggap zalim perlu dimansuhkan dan dasar ekonomi yang dulu dianggap pragmatik kini mungkin tidak lagi sesuai.

Beliau menyedari keamanan adalah faktor utama memupuk kemajuan ekonomi Bumiputera kerana jika mereka berasa diabaikan, terancam atau diketepikan, usaha menjadi negara maju pada 2020 tidak akan dicapai.

Najib sedar bahawa jurang sosioekonomi antara kaum masih besar yang mana berdasarkan perangkaan pada 2011, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding kaum Bumiputera pada nisbah 1:43.

Namun, sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009, beliau berjaya mengecilkan jurang pendapatan antara masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera.

DEB yang dimulakan Tun Abdul Razak dirumuskan semula menjadi Model Ekonomi Baru, satu dasar keterangkuman yang dirangka bagi mengatasi kelemahan dalam dasar sebelum ini. Kelemahan itulah yang dilihat oleh Nazir sebagai sesuatu yang membimbangkan.


Galas tanggungjawab besar

Tugas terbesar beliau ialah mengekalkan keseimbangan sosioekonomi, memastikan negara terus stabil menerusi pelbagai sumber kreatif, dengan satu daripadanya ialah penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera baharu yang berusaha supaya Bumiputera mendapat faedah saksama daripada saiz ekonomi yang semakin besar.

Najib bagaimanapun sehaluan dengan rayuan Nazir supaya Malaysia kembali ke pangkal jalan, selepas tersasar landasan selepas 43 tahun mengharungi usaha untuk mencapai kemajuan pembangunan dengan bermula di titik di mana bapa mereka menetapkan hala tuju yang menjadi legasi beliau.

Ya, kekecohan perselisihan budaya dan agama hari ini telah disemai sehingga dianggap sebagai satu ketegangan antara etnik dan dalam kumpulan etnik itu sendiri.

Perasaan saling mempercayai serta hormat-menghormati antara kaum dan komuniti agama pula sudah menjadi satu komoditi yang berkurangan. Untuk memulihkan keadaan inilah diharapkan oleh Nazir supaya semua kembali ke pangkal jalan dan ia mungkin mesej terpenting kepada semua pemimpin dan ahli politik.

Apa yang perlu dilakukan ialah mengadakan perdebatan tertutup dalam suasana saling menghormati dan percaya mempercayai, jauh daripada golongan oportunis dan pengacau supaya walau sekecil manapun persefahaman, tolak ansur, kepercayaan dan hormat, ia boleh menjadi idea untuk menyemai kaedah dalam menggalakkan perpaduan serta menambah semula kesedaran kepada Rukun Negara.

Selepas berlalunya peristiwa 13 Mei, tugas terbesar Allahyarham Tun Abdul Razak adalah memujuk menteri, ahli politik dan pemimpin pembangkang supaya berhenti bertelingkah dan duduk semeja berdialog.

Najib berhasrat mengulangi suasana itu yang mana semua pengkritik dapat bertemu, diharapkan pada majlis rumah terbuka ala Malaysia dengan hidangan makanan terbaik tempatan. Semua kita tahu permusuhan dan kebencian akan diketepikan apabila sama-sama menjamu hidangan makanan Malaysia yang lazat, walaupun ia disediakan musuh mereka.

Allahyarham Tunku Abdul Rahman dikatakan mengadakan jamuan di rumahnya untuk semua Ahli Parlimen, baik dari parti sekutunya mahupun pembangkang apabila Parlimen mula bersidang.
Semua akan hadir hingga awal pagi, berbual antara satu sama lain bagi memupuk hubungan baik.

Teknik ini berjaya, yang mana apabila Ahli Parlimen membahaskan usul, mereka lebih mengenali antara satu sama lain, dan dengan itu sikap saling menghormati dan mengutamakan kepentingan bersama lebih ditekankan.

Ulangi usaha bentuk perpaduan

Bagi sesi jamuan perpaduan yang bakal diadakan, satu daripada arahan Najib adalah untuk membuang meja VIP dan semua bercampur gaul untuk menarik pelbagai kaum serta menghapuskan halangan terutama dalam mendekati generasi muda – sama ada untuk turut serta dalam aktiviti gotong-royong membersihkan taman, kempen Facebook untuk menyelamatkan tempat bersejarah atau kejohanan futsal. Generasi muda adalah pewaris yang akan meneruskan usaha bagi membina Malaysia bersatu padu.

Najib telah memulakannya. Amalan diwarisi daripada ayahnya ialah komitmen kepada perkhidmatan awam dan membuat lawatan mengejut untuk mengetahui sendiri apa yang berlaku.

Adalah tidak mengejutkan bahawa Najib dan Nazir bersungguh-sungguh selama bertahun-tahun untuk mencapai tahap seperti yang diwariskan bapa mereka dan bersama-sama berusaha mewujudkan budaya integriti dalam kerajaan dan perkhidmatan awam.

Malah, komitmen Najib kepada Program Transformasi Kerajaan menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kuasa bukan hanya untuk menangkap dan mendakwa penerima tetapi juga pemberi.

Ia dibantu pula oleh satu rang undang-undang yang membolehkan SPRM bertindak secara bebas untuk mendakwa kes rasuah tidak kira mereka golongan bawahan atau atasan.

Jika Allahyarham Tun Abdul Razak masih ada, beliau sendiri tentu bersetuju apa yang cuba dilaksanakan oleh Najib pada 2014 ini – pertama, untuk sejajar dengan warisan bapanya dan keduanya untuk mengukuhkan lagi apa yang sudah dicapai adalah sesuatu yang sukar kerana keadaannya sekarang amat jauh berbeza, lebih-lebih lagi oleh seorang Perdana Menteri yang hanyalah seorang manusia biasa.

Kelemahan menjalar dalam sistem penyampaian kerajaan, tetapi ia secara berterusan dipinda dan diperbetulkan.

Namun, tidak dapat menafikan bahawa tidak kira apa juga standard diguna pakai, Malaysia dibangunkan sebagai sebuah negara yang menarik dan hebat.

Terima kasih kepada warisan yang ditinggalkan Allahyarham Tun Abdul Razak untuk negara ini, yang kini dikemudi pula oleh Najib.

Najib akan terus berusaha membina semula kepercayaan antara kaum, mengembangkan prinsip nilai untuk wang dan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia pada peringkat global.


Azmi Anshar Berita Harian Online Kolumnis 2014/01/18 - 11:13:21 AM
Tags: doktrin, keamanan, mageran, najib, perpaduan, razak, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments