kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Syed Kechik jasa besar

PERANAN besar Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Albukhary dalam menyelamatkan keretakan Malaysia dan membangunkan asas ekonomi, pelajaran dan sosial di Sabah tersembunyi dalam lipatan sejarah. Sebaliknya yang lebih menonjol dan menjadi kontroversi ialah kekayaan yang dibinanya di negeri itu.

Buku Pembalasan Dendam dan Penyalahgunaan Kuasa yang ditulis oleh novelis terkemuka, Dr. Shaari Isa, cuba membuka lipatan sejarah ini supaya rakyat dapat menilai semula peranan Syed Kechik dengan adil.

Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman menghantar Syed Kechik ke Sabah untuk menjadi penasihat kepada Ketua Menteri, Tun Datu Mustapha Datu Harun pada tahun 1965 berikutan perpisahan Singapura daripada Malaysia yang juga menggugat Sabah dan Sarawak.

Kehadiran Syed Kechik di Sabah pada mulanya tidak dianggap penting. Tokoh-tokoh politik menganggapnya sebagai peguam yang tidak ternama. Tetapi dalam masa yang singkat pandangan kepadanya berubah kepada seorang raja di sebalik takhta yang perlu disingkirkan dari Sabah.

Anggapan ini timbul apabila mereka melihat keupayaannya dalam pentadbiran, kepintaran politik dan berpengetahuan dalam hal-hal Perlembagaan selain kecekapan dalam perniagaan.


SYED KECHIK bersama Tun Mustapha dalam satu majlis rasmi Kerajaan Negeri Sabah.

Bagaimanapun, empat tahun kemudian Syed Kechik menghadapi suatu keadaan yang mencabar kewibawaannya apabila Tun Mustapha merasakan dirinya sudah cukup kuat dan boleh memerintah sendiri di atas kekayaan hasil bumi Sabah.

Tun Mustapha tidak lagi menghormati Kerajaan Pusat malah sampai ke peringkat mahu mengeluarkan Sabah dari Malaysia. Tun Mustapha menggunakan kuasanya berikutan Peristiwa 13 Mei 1969 untuk memperkukuhkan kedudukan dengan menangkap dan menahan tanpa bicara musuh-musuh politiknya.

Krisis politik yang melibatkan pemindahan kuasa telah juga memberikan tekanan ke atas Syed Kechik dan akhirnya terpaksa meninggalkan Sabah pada 1977. Beliau memulakan penghidupan baru di Semenanjung setelah beberapa kedudukan penting dilucutkan dan harta yang dimilikinya secara sah dirampas oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun dalam menghadapi pancaroba ini, Syed Kechik tidak dibiarkan bersendirian oleh rakan-rakan yang mengenalinya dari dekat dan yakin akan kejujurannya. Berada di barisan depannya ialah adiknya sendiri, Syed Salem Albukhary yang berpegang kepada amanah bapanya untuk terus bersama adik-beradik.

Lebih 30 tahun sejak abangnya masih hidup sehingga meninggal dunia, Syed Salem berhempas pulas menjalankan segala usaha terutamanya menerusi undang-undang di dalam atau di luar mahkamah memulihkan nama baik, hak dan kehormatan abangnya.

Kisah jatuh bangun Syed Kechik dalam pengembaraan hidup diharungi dengan nekad dan berani, daripada kelasi kapal dan berakhir di puncak kekayaan, krisis politik dan perebutan harta telah dimuatkan dalam buku Pembalasan Dendam dan Penyalahgunaan Kuasa: Menyelami politik keadilan di Negeri di Bawah Angin (1975-2013). Buku ini telah dilancarkan oleh Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Jumaat lalu.

Peluang

Pemilihan Dr. Shaari untuk menulis buku ini telah diberitahu kepada Syed Kechik oleh Syed Salim enam hari sebelum pemergiannya pada 10 April 2009 dalam usia lebih 80 di Alor Setar, Kedah.

Dr. Shaari yang telah menghasilkan beberapa novel antaranya Campakan Aku ke Laut, Maktab Ibu Kandung, Harimau di Behrang dan Dit It Really Happen.

Syed Salem telah memberikan peluang kepada saya untuk membaca lebih dahulu manuskrip buku ini kerana tahu saya antara yang lebih dahulu mengenali abangnya selepas beliau kembali dari Amerika Syarikat pada akhir tahun 1955. Syed Kechik menggapai cita-cita untuk menguasai bahasa Inggeris dan mempunyai kelayakan dalam bidang ekonomi dan sains politik dari University Of California, Los Angeles. Tetapi disebabkan universiti Amerika tidak diiktiraf pada masa itu, Syed Kechik melanjutkan pelajaran pula dalam bidang undang-undang di London dengan menggunakan wang simpanan semasa di Amerika.

Pemergiannya ke London menerusi jalan laut hanya saya ketahui setelah menemuinya di Kuala Lumpur ketika beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan, Datuk Senu Abdul Rahman tahun 1964. Selepas itu beliau diarahkan oleh Tunku Abdul Rahman menjadi penasihat kepada Tun Mustapha dan partinya USNO untuk memantapkan kedudukan Sabah dalam Malaysia.

Langkah politik pertama yang begitu berkesan bagi memenangi hati orang Sabah dan memperkuatkan kedudukan Tun Mustapha dan USNO ialah menukarkan nama bandar Jessellton kepada Kota Kinabalu. Saya adalah antara tiga orang yang diberitahu lebih dahulu rancangan itu sebelum dikemukakan kepada Tun Mustapha.

Pembangunan semula Kota Kinabalu dan Bangunan Yayasan Sabah setinggi 30 tingkat menampakkan permulaan ke arah menzahirkan rancangan besar dan juga visinya bagi masa depan Sabah.

Walau apa pun yang diperkatakan tentang Syed Kechik, kita tidak dapat dinafikan beliau telah meletakan asas pembangunan sosial, ekonomi dan politik yang jelas, tidak sahaja di Sabah malah di Semenanjung dalam masa hanya 10 tahun berada di belakang kerajaan Sabah.

Yayasan Sabah yang ditubuhkan pada tahun 1965 menjadi jentera pelaksanaan paling berkesan, tidak sahaja bagi meningkatkan pencapaian anak-anak golongan miskin Sabah, malah merapatkan hubungan antara Semenanjung dengan Sabah.

Di bawah Yayasan Sabah, anak-anak Sabah dihantar ke Semenanjung dan diberi biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan daripada hasil balak untuk melanjutkan pelajaran tidak sahaja di Semenanjung tetapi juga di seberang laut.

Pengarah Institut Teknologi Mara (kini UiTM), Tan Sri Arshad Ayub telah memberi kerjasama kepada Syed Kechik untuk menubuhkan Yayasan Sabah- ITM, kampus cawangan pertama ITM di luar Semenanjung dengan belanja RM1.5 juta.

Bagaimanapun kedudukan Syed Kechik di Sabah tergugat apabila Tun Mustapha merasakan lebih kuat dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Negeri selepas 13 Mei 1969.

Bila Syed Kechik tahu rancangan Tun Mustapha untuk mengeluarkan Sabah daripada Malaysia menerusi kertas 'Masa Depan Sabah Dalam Malaysia' bertarikh 24 April 1975, beliau telah diminta oleh Tun Razak untuk memberitahu Tun Mustapha supaya berundur. Tun Mustapha patuh dan berundur pada 31 Oktober 1975 kemudian diambil alih oleh Tan Sri Mohd Said Keruak.

Membantu menyingkirkan Tun Mustapha ialah Fuad Stephen, Harris Salleh, Ghani Gelong, Peter Majuntin dan Salleh Sulong. Mereka menubuhkan parti baru, Parti Berjaya pada 15 Julai 1975 dengan bantuan daripada dua pemimpin UMNO, Ghafar Baba dan Abdullah Ahmad yang juga setiausaha politik kepada Tun Razak.

Parti Berjaya yang disokong oleh Kerajaan Pusat berjaya mengalahkan USNO dan mengambil alih kuasa daripada Tun Mustapha dalam pilihan raya pada 14 April 1976.

Kerajaan negeri berjaya mengambil alih sepenuhnya Yayasan Sabah. Syed Kechik dipecat daripada jawatan pengarah, lesen balak khas yang dianugerahkan kepada syarikat Banita Sdn. Bhd. dimansuhkan, 2,454 ekar tanah pembangunan yang dibeli sedikit demi sedikit dalam masa 10 tahun yang didaftar atas nama Zara Sdn. Bhd. telah dirampas.

Syed Salim merasakan berlaku ketidakadilan ke atas abangnya dan berjuang menuntut keadilan menerusi mahkamah dan berakhir dengan kejayaan walaupun mengambil masa lebih 30 tahun. Mahkamah Persekutuan pada 2 Julai 2008 memutuskan bahawa Perintah Mandamus boleh dikenakan ke atas Menteri Kewangan Kerajaan Negeri Sabah yang memaksa pelaksanaan statutory, yang kerajaan negeri enggan laksanakan lebih tiga dekad.

Bagi Syed Salim semua yang dilakukannya adalah kerana kepercayaan dan keprihatinannya terhadap tradisi kasih sayang dan amanat daripada bapanya.



Zainuddin Maidin Utusan Malaysia Online Rencana 20140119
Tags: syed, tokoh
Subscribe

  • Ergonomi, Peranti Mudah Alih dan Tempat Kerja

    Sejak Mac 2020, kebanyakan institusi mula dan diarahkan untuk bekerja di rumah. Bagi institusi pendidikan terutamanya kerja mendidik dijalankan…

  • Perjalanan panjang telefon awam

    SEJARAH dan perkembangan telefon awam di negara ini bermula ketika zaman pemerintahan British sekitar tahun 1930-an. Menurut Ketua Muzium Telekom,…

  • Perlu bantuan operator

    A/B Black merupakan telefon awam buatan British yang dilengkapi dengan sebuah telefon lengkap dail bagi memberi kemudahan kepada sesiapa yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments