kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ PATI, SPRM, Cina, Kelas dan Kucing

Tangani warga asing

AWANG tidak larat geleng kepala setiap kali melihat premis-premis dan gerai awam di ibu negara dikuasai oleh warga asing.

Banyak lot kedai UDA, gerai-gerai DBKL dan PBT sekitar ibu negara 'berubah wajah'.

Pemilik sebenar menghilang diri kerana telah menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Sebab itu ramai lega apabila Perdana Menteri, Najib Tun Razak membangkitkan perkara tersebut semalam.

Awang berharap peringatan dan amaran beliau disusuli dengan tindakan oleh pihak-pihak berkenaan terutama dari aspek penguatkuasaan.

Masalah rasuah pihak PBT dan penguatkuasaan yang lemah antara punca gejala menyewa dan menjual premis kepada warga asing, menjadi-jadi.

Harapkan pagar, pagar makan padi.

Banyak negara kini melaksanakan polisi yang lebih ketat dalam menangani kebanjiran warga asing terutama pendatang haram.

Sudah sampai masanya kerajaan Malaysia mengambil pendekatan yang sama. Awang sangat terganggu apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan lebih 300,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) 'terperangkap' di negara ini. Mereka tidak dapat dihantar pulang ke negara asal yang enggan menerima mereka berikutan ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Itu belum lagi mengambil kira ratusan ribu warga asing yang tinggal melebihi tempoh, yang isu itu amat serius.

Banyak maklum balas yang diterima mendapati kerajaan sejak lebih tiga dekad lalu banyak berlembut dan kurang efisien dalam pengawalan warga asing terutama PATI. Malaysia adalah negara yang paling diambil mudah oleh PATI.

Adalah menjadi harapan agar operasi buru PATI mulai minggu depan yang digerakkan oleh KDN akan membawa pembaharuan besar-besaran.

Inilah masa untuk atasi pelbagai kelemahan dan kegagalan. Yang paling rakyat bosan ialah penguatkuasaan bermusim.

Perhatian SPRM

SEKALI lagi, ada pihak, menerusi ruangan ini meminta agar disampaikan keluh-kesah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Atas nama kepentingan awam, Awang bersetuju. Hal ini, tiada kaitan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed yang disegani kerana kredibiliti dan integritinya.

Ia lebih berkisar kepada segelintir pegawai SPRM yang dikatakan keterlaluan dalam menjalankan siasatan.

''Tertuduh tidak dibenarkan ditemui oleh keluarga dan mengambil ubat untuk penyakit yang dihidapi seperti kencing manis dan jantung.

''Melayan tertuduh seolah-olah sudah bersalah tetapi apabila siasatan menunjukkan tertuduh tidak bersalah, tiada usaha dilakukan bagi membersihkan nama (tertuduh).''

Itu adalah antara dakwaan yang Awang terima daripada pihak berkenaan, baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, katanya lagi, terdapat beberapa pegawai penyiasat yang mengaku mereka penyokong pembangkang dan teruja untuk bertindak ke atas para pegawai menteri.

Apakah ini ada kaitan dengan tanggapan bahawa SPRM agresif menyiasat kes-kes pemimpin kerajaan dan penjawat awam tetapi tidak berani bertindak ke atas pemimpin pembangkang?

Awang tidak mahu komen lanjut. Cukuplah sekadar melontarkan perkara ini untuk perhatian SPRM, yang diharap berani melakukan pembetulan jika semua dakwaan tersebut benar.

Cina tipu Cina?

MARUAH dan moral DAP terus menjadi bahan bualan. Dua kali pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), kedua-duanya bermasalah besar.

Pemilihan CEC pada Disember 2012 tidak sah dan tidak diiktiraf ekoran aduan ahli terhadap kepincangan dan salah laku semasa pemilihan.

Pemilihan kedua CEC pada September tahun lalu juga sehingga kini belum disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas menerima aduan ahli.

Dalam tempoh Disember 2012 hingga sekarang, beberapa pemimpin DAP melakukan pembohongan demi pembohongan bagi menutup salah laku. Sandiwara mereka luar biasa.

Selain peringkat pusat, pemilihan di negeri-negeri termasuk yang terbaharu di Johor, turut mencetuskan kontroversi. Di Kedah pula, terus bergelora.

Apa yang berlaku dalam DAP sekarang tidak ubah seperti Cina menipu Cina. Dengan barisan kepimpinan parti itu yang dikuasai oleh pemimpin Cina dan majoriti ahli serta penyokong adalah kaum itu maka siapa yang menjadi mangsa?

Awang juga tidak fikir bahawa masyarakat Cina merelakan diri mereka ditipu apatah lagi berulang kali kerana itu bukan budaya kaum tersebut.

Lalu Awang teringatkan kepada seorang penulis propembangkang Kee Thuan Chye yang suka menggunakan istilah kelentong.

Harap-harap Thuan Chye ada cukup keberanian moral untuk menulis pasal budaya pembohongan pemimpin DAP. Pernah Awang terbaca satu tajuk tulisannya yang lebih kurang berbunyi: 'Jangan kelentong lagi kita semua orang Malaysia'.

Mungkin beliau boleh menulis buku untuk pemimpin DAP termasuk Lim Guan Eng selepas ini bertajuk: 'Jangan kelentong lagi kita semua orang Cina'.

Kelas rendah

RAMAI yang marah dengan tindakan ADUN Machang Bubuk (PKR), Lee Khai Loon menyumbat kangkung ke dalam mulut patung yang menyerupai Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Perbuatannya itu bukan sekadar biadap dan kurang ajar malah boleh dianggap bodoh.

Khai Loon hanya menghina dirinya sendiri. Wakil rakyat yang dipilih rakyat mesti kelihatan matang dan budiman, bukannya bertabiat buruk.

Nampak sangat beliau bersikap rasis dan mahu menghina pemimpin Melayu.

Mengapa Khai Loon tidak menyumbat logo kereta Mercedez Benz-S300L kepada mulut patung Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai simbol pembaziran dan cakap tidak serupa bikin.

Apakah kerana Najib orang Melayu, Guan Eng orang Cina?

Ketika Kerajaan Pusat pimpinan Najib melaksanakan pelbagai langkah jimat cermat termasuk memotong elaun menteri Kabinet, pemimpin kerajaan DAP negeri itu guna wang rakyat beli kereta mewah di sebalik bajet defisit empat tahun berturut-turut.

Mengapa PKR dayus tidak berani menegur?

Awang tidak tahu apa masalah Khai Loon. Mungkin dia menghadapi kecelaruan minda atau kurang kasih sayang sebelum ini.

Atau pernah melalui pengalaman pahit dibuli semasa zaman persekolahan, entahlah.

Tetapi Awang kasihankan dia kerana menjadi wakil rakyat kelas rendah dengan mentaliti budak liar yang seolah-olah baru lepas hidu gam.

Mimpi lerai misteri KEHILANGAN tiga anak sekali gus apatah lagi dibunuh, adalah sesuatu yang amat sukar diterima oleh mana-mana ibu bapa.

Itulah yang dilalui oleh Rusdi Rani dan Siti Aisyah Arifin di Kampung Alor Semelah, Alor Setar. Kesemua tiga anak pasangan itu, Nur Syafika Nadia, 14, Nur Izzati, 12 dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui mati pada akhir November lalu.

Kejadian tersebut mencetuskan kegemparan di Kedah. Ramai tertanya-tanya apa cerita sebenar kes itu kerana sudah lebih sebulan, tiada sebarang perkembangan.

Dari hari ke hari, Rusdi dan Siti Aisyah menanggung keperitan yang tidak terhingga.

Pada Selasa lalu, Rusdi, 39, menceritakan bagaimana beliau mengalami mimpi aneh. Dalam mimpi itu anak sulungnya muncul menyebut nama seorang remaja di kawasan berhampiran yang dipercayai bertanggungjawab.

Walaupun sekadar mimpi, hal itu dilaporkan kepada polis dan ia menjadi petunjuk baharu. Misteri pembunuhan itu akhirnya terungkai apabila polis pada Khamis lalu, menahan dua remaja berusia 19 tahun termasuk suspek utama yang namanya disebut melalui mimpi.

Dalam kejadian itu, menurut sumber polis, suspek cuba merogol Nur Syafika tetapi gagal lalu bertindak membunuhnya sementara dua beradik lagi mati lemas selepas ditolak ke dalam sungai.

Awang paparkan kisah ini kerana sangat tersentuh dengan tragedi yang menimpa sebuah keluarga dalam kalangan rakyat biasa.

Beberapa kali menatap wajah sugul Rusdi dan Siti Aisyah menerusi media, perasaan Awang terusik. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bayangkan jika kejadian seperti itu menimpa anak-anak kita?

Kisah kucing...

SEORANG teman menceritakan baru-baru ini bagaimana dia melihat beberapa lelaki menendang kucing di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Katanya, dua daripada lelaki itu berpakaian kemas dan bertali leher. Nampak seperti belajar tinggi tetapi kasar keterlaluan.

Awang dengar pun geram. Alangkah bagusnya jika mereka boleh membaca buku A Street Cat Named Bob iaitu kisah pemuzik jalanan, James Bowen dan kucing yang dikutipnya. Bukan sahaja haiwan itu menjadi teman setia bahkan mengubah hidupnya.


Awang Selamat Utusan Malaysia Online Rencana 20140119

Tags: kelas, kucing, pati, sprm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments