kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Proton, mengurus persepsi dan puncak Kinabalu

Saya bukan pemandu tegar yang gila dengan kelajuan. Saya hanyalah pemandu biasa yang berdarah dingin. Tetapi peluang yang diberikan oleh pengurusan Proton untuk memandu uji Lotus Elise dan Exige S ke kaki Gunung Kinabalu memberikan satu pengalaman yang sukar digambarkan.

Bayangkan memandu jentera litar di jalan berbukit dan berkelok-kelok dengan kualiti jalan yang tidak rata dan basah. Selain itu terpaksa berdepan dengan kenderaan berat yang bergerak perlahan dan timbunan tanah runtuh di beberapa lokasi.

Tetapi inilah sebenarnya kelebihan jentera ini - pantas memecut, mudah menyelit dan tetap tegap walaupun melalui selekoh tajam.

"Jalan macam inilah sesuai untuk sports car," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim bernada mencabar sebelum rombongan media bergerak secara berkonvoi dari Shangri-La Rasa Ria Resort dalam program media tiga hari DRB-HICOM Ke Bawah Bayu hujung minggu lalu.

Perjalanan berkonvoi ke Taman Gunung Kinabalu sejauh 60 kilometer itu nampak seperti biasa. Tetapi apabila memandu Lotus, inilah yang dirasai - terasa hebat kerana memandu kereta yang boleh ditunjukkan kepada orang. Satu lagi kebanggaan tidak terhingga adalah kerana kereta ini dikeluarkan oleh syarikat Malaysia.

Sepanjang perjalanan orang ramai melambai tangan. Kereta membunyikan hon dan menyalakan lampu. Apabila berhenti rehat, orang ramai akan berkerumun, mengambil gambar serta memerhati luar dan dalam.

Elise 1.6 liter menggunakan enjin Toyota itu ibarat gadis ayu yang lincah. Ngaumannya lunak tetapi boleh memberikan kejutan. Exige 3.5 liter dipandu Lukman pula bak lelaki maskulin yang ketangkasan dan kejaguhannya sudah diduga.

Di Kota Kinabalu, difahamkan hanya ada seorang pemilik Lotus. Barangkali inilah Lotus pertama yang pernah menjelajah jalan terjal ke kaki Gunung Kinabalu.

Kehebatan Lotus transmisi manual enam kelajuan ini teruji semasa dalam perjalanan pulang. Lebih 40 buah kereta, kebanyakannya model Suprima S yang dipandu media dan kakitangan DRB-Hicom, yang dibawa khas dari Kuala Lumpur dibebaskan daripada konvoi.

"Kalau nak ikutlah saya," kata Lukman yang mahir memandu uji Lotus di litar dan lebuh raya.

Saya menyahut cabaran itu walaupun menyedari Elise hanya berkapasiti enjin 1.6. Tetapi jalan berkelok-kelok dan banyak kenderaan berat memudahkan untuk sentiasa mengekori Exige S yang ngaumannya sahaja boleh menggegarkan jantung.

Hebat, walaupun saya hanya pemandu biasa tetapi Elise mudah dikendalikan dengan purata kelajuan 100 -140 km sejam. Si gadis lincah Elise ini memang sesuai untuk dihadiahkan kepada isteri mahupun teman wanita. Mungkin dengan sedikit ubah suai bertransmisi automatik, akan menjadikannya lebih diminati.

Lotus dalam sejarahnya telah banyak mengubah persepsi orang terhadap produk keluaran Proton. Daripada tradisi dan teknologi automotif British ini, Proton telah menjenamakan dirinya sebagai pembuat kereta yang semakin kukuh wibawanya. Kini Lotus semakin memperluaskan jaringannya termasuk di Emiriah Arab Bersatu dan China.

Namun persepsi buruk tidak dapat dibuang sepenuhnya. Masih ada orang yang curiga dengan cermin tingkap Proton walaupun telah lama masalah itu diselesaikan. Ada yang lebih suka memilih untuk mencemuh reka bentuk kereta-kereta Proton hanya kerana hampir sama dengan jenama kereta lain.

Masih ada yang pesimis dengan tahap keselamatan Proton walaupun keluaran terbaharu seperti Preve telah membuktikan sebaliknya apabila mendapat pensijilan Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) Lima Bintang.

Apabila ada kereta Proton yang tercabut enjin dalam kemalangan, ada yang cepat-cepat mempersendanya. Mereka tidak tahu itulah ciri keselamatan Proton sekarang bagi melindungi pemandu daripada kecederaan lebih teruk akibat henyakan enjin kereta.

Begitu juga ada yang mencebik apabila Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan diperkenalkan melalui kerjasama strategik dengan Honda. Bermacam gelar diberikan seperti Accord-dana sedangkan para jurutera Proton mengakui kerjasama itu begitu telus dan dapat membantu program pemulihan Proton.

Inilah yang sedang diperbetulkan secara agresif dan berfokus oleh DRB-Hicom yang baru mengambil alih Proton, dua tahun lalu. Walaupun kepelbagaian produk Proton belum lengkap tetapi syarikat ini boleh berbangga dengan variasi kereta yang ada.

Proton ada kereta berkelas mewah Lotus dan kereta mampu milik seperti Persona.

Mujurlah Proton seperti diakui oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohd, Khamil Jamil mempunyai pusat pembangunan dan penyelidikan antara yang terbaik. Proton masa depan akan memfokuskan kepada usaha mengurangkan kos dan penjimatan petrol.

Antara caranya dengan menggunakan bahan komposit daripada teknologi aeroangkasa yang dimiliki oleh anak syarikat DRB - Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) dan teknologi mengurangkan penggunaan bahan bakar.

Perjalanan Proton masih panjang dan tidak mudah. Sedang negara lain bangga Malaysia mampu membuat kereta, Proton berdepan dengan pelbagai cabaran apatah lagi kini menghadapi persaingan terbuka.

Sepanjang tiga hari berinteraksi dengan pengurusan Proton, gambaran yang diperoleh ialah syarikat ini telah mempersiapkan diri menghadapi cabaran itu. Walaupun hari ini hanya berada di kaki Gunung Kinabalu, satu ketika nanti Proton pasti boleh berada di puncaknya.


Zulkefli Hamzah warungrakyat.mingguan@gmail.com Utusan Malaysia Online Rencana 20140119
Tags: kinabalu, persepsi, proton
Subscribe

  • Jenaka atau Humor

    Berita terkini berbunyi “ Larangan rentas negeri, daerah 10 Mei hingga 6 Jun ”. Sebelum itu, ramai yang rasa boleh tersenyum…

  • Ketawa

    Aktiviti ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut 13 Mei ini, hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja bagi kawasan Perintah…

  • Bubble Tea , Senaman Kecergasan dan Madu Kelulut

    Aktiviti kecergasan, senaman dibenarkan Madu kelulut mampu sembuhkan pesakit Covid-19 ? Sah bubble tea ialah teh mutiara FOTO: Aziz A.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments