kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ringankan kos sara hidup

RATA-RATA rakyat hari ini bercakap berkenaan kenaikan kos sara hidup daripada kedai kopi hingga ke rumah kenduri. Ini ekoran daripada rasionalisasi petrol dan diesel, gula, kadar baru tarif elektrik dan kenaikan tol serta tambang pengangkutan awam.

Turut membimbangkan rakyat adalah pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April 2015. Tidak terkecuali para penjawat awam, terutama kumpulan rendah atau pelaksana juga terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

Justeru, bagi meringankan beban sara hidup, dicadangkan supaya diteliti semula gaji permulaan dan kenaikan gaji tahunan bagi penjawat awam.

GAJI PERMULAAN

Gaji permulaan untuk jawatan Gred N11 adalah RM802.

Mengambil contoh, seorang Pembantu Tadbir Gred 17 gaji permulaan adalah RM928 dengan kadar kenaikan tahunan sebanyak RM95.

Seandainya beliau masuk kerja pada usia 22 tahun, dalam tempoh lima tahun iaitu dalam usia 27 tahun gaji beliau RM1,403 mengambil kira kenaikan gaji tahunan RM95 setahun. Ini bermakna dalam tempoh lima tahun kenaikan gaji hanya RM475.

Dalam usia pertengahan 20-an banyak perubahan besar akan berlaku kepada seseorang seperti berkahwin, dapat anak, keperluan kepada kereta dan rumah. Cuba fikirkan, dengan pendapatan sebanyak RM1,403 (belum masuk potongan) bagaimana untuk survive, lebih-lebih lagi hidup di kota besar.

Perkara ini menyebabkan ramai penjawat awam terjebak dengan pinjaman peribadi dan salah satu sebab kenapa masih ramai tidak mampu beli rumah.

Walaupun kini ada kenaikan pangkat secara time based, namun demikian seseorang yang dilantik ke Gred 17 dengan gaji permulaan RM928, akan naik ke Gred 22 setelah 13 tahun khidmat.

Beliau akan hanya mencapai gaji maksimum di Gred 22 iaitu RM4,233 dalam tempoh 30 tahun khidmat yakni hampir bersara. Realitinya, pada usia pertengahan 20-an hingga awal 50-an tanggungan seseorang amat banyak. Usia lingkungan ini adalah usia produktif dan dalam graf menaik dari segi kewangan.

Berbanding usia lewat 50-an iaitu hampir bersara, tanggungan agak kurang kerana ada anak yang telah bekerja. Tempoh gaji permulaan hingga gaji maksimum wajar dipendekkan daripada 30 tahun kepada 25 tahun. Walaupun mencapai gaji maksimum lebih awal, masih ada kenaikan tiga peratus setahun bagi mereka yang berada di gaji maksimum.

KENAIKAN GAJI TAHUNAN

Satu perkara lagi yang patut diteliti semula adalah kenaikan gaji tahunan khasnya bagi kumpulan pelaksana yang agak rendah berbanding kenaikan kos sara hidup.

Bagi kumpulan pelaksana 2, kenaikan gaji tahunan sebanyak RM80 setahun. Kadar kenaikan gaji yang rendah tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup yang jauh lebih tinggi serta sukar dijangka.

Kenaikan kos sara hidup bukan hanya dalam perkara besar sahaja tetapi harus dilihat secara holistik melibatkan perkara kecil yang bukan barang kawalan seperti upah penjagaan anak, susu, lampin pakai buang, sabun pencuci, wang saku anak sekolah, tambang bas sekolah hingga bil telefon dan lain-lain semuanya mengalami kenaikan.

Sekiranya dua perkara tersebut iaitu gaji permulaan dan kenaikan gaji tahunan dinaikkan, sedikit sebanyak dapat membantu mengimbangi dan meringankan beban kenaikan kos sara hidup serta wujud lebihan tunai sekali gus meningkatkan kuasa beli.

Seiring dengan hasrat menuju negara berpendapatan tinggi serta sikap prihatin dan merasai denyut nadi rakyat, besarlah harapan kiranya pihak kerajaan dapat meneliti cadangan ini demi kebaikan penjawat awam.



Utusan Malaysia Forum 20140117  BASHARUDDIN HASHIM Alor Setar, Kedah
Tags: gaji, kos, sara hidup
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments