kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Harga barang tidak naik jika peniaga ada semangat patriotik

KITA tidak boleh salahkan kerajaan ataupun salahkan rakyat tetapi sebenarnya peniaga, pemborong, pengedar dan peruncit serta gerai dan restoran yang bercambah bagaikan cendawan adalah punca harga naik.

Yang naik itu termasuk lauk-pauk di restoran dan gerai yang mungkin mereka berpakat sehingga air minuman pun mereka naikkan harga.

Sikap tamak dan tiada langsung semangat patriotik dalam kalangan peniaga inilah penyebab utama mengapa terjadinya kenaikan mendadak harga barang.

Mereka memang cuba menangguk di air keruh dengan sesuka hati menaikkan harga walaupun tidak langsung ada kena mengena dengan kenaikan harga minyak atau tarif elektrik.

Sebagai contoh apa kena mengena harga roti canai yang dahulunya 80 sen kini menjadi RM1 dan begitu juga teh tarik RM1 sebelum ini tetapi sekarang naik kepada RM1.50, sedangkan modal untuk satu cawan teh tarik hanya sekitar 40 sen sahaja.

Rasa tidak logik apabila minyak naik harga 20 sen seliter maka roti canai pun ikut naik 20 sen juga.

Begitu juga harga ikan, sotong udang dan lain-lain barangan basah mengapa harus dinaikkan sekali ganda. Kalau dahulu ikan kembung berharga RM8 kenapa kini menjadi RM16 atau udang dan sotong kalau dahulu kita boleh bawa balik dengan harga RM15 tetapi kini sudah mencecah RM30?

Minyak naik hanya 20 sen tetapi sotong, udang dan ikan naik antara RM10 hingga RM20 sekilogram.

Kalaulah peniaga, pemborong, pembekal dan peruncit tidak naikkan harga dan tauke restoran atau gerai tidak naikkan harga kerana adanya sifat kemanusiaan dan bersemangat patriotik sudah tentu perkara sebegini tidak akan berlaku kerana pengaliran wang ringgit kita hanya berkisar di dalam negara kita sahaja dalam urusan jual beli antara pengguna dan penjual tempatan.

Semasa berkunjung ke Indonesia beberapa kali pernah saya bertanya dengan peniaga di sana bagaimana rakyatnya masih mampu mengharungi kehidupan harian mereka sedangkan rata-rata gaji kakitangan kerajaan dan swasta di sana lebih jauh rendah berbanding dengan Malaysia?

Jawapan peniaga di sana mudah sahaja: "Kami berniaga untuk ambil untung kecil-kecilan sahaja kerana kami tahu kehidupan dan pendapatan rakyat. Adalah kewajipan kami untuk pastikan bahawa kita sama-sama bekerjasama serta bertolak-ansur terutama sekali apabila melibatkan ekonomi negara dan rakyat Indonesia mempunyai semangat patriotik yang kuat dalam menentukan nasib warga sebangsa."

Peniaga di negara kita ini hanya tahu untung dan untungnya sahaja tetapi tidak ambil tahu tentang nasib rakyat yang menjadi pelanggan tetap mereka selama ini.

Utusan Malaysia Forum 20140120 SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL Yang Dipertua Persatuan Jamalullail Perak
Tags: ekonomi, kos, sara hidup
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments