kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Beban hutang gugat kebahagiaan

KITA masih lagi dalam bulan pertama tahun baru. Adakah kita telah mula merancang perbelanjaan atau tidak merancang apa-apa sekadar berbelanja mengikut kehendak hati?

Hari ini ramai yang mengeluh kerana terpaksa berhutang untuk menampung ketidakcukupan pendapatan isi rumah kesan daripada kenaikan kos barangan, perkhidmatan dan keperluan harian.

Mereka yang mengharapkan gaji bulanan semata-mata pasti terbeban bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga, lebih-lebih lagi pada permulaan tahun baru ini kerana perlu juga menanggung perbelanjaan membeli keperluan persekolahan anak-anak.

Keadaan ini kadang-kala memaksa ibu bapa berhutang.

Bayangkan pula bagi sesebuah keluarga yang hanya mengharapkan kudrat ketua keluarga pasti akan lebih berasa terbeban untuk menampung keperluan anak-anak yang semakin membesar. Ini belum masuk yuran pendaftaran, yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), buku dan sebagainya. Malah agak mengejutkan apabila ada ibu bapa terpaksa menanggung kos sekolah agama yang mencecah sehingga RM600 bagi kemasukan tahun satu sekolah rendah.

Itulah situasi yang perlu dilalui oleh masyarakat kita hari ini.

Kenaikan kos sara hidup yang tidak selari dengan pendapatan isi rumah telah mengurangkan perbelanjaan boleh guna isi rumah.

Pendapatan yang diterima sekadar cukup untuk memenuhi keperluan semasa keluarga terutama keperluan asas seperti makanan dan rumah tanpa ada simpanan. Isi rumah tidak dapat lagi membuat simpanan atau pelaburan seperti sebelum ini malah terpaksa berjimat-cermat.

Tidak mustahil ada juga terpaksa mengikat perut demi memastikan kelangsungan hidup diri dan keluarga.

Suasana ekonomi yang sangat mencabar ini sebenarnya menuntut kita memberi perhatian terhadap kebahagiaan keluarga.

Ada individu yang terpaksa mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman daripada institusi kewangan tidak berlesen bagi menampung ketidakcukupan pendapatan bulanan mereka.

Walaupun mereka tahu berhutang dengan ceti haram atau ah long akan terdedah kepada ancaman keselamatan diri dan keluarga jika tidak dijelaskan wang pinjaman dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, mereka nekad melakukannya.

Kos sara hidup yang meningkat mengundang pelbagai implikasi buruk kepada masyarakat terutama bagi yang berpendapatan rendah. Ketidakmampuan menjelaskan hutang menyebabkan ada yang berasa tertekan sehingga memberi kesan kepada psikologi mereka. Antaranya sukar untuk tidur, hilang selera makan, sakit kepala, bimbang, mudah marah dan sebagainya.

Tidak terkecuali kesan kenaikan kos sara hidup mempengaruhi aspek sosial. Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan, maka individu tersebut terpaksa melakukan pekerjaan tambahan atau kerja sambilan bagi menampung keperluan perbelanjaan semasa yang tidak mencukupi.

Mereka terpaksa melakukan dua kerja.

Disebabkan kesibukan bekerja terutama bagi yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, masa berkualiti bersama keluarga semakin kurang yang akhirnya turut memberi kesan kepada institusi keluarga.

Sekiranya berterusan membawa kepada pelbagai masalah seperti perbalahan, penderaan, perceraian dan gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja mereka.

Selain itu, kekurangan masa berehat menyebabkan individu terbabit mudah terdedah dengan pelbagai penyakit mental dan emosi serta tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja hakiki. Akhirnya produktiviti di tempat kerja merudum.

Dalam hal ini, masyarakat kita perlu dibantu menyediakan mekanisme yang bersesuaian dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa. Mereka perlu bijak mengatur perbelanjaan dengan berbelanja secara berhemat.

Pendedahan tentang beberapa instrumen simpanan dan pelaburan untuk keperluan semasa dan kecemasan juga perlu.

Jika ada lebihan pendapatan, belajarlah menabung.

Buatlah perancangan yang baik dan teliti dengan berbelanja mengikut kemampuan bukan mengikut nafsu agar tidak terpalit dengan bebanan hutang yang boleh menggugat kebahagiaan keluarga.



Pandangan IKIM Utusan Malaysia Rencana 20140120
Tags: bahagia, hutang, kos, sara hidup
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments