kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bersederhana pada Tahun Baharu Cina

BANYAK cuti umum jatuh pada bulan Januari tahun ini dengan beberapa perayaan penting seperti Maulidur Rasul, Hari Thaipusam dan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Perayaan-perayaan ini mencetuskan suasana yang meriah dan penuh dengan warna-warni di negara ini.

Semasa Hari Thaipusam, kita boleh melihat kuih-muih tradisional India yang disajikan berwarna-warni dengan kandungan gula yang sangat tinggi. Berita-berita di televisyen juga menyiarkan harga kuih-muih seperti ladu, nei urundai iaitu kuih yang diperbuat daripada kacang dal digaul dengan minyak sapi dan adhirasam daripada tepung beras dan dimasak dengan air gula yang dijual di Batu Caves baru-baru ini telah naik harga kerana kosnya lebih tinggi.

Saban hari juga kita berbincang kenaikan harga barang dan berita tentang pemantauan harga oleh Jawatankuasa Khas Kabinet yang menunjukkan kerajaan sentiasa serius dalam menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.



Kelihatan banyak tanglung digantung sepanjang jalan Petaling Street sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu diambil bukan gimik kerajaan atau bersifat politik sebaliknya dilaksanakan untuk mendengar suara rakyat. Kita mengharapkan kajian segera dapat dilakukan dengan keputusan yang terbaik untuk rakyat. Namun sementara menunggu segala keputusan maka inisiatif kita ialah berbelanja secara bijak dan berhemat.

Persediaan Tahun Baharu Cina, biasanya masyarakat Cina akan sibuk membuat persiapan dengan membeli kuih-muih yang wajib seperti kuih bakul, kuih kapit, tart nenas, kerepek dan semuanya semestinya manis-manis belaka.

Namun, bersederhana dalam memilih makanan yang manis adalah amat penting kerana seramai 2.6 juta orang di Malaysia dikesan menghidap penyakit kencing manis dan tidak termasuk dua juta rakyat yang tidak membuat pemeriksaan kesihatan.

Baru-baru ini Presiden Majlis Pencegahan Obesiti, Jong Koi Chong menyatakan 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap kencing manis iaitu kadar paling tinggi di ASEAN.

Maka, mencegah lebih baik daripada mengubati dan semua pihak berkaitan perlu mengadakan kempen secara besar-besaran untuk mencelikkan minda rakyat untuk mengurangkan pengambilan gula.

Di musim perayaan, media massa sebagai medium yang paling signifikan untuk menyalurkan pengetahuan tentang keburukan mengambil gula.

Rakyat kita bukan sahaja perlu mengelakkan makanan atau minuman ringan yang manis tetapi juga perlu mengurangkan gula dalam masakan mereka. Kesihatan juga perlu dijaga kerana berjenis-jenis makanan yang dimakan jika berlebihan akan menjadi penyakit pula.

Bersederhana dalam membeli-belah di musim perayaan khususnya di Tahun Baharu Cina. Kalau kita ke mana-mana kelihatan khemah-khemah menjual buah limau sudah ada di tepi jalan, hiasan-hiasan berwarna merah telah digantung di kedai-kedai dan macam-macam lagi yang dijual.

Kalau bercakap tentang tradisi makan besar orang Cina, lagilah macam-macam perlu ada kerana setahun sekali keluarga berkumpul. Makan besar iaitu malam sebelum raya semuanya perlu lengkap dengan berpuluh hidangan dengan makna yang tersendiri. Jika kita berbelanja terlalu ghairah maka akhir bulan kita perlu menggaru kepala sebab mula pening.

Pemberian angpau adalah tradisi penting orang Cina dan setiap pemberian ikhlas yang diberikan penuh dengan doa dan restu daripada pemberi kepada penerima. Itu lebih penting daripada jumlahnya.

Namun, sesetengah anak muda kini yang menerima angpau tidak tahu adat resam apabila menerima angpau dan terus membuka angpau di hadapan pemberi. Ini tidak manis. Jumlah angpau yang diberi adalah ikhlas daripada pemberi dan janganlah disebut jumlahnya dengan kuat atau menunjukkan reaksi tidak gembira dengan jumlah diberi. Pemberian duit angpau secara sederhana sudah mencukupi kerana angpau yang dihulur perlu diterima dengan dua tangan dan senyuman serta ucapan terima kasih.

'Yee Sang' adalah makanan tradisi di Tahun Baharu Cina dengan sejarah tersendiri diilhamkan daripada idea terdapat lebihan makanan seperti keropok, lobak merah, lobak putih, limau bali, halia dan sebagainya selepas merayakan Tahun Baharu Cina. Mereka mencampur saki-baki makanan itu untuk mengelakkan pembaziran dan ditambah dengan perasa seperti sos plum, lada hitam dan putih serta minyak untuk membangkitkan rasa. Hidangan unik yang dipercayai membawa kemakmuran, kemewahan dan tuah dalam masyarakat tersebut percaya hidup sederhana seseorang akan diberkati dengan kesejahteraan serta dipanjangkan umur.

Marilah kita mengubah gaya hidup kepada sederhana yang sebenarnya mempunyai banyak faedah. Berdisiplin dan jadikan tabiat menabung gaya hidup anda tidak kira peristiwa atau waktu. Anda cuma memerlukan sedikit kreativiti dan rancangan untuk beraya dengan sederhana. Lagipun, yang paling penting ialah pertalian silaturrahim antara keluarga dan rakan-rakan. Namun asasnya, dengan hidup bersederhana, kita akan lebih tenang kerana tidak perlu berlumba-lumba menjadi seperti orang lain.

Malah, wang yang ada bolehlah digunakan untuk pendidikan anak-anak dengan kenaikan kos sara hidup tinggi. Semoga tahun kuda di tahun 2014 akan membawa lebih banyak tuah dan kemakmuran kepada kita. Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina. Salam 1Hati.



DR. JESSICA ONG HAI LIAW Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 20140121
Tags: cina, perayaan, sederhana, tahun baru
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments