kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sensitif terhadap hal-hal sensitif

TINDAKAN Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Nan Ya, Phang Ah Ngah dan Guru Besar, Chiew Swee Tuan meminta maaf secara terbuka kepada guru Cina mualaf yang diminta membuka tudungnya baru-baru ini adalah suatu langkah prihatin terhadap sensitiviti agama.

Dalam sebuah negara yang majmuk, isu agama dan kaum adalah isu sensitif untuk disentuh. Perlembagaan Malaysia dan enakmen yang berkaitan dengannya memberikan asas perundangan yang jelas supaya antara batas kewajipan dan kebebasan harga perpaduan terlalu amat penting.

Bila kelompok Kristian cuba mencabar peruntukan yang bersifat perundangan sama ada dalam bidang kuasa Pusat mahupun negeri ia sudah melampaui batas dan tidak sensitif kepada hubungan kaum dan agama.

Ia boleh membangkitkan kemarahan dan tindakan orang Islam terhadap yang bukan Islam dan amat bahaya bagi hubungan kaum dan agama di Malaysia. Asas toleransi amat dituntut supaya persefahaman terbina dan keharmonian dijaga.

Yang terkini adalah kenyataan Setiausaha Agung Gereja Malaysia (CCM), Paderi Herman Shastri mendakwa adalah tidak adil jika umat Islam dibenarkan menjalankan usaha dakwah sedangkan bukan Islam dilarang berbuat demikian.

Pendirian itu dinyatakan beliau dalam Forum Kebebasan Beragama di Petaling Jaya pada 13 Januari lalu. Sekali lagi sensitiviti agama diusik dan menyebabkan umat Islam rasa tersinggung.

Dalam kalangan bukan Islam khususnya Kristian harus faham bahawa masyarakat Malaysia sejak sebelum merdeka sehinggalah kini terbina atas asas sejarah, budaya dan agama yang mewarnakan sifat Malaysia yang unik.

Zaman penjajahan yang terjadi lebih 400 tahun tidak dapat mengelakkan pihak penjajah bercita-cita mengembangkan pengaruh Kristian di kalangan anak jajahan mereka. Fakta ini tidak pernah dilupakan oleh orang Islam di Malaysia.

Sejarah Bintang Tiga, pendekatan komunis yang menzalimi, sejarah penguasaan komunis selepas Jepun menyerah kalah adalah titik hitam yang pernah melanda dan amat perit untuk dikenang.

Apabila kemerdekaan tercapai banyak pengorbanan dan kompromi terjadi. Dan Perlembagaan menjadi sumber rujukan perundangan yang membolehkan kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama terjadi.

Bila ungkitan dibuat terhadap hal-hal yang sensitif ibarat mengguris kembali luka-luka lama dan ia adalah bahaya bagi kesejahteraan negara Malaysia. Pihak bukan Islam tidak harus berdegil memperjuangkan perkara-perkara sensitif kerana peruntukan dalam perundangan mempunyai maksud dan hikmah yang terbaik memelihara keharmonian yang sekian lama terjalin.

Kebebasan orang bukan Islam mengamalkan agama mereka dipelihara. Ekuiti kaum Cina dalam perniagaan dan ekonomi ternyata besar berbanding dengan orang Melayu. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil menggunakan bahasa ibunda tetap terpelihara.

Apabila isu sensitif menjadi isu politik, orang Islam mula dapat membaca maksud yang tersirat. Lebih-lebih lagi kelompok hak asasi manusia yang tampil mencabar perkara asas dan fundamental dalam Perlembagaan Negara menyebabkan keresahan terjadi.

Pihak berkuasa pada hemat penulis baik di peringkat Persekutuan, negeri-negeri, Raja-Raja dan Sultan sangat berhemat dan cermat mengambil sikap terhadap isu ini.

Keresahan masyarakat juga harus diambil kira kerana penulis percaya majoriti rakyat mahukan negara Malaysia yang aman dan damai.

Kedegilan yang melampau atas agenda tersirat dan perancangan politik yang melampaui politik pilihan raya harus dibendung dengan tegas atas asas perundangan dan bidang kuasa yang ada.

Ada pihak yang sedang menguji kesabaran dan kebijaksanaan pihak yang berkuasa seperti kata pepatah, “lulus jarum luluskan kelindan". Bermakna kalau ujian ini berjaya mereka akan rancang ujian yang lain pula.

Rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian di Malaysia menunggu tindakan bijaksana daripada semua pihak bahawa isu sensitif tidak harus dijadikan bahan mainan dan politik ingin berkuasa atau ingin meraikan cita-cita peribadi seseorang untuk berkuasa.

Harga perpaduan di Malaysia terlalu amat mahal untuk digadaikan.



JENDELA TOK KI Utusan Malaysia Rencana 20140121
Tags: perpaduan, sensitif
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments