kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sejarah negara rentasi buku teks

SEJARAH bukan hanya terkandung dalam buku teks sekolah. Sejarah adalah satu kemahiran - intelektual, warisan dan kehidupan. Wacana dan kenyataan awam yang hanya mengaitkan sejarah kepada buku teks dan pengajarannya memupuk semangat patriotisme adalah kurang tepat.

Menganggap sejarah sebagai tidak wujud ‘di luar buku teks sekolah’ hanya memesongkan lalu memalsukan kesedaran kita. Perkara ini dicerminkan melalui perbincangan awam akhir-akhir ini.

Ini mengakibatkan hujah-hujah mutakhir ini juga mengandaikan bahawa Semenanjung Tanah Melayu tiada penduduk asal kecuali Orang Asli. Ada penulisan menyatakan sejarah Malaysia hanya bermula dari tahun 1786. Ada juga mahukan sejarah negara diajar sebagai bermula pada 1957.

Malah ada juga yang langsung terus menyatakan bahawa sejarah (khususnya merujuk kepada sejarah Malaysia) tidak perlu diajar langsung, apatah lagi sebagai mata pelajaran wajib lulus kerana pengetahuan sejarah tidak menyumbang apa-apa kepada kemahiran hidup dan kebolehan keusahawanan.

Sidang Kemuncak Sejarah 2013 Disember lalu telah membincangkan pelbagai isu dan tema berkaitan sejarah dan sejarah Malaysia. Antara kertas kerja yang menarik perhatian saya bertajuk “Sejarah Malaysia di Media: Respons Daripada Public Historian (Sejarawan Awam)" oleh Mohd. Arof Ishak.

Beliau membangkitkan trend mempersoalkan setiap isu dan bentuk sejarah Malaysia dengan tujuan mengubah “seluruh isu dan rupanya." Beliau mengenal pasti aliran pemikiran tersebut sebagai pendekatan rejectionist yang menolak masyarakat sedia ada. Ini lumrah dalam media seperti blog dan portal media dalam talian, juga dalam beberapa media tradisional.

Mohd. Arof mengambil pendirian sebagai seorang sejarawan awam, melihat sejarah sebagai satu naratif ‘masyarakat pribumi itu sendiri di habitat/alamnya sendiri.’ Salah satu pendekatan yang sepatutnya disebar luas dan diguna pakai di Malaysia adalah melihat sejarah sebagai pengkisahan tentang peradaban.

Ini bermakna sejarah negara menumpukan kepada pengkisahan akan suatu bumi atau alam yang tertentu dan penghuni aslinya atau pribuminya. Suatu bumi dan penghuninya aslinya membentuk satu alam manusia, budaya dan pandangan alam. Alam manusia setempat membentuk bahasa yang ditutur dan mengembangkannya menjadi institusi dan amalan - nilai masyarakat.

Dalam hal ini, orang Melayu dan lain-lain warga negara ini mesti memahami istilah-istilah dan maksud ‘bangsa pribumi’, ‘tanah ibunda’ dan ‘tanah air’. Ini adalah asas kefahaman dan pembelajaran tentang ilmu sejarah.

Umumnya, negara-negara pasca kolonial di alam Melayu seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina dan di rantau lain di dunia dibentuk akibat aliran sejarah melalui proses undang-undang dan politik moden dengan mewujudkan sempadan-sempadan lalu membentuk unit politik.

Keaslian alam Melayu adalah hakikat yang dicitrakan oleh bangsa dan bahasa Melayu-Polinesia dan mengasaskan kepada kekeluargaan dengan merujuk kepada satu istilah asli, yakni ‘serumpun’. Namun, menurut Mohd. Arof, pembentukan negara-negara bangsa moden telah membawa padah kepada kefahaman mengenai sejarah. Akibat itu, sejarah menjadi satu kajian akademik yang bersifat nationalistic.

Keadaannya adalah negara-negara pasca kolonial seperti Malaysia terperangkap dalam gesaan dan hambatan membentuk satu ‘sejarah baru’ selepas tarikh ‘dilepaskan’ oleh penjajah. Inilah yang ditekankan oleh sejarah akademik/kenegaraan dalam buku-buku teks sekolah di Malaysia. Ia telah menyempitkan kajian sejarah Malaysia yang dihadkan oleh sempadan politik. Sejarah bukan lagi menjadi ilmu peradaban dan kemanusiaan.

Sejarah cara akademik sebegitu, yang disebut sebagai sejarah nasional bersifat sejarah palsu. Keadaan sebegini bukanlah sejarah kerana sejarah tidak boleh dipenggalkan oleh sempadan politik - seperti yang berlaku di kepulauan alam Melayu. Jika sejarah terus diajar mengikut fahaman sempit sejarah nasional, maka akan wujud gesaan dan kemestian satu interpretasi ‘politik yang betul,’ dan ‘kewajaran politik’ (political correctness).

SEIMBANG

Keadaan sedemikian kebelakangan ini, menjurus kepada hujah supaya sejarah Malaysia bersifat seimbang dan inklusif - dengan mengakui kepelbagaian budaya dan kepelbagaian agama seperti yang biasa difahami dalam wacana-wacana akademik dan dasar. Pendekatan ini berdasarkan kepada pendidikan sejarah dan penggubalan semula penulisan buku-buku teks sejarah di Malaysia. Pendirian Mohd. Arof, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Persatuan Sejarah Malaysia, bertentangan dengan tujahan yang sedemikian.

Hujah inclusiveness ini juga dikemukakan dalam sebuah makalah bertajuk History Education: Fostering Patriotik Citizenship and National Unity (Pendidikan Sejarah: Memupuk Kewarganearaan Patriotik dan Kesepaduan Kebangsaan) oleh Helen Ting dalam 2013 Yearbook of the International Society of History Didactics, Jil. 34, h. 103-116.

Helen menggariskan beberapa cadangan antaranya menekankan kreativiti dan apa yang disebutnya sebagai patriotisme kritikal; serta merombak buku teks sekolah bagi memuatkan dan membentangkan sejarah dari perspektif masyarakat majmuk.

Di sini terdapat dua aliran besar terhadap pendidikan dan penceritaan sejarah Malaysia - satu aliran menganggap negara bangsa Malaysia dan sempadan-sempadan politik yang dibentuk tanpa bersifat kritis walaupun mengkritik kaedah dan pendekatan pengajaran sejarah Malaysia di sekolah; dan satu aliran lagi bersifat kritis terhadap pembentukan negara-negara pasca kolonial - khususnya dalam kepulauan dan Alam Melayu, dan konsep ‘sejarah negara’ (Malaysia) sebagai satu kategori.

Mohd. Arof berpendapat sejarah nasional (yang sempit) terus menjadi lebih palsu dengan tekanan dan kehendak kewajaran politik dalam negara. Pada masa sama, ciri inclusive terpampang melalui pelbagai tajuk di kedai-kedai buku di Malaysia.

Dengan meletakkan spesifikasi-spesifikasi sebegini maka ‘sejarah’ telah dijadikan seolah-olah satu hasil keluaran kilang kerana produk kilang semestinya dikehendaki menepati spesifikasi yang ditentukan oleh empunya kilang tersebut. Apakah kita ingin menjadi sejarah sebagai satu faktor produk, dan bukan lagi satu ilmu kemanusiaan yang unggul? (Mohd. Arof Ishak, 2013).

Ilmu dan pendekatan sejarah tidak semestinya mengenali sempadan politik, dan dengan itu, tidak sepatutnya disekat oleh sempadan politik. Pendekatan sejarah alam Melayu hendaklah disebarluaskan kepada masyarakat negara ini. Pendekatan tersebut mesti diambil kira oleh penggubal dasar awam, pendidikan dan kurikulum.

Apakah satu kesalahan jika mendekati Malaysia dalam konteks rumpun Melayu di alam Melayu? Jika masyarakat bukan Melayu tidak faham, kita yang faham perlu menggariskan pendekatan dan strategi supaya ini dapat diketahui semua kaum di Malaysia. Istilah ‘rumpun’, ‘tanah ibunda’ dan ‘tanah air’ perlu disebarluaskan, juga kepada orang Melayu.

Pendekatan mengenali tamadun dan peradaban Melayu mesti menjadi asas kepada sejarah yang termaktub dalam buku-buku teks. Kita tidak dapat memahami kesultanan Melayu Melaka atau Kesultanan Patani, Kesultanan Brunei atau tamadun di Lembah Bujang tanpa memahami tanah ibunda dan tanah air yakni kandungan dan konteks kepulauan dan alam Melayu.

Apakah sejarah Melayu dan alam Melayu berakhir dengan kemunculan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa? Sama juga pendekatan yang mesti diambil oleh Indonesia dan Filipina, misalnya. Dalam Muzium Nasional Indonesia, peta etnik dan bahasa negara kepulauan nusantara itu berakhir dengan berakhirnya sempadan negara baru itu. Permulaan negara-negara jiran baru lain tidak dikira.

Inilah nasionalisme sempit yang diamalkan oleh negara-negara di Asia Tenggara. Ia hanya memesongkan sejarah dan pandangan alam yang lebih besar di tanah ibunda dan tanah air rumpun kita sendiri.

A MURAD MERICAN ialah Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar, Perak. Utusan Malaysia Rencana 20140121

Tags: sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments