kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kenapa berlaku kegagalan pendakwaan

MAHKAMAH kita mengamalkan sistem adversarial (bertarung), yang lazimnya di penghujung prosiding mahkamah, suatu pihak akan menang manakala pihak lawannya akan kalah - apa yang biasa disebut situasi menang-kalah bukan menang-menang.

Dalam kes jenayah, beban pembuktian dipikul oleh pasukan pendakwa untuk membuktikan ke tahap melampaui keraguan munasabah bahawa OKT (orang kena tuduh) bersalah melakukan jenayah seperti disebutkan dalam pertuduhan. Ini selaras dengan prinsip undang-undang sejagat bahawa “seorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan dia bersalah" (presumption of innocence).

Bila satu prosiding jenayah dijalankan, pasukan pendakwa boleh mengalami kegagalan dalam dua keadaan iaitu;

(1) Pertama, di peringkat awal lagi sekiranya ia gagal membuktikan ada kes prima facie terhadap OKT. Sekiranya ini berlaku, mahkamah akan terus melepaskan dan membebaskan OKT tanpa dia dipanggil menjawab kes pasukan pendakwa.

(2) Kedua, kegagalan masih boleh berlaku walaupun pasukan pendakwa telah dapat membuktikan kes prima facie dan OKT telah diperintahkan oleh mahkamah membela dirinya. Pasukan pendakwa akan gagal sekiranya OKT akhirnya (menerusi saksi dan/atau bukti lain) dapat - (a) meyakinkan hakim bicara bahawa dia (OKT) memang sebenarnya tidak bersalah; atau (b) menimbulkan keraguan yang munasabah dalam minda hakim tentang kesalahannya melakukan jenayah seperti disebutkan dalam pertuduhan terhadapnya.

Ini bermakna walaupun pasukan pendakwa telah mengemukakan kes prima facie terhadap OKT di peringkat awal prosiding, OKT masih lagi berpeluang selepas itu melepaskan dirinya daripada disabitkan kesalahan di akhir prosiding.

OKT pula perlu ingat, setelah pasukan pendakwa membuktikan ada kes prima facie terhadapnya, sekiranya dia mendiamkan diri sahaja setelah diperintah membela diri oleh hakim bicara atau dia gagal memberi keterangan bagi pihaknya sendiri atau memanggil orang lain sebagai saksinya atau mengemukakan keterangan yang kuat untuk mematahkan kes pasukan pendakwa di peringkat awal prosiding, keputusan awal prima facie itu akan terus membawanya kepada sabitan.

SEBAB-SEBAB PENDAKWAAN GAGAL

Ada banyak sebab kenapa pendakwaan kes jenayah boleh gagal. Siasatan yang lemah atau kurang rapi dituruti pula dengan tindakan gopoh atau terburu-buru oleh Pendakwa Raya memulakan prosiding di mahkamah boleh membawa kepada kegagalan.

Selain itu, sekiranya saksi-saksi pasukan pendakwa sendiri memberi keterangan penting yang bercanggah antara satu sama lain, ini juga boleh menjadi sebab mahkamah enggan mensabitkan kesalahan OKT.

Kadang-kala kes pasukan pendakwa disabotaj oleh saksi-saksinya sendiri, bila ada antara mereka berpaling tadah atas sebab-sebab tertentu.

Pasukan pendakwa masih boleh kalah walaupun segala keterangan yang relevan dan penting telah dikemukakan dan saksi-saksi penting telah dipanggil. Kemenangan bertarung di mahkamah menghendaki kekuatan dalam dua perkara - fakta (bergantung kepada keterangan) dan undang-undang (bergantung kepada penghujahan dan advokasi peguam/pendakwa).

Sekiranya suatu pasukan pendakwaan itu kurang kemahiran atau pengalaman (terutama mengendalikan kes-kes rumit) dan tidak mampu berhujah dengan baik untuk meyakinkan mahkamah, tidak mustahil pasukan itu akan kalah. Sudah menjadi lumrah alam bila dua pihak bertarung, lazimnya pihak yang lebih mahir, lebih berpengalaman, lebih bersedia dan lebih kuat akan menang manakala pihak yang masih mentah, kurang ilmu, kurang pengalaman, kurang bersedia, kurang yakin diri, akan tewas.

KESILAPAN HAKIM BICARA

Baru-baru ini, dalam satu kes berprofil tinggi, pasukan pendakwa berjaya mendapatkan sabitan dua OKT kerana kesalahan membunuh. Malangnya apabila kes ini dirayu ke Mahkamah Rayuan, sabitan ini diketepikan dan kedua-dua OKT dilepas dan dibebaskan. Mahkamah berbuat demikian setelah mendapati hakim bicara telah melakukan kesilapan dan oleh yang demikian “tidak selamat" sabitan itu dikekalkan.

Kesilapan hakim bicara ini adalah kesalahannya sendiri dan pasukan pendakwa tidak boleh disalahkan langsung dalam kes ini. Kesimpulan awal yang boleh kita buat adalah kegagalan sesuatu pendakwaan itu boleh disebabkan oleh pelbagai hal dan perkara; tidak semestinya disebabkan oleh kekurangan atau kelemahan pasukan pendakwa itu sendiri.

JANGAN TERBURU-BURU SALAHKAN PENDAKWAAN

Tanpa kita mengetahui segala fakta dan hal keadaan yang berkaitan dalam tiap-tiap kes ini, tidak adil jika kita terus menyalahkan pasukan pendakwa bila media melaporkan ada kes jenayah penting berakhir dengan OKT dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah.

Sewajarnya kita terus bertenang dan menunggu pihak berkenaan memberi penjelasan. Pasukan pendakwa yang tewas hendaklah secara jujur memaklumkan kenapa mereka tewas. Keengganan berbuat demikian dalam satu tempoh munasabah akan hanya mengundang spekulasi dan tohmah yang tidak baik. Ini boleh dalam masa jangka panjang menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pendakwaan negara.

KES TERKINI

Baru-baru ini, bila kes jenayah melibatkan Tan Sri Chan Kong Choy berakhir dengan kekalahan pasukan pendakwa lantas seorang ahli politik daripada sebuah parti pembangkang mendesak Tan Sri Abdul Gani Patail (Peguam Negara/Pendakwa Raya) dipecat daripada jawatannya.

Ahli politik itu mendakwa kegagalan Pendakwa Raya dalam kes Kong Choy ini (seperti mana kes Tun Dr. Ling Liong Sik sebelum ini) berpunca daripada kegagalan merangka pertuduhan yang baik terhadap kedua-dua tokoh (bekas Menteri Pengangkutan) tersebut.

Menurutnya lagi, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah membuat perakuan kepada Peguam Negara agar Kong Choy dituduh atas kesalahan pecah amanah (kerana mengeluarkan tiga surat jaminan tanpa kelulusan Menteri Kewangan) tetapi Pendakwa Raya akhirnya membuat pertuduhan menipu Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Soalan ahli politik itu ada logiknya. Jika kes terdahulu (melibatkan Liong Sik, yang menghadapi pertuduhan menipu hampir sama) sudah nyata berakhir dengan kekalahan pasukan pendakwa, kenapa ambil risiko dengan menggunakan bentuk pertuduhan yang sama kali kedua ini?

Pastinya akan ada lagi pihak lain yang akan memberi komen mereka atas kegagalan Pendakwa Raya mendapatkan sabitan OKT dalam kes skandal PKFZ ini. Tidak dinafikan kerugian negara dalam kes skandal ini amat besar dan orang awam pastinya ternanti-nanti untuk mengetahui siapa orangnya yang akhirnya akan disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman kerana jenayah ini. Sementara itu, kita tunggu dulu apa reaksi atau jawapan daripada Peguam Negara.

Salleh Buang  ialah Penganalisis Undang-undang Utusan Malaysia Rencana 20140121

Tags: dakwa, mahkamah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments