kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bak cacing naik ke mata ...

SETAKAT ini belum ada tanda-tanda Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Khai Loon mahu memohon maaf.

Apabila Khai Loon menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Perdana Menteri baru-baru ini, kita rakyat Malaysia menggelengkan kepala.

Orang Melayu khususnya kaget seketika. Apakah ini nasib yang bakal menerima mereka sekiranya pembangkang berkuasa? Apatah lagi kalau orang semacam Khai Loon memegang tampuk kuasa. Itu baru mukadimah, replika sahaja, belum lagi kuasa di tangan!

Adakah tindakan Khai Loon dalam satu demonstrasi kecil baru-baru ini dengan membawa gambar besar replika Najib dengan mulut ternganga yang disumbat dengan 10 kilogram kangkung, sekadar gurauan?

Pepatah Arab menyebut, "sebahagian gurauan adalah betul". Mungkin tindakan Khai Loon itu menggambarkan apa yang berselirat dalam hatinya. Mungkin akibat kecelaruan minda atau kurang kasih sayang.

Mengapa Khai Loon tidak sumbat sahaja logo kereta Mercedes Benz ke mulut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai simbol pembaziran dan cakap tak serupa bikin?

Bagi penulis sendiri secara peribadi, Khai Loon berperilaku bak 'cacing naik ke mata'.

Khai Loon barangkali sedar sekutu partinya terutama sekali Pas sudah 'disumbat' mulutnya. Tidak boleh memberi sebarang komen yang dikhuatiri boleh mengeruhkan kesepakatan pakatan mereka, hatta berkaitan umat Melayu Islam sekali pun. PKR dan DAP menjadi semakin berani kerana mereka tahu kalau ada sebarang isu berkaitan orang Melayu yang tidak disenangi, mereka ada Pas sebagai 'zon penampan'.

Dalam tempoh lapan bulan ini, amat jarang Pas tampil membela orang Melayu. Sama ada dalam isu mempertahankan gerai-gerai orang Melayu yang dirobohkan di Pulau Pinang, menyelar limpahan rumah urut atau refleksologi di Selangor sehinggalah ke isu kalimah Allah. Pas nampak terbelakang. Membatu, membisu seribu bahasa.

Lalu teringat penulis kepada lagak angkuh seorang pemimpin pembangkang ketika menuntut jawapan daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berhubung penggunaan lambang parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

Lebih kurang perbualannya berbunyi begini. "Ini Yang Amat Berhormat... (seterusnya menyebut nama penuhnya) saya mahu tahu...," suara yang menuntut penjelasan adakah DAP tidak akan dibenarkan menggunakan lambang sendiri dalam pilihan raya berkenaan.

Hal yang dibangkitkan itu susulan kemelut menyelubungi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dipertikaikan kesahihannya, sekali gus mengakibatkan parti itu berkemungkinan terpaksa mengendeng menggunakan lambang Pas.

Namun, setelah diberi jaminan positif, barulah pemimpin pembangkang itu memutuskan talian. Tapi lagaknya yang menyebut perkataan 'Yang Amat Berhormat' hanya untuk menuntut jaminan itu, tidak wajar diluahkan.

Isu perbualan telefon itu tidak berhenti di situ kerana sempat juga dia berjanji mahu menemui Abdul Aziz keesokannya dalam satu program untuk menyerahkan surat rayuan (berkaitan penggunaan lambang tersebut). Namun dari pagi hingga lewat petang, batang hidung orang itu pun tak nampak.

Berbalik kepada isu Khai Loon, suatu realiti yang perlu orang Melayu akui - itulah bahananya kalau hilang kuasa. Itulah juga risiko yang bakal dihadapi kalau UMNO selaku parti pemerintah tonggak orang Melayu tersungkur.

Mungkin telahan sesetengah pihak bahawa ada 'sindiket politik' sedang menggerakkan kenaikan harga barang di seluruh negara bertujuan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap BN, benar-benar wujud. Siapa tahu?

Apa pun kalau dibaca perbuatan menyumbat kangkung oleh Khai Loon dan putar-belit berterusan oleh pembangkang terhadap apa sahaja program kerajaan - menandakan mereka telah bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang. Malah difahamkan dalam memantau perkembangan data pengundi, pakatan pembangkang lebih sensitif dan tampak daya usahanya. Ini berbeza dengan jentera BN khususnya UMNO sendiri.

Beberapa hari sejurus selesai PRU-13 Mei tahun lalu, orang mereka telah bergerak dan muncul sama ada di ibu pejabat SPR di Putrajaya atau di pejabat-pejabat SPR negeri. Bukan sahaja di negeri yang dikuasai mereka, tetapi setiap negeri. Mereka minta score sheet pilihan raya dan buku laporan persempadanan semula yang dulu. Di Selangor, dikatakan habis buku laporan itu. Selain itu, mereka minta daftar pemilih.

Dengan keterujaan ahli-ahli politik mereka mendapatkan maklumat walaupun baru habis pilihan raya umum, apa yang kita nak katakan kepada jentera BN. Adakah jentera UMNO bekerja sedemikian rupa - dengan orang mereka (pembangkang ini) datang membawa laptop ke pejabat-pejabat SPR bersama pakar pilihan raya mereka.

Menurut sumber, "Mereka nak one-man, one-vote, one-value. Kuala Lumpur ini kalau boleh mereka nak tambah kawasan Parlimen. Sepatutnya bukan 11 kata mereka, tambah lagi 33 kawasan. Dia (pembangkang) tak mahu lihat jumlah pengundi Parlimen di Kuala Lumpur ini begitu lebih ramai berbanding jumlah pengundi Parlimen di Baram (Sarawak).

"Di Kuala Lumpur ini, jumlah pengundi di Parlimen lebih kurang 60,000 orang manakala di Baram, kerusi Parlimen juga tetapi pengundinya sekitar 20,000 orang. Kalau boleh (kata pembangkang) mesti tiga kali Baram di Kuala Lumpur. Mana boleh begitu kerana rumah di Kuala Lumpur dekat-dekat, jalan bagus, telefon senang, dewan bandaraya ada, kemudahan pentadbiran banyak."

Merujuk kepada Baram di Miri yang keluasannya sahaja sebesar Pahang, pembangkang begitu agresif mengambil konstituensi itu sebagai 'simbol' mereka. Dalam pilihan raya umum lepas seramai 672 pegawai SPR menjalankan tugas di 119 tempat pembuangan undi di seluruh Parlimen Baram.

"Tidak sahaja Baram, mereka minta maklumat untuk lihat rekod pilihan raya lepas, daftar pemilih, persempadanan semula yang dulu berapa, sekarang berapa bertambah, peratusnya," kata sumber itu lagi.

Memerhatikan tingkah laku Khai Loon, teringat penulis satu catatan dalam buku tulisan Tan Sri Dr. Rais Yatim (2001).

"Sejak 1995, hanya bangsa Melayu dilantik sebagai PM boleh didebatkan tetapi memandangkan bangsa Melayu merangkumi lebih 61% penduduk negara, perkara itu tidak dipersoalkan. Namun, isu kenapa bangsa Melayu mendapat keistimewaan dilantik sebagai PM dapat dijelaskan melalui sejarah negara ini, terutamanya pada aspek-aspek yang berkaitan dengan nasionalisme tempatan.

"Faktor lain tentunya berkaitan dengan bilangan. Perkara ini akan sentiasa menjadi perkara penting dalam senario politik Malaysia walaupun jawapannya adalah jelas iaitu UMNO mendapat bilangan majoriti setiap kali pilihan raya umum."



Utusan Malaysia Rencana 20140129
Tags: politik, rasis
Subscribe

  • Teori asal usul nama Malaysia

    SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan…

  • Isu rumah selesai jika semua jujur

    Ibarat ayah yang sedang menderita sakit tenat, ubat yang paling mujarab perlu dicari bagi menyembuhkannya. Semua ahli keluarga ingin membantu. Ada…

  • Penubuhan Malaysia penuh liku dan cabaran

    TARIKH 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments