kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mahu tingkat produktiviti, gaji juga perlu adil

SUDAH sepatutnya lebih 500,000 majikan sektor swasta di seluruh negara ini melaksanakan pembayaran gaji minimum bermula bulan ini. Apabila kerajaan tidak melayan lagi permintaan untuk menangguhkannya yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013 lagi, bermakna semua majikan perlu akur.

Dalam menangani kos sara hidup yang tinggi, pelaksanaan gaji minimum ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada yang berpendapatan rendah.

Sememangnya, gaji RM900 ke bawah sudah tidak sesuai lagi di zaman ini. Kita bukan lagi hidup dalam zaman 20 atau 30 tahun yang dulu. Dulu hidup di bandar dengan gaji RM500 hingga RM700 sebulan pun boleh dikira cukup makan. Sekarang ini dengan gaji sebanyak itu, tinggal di kampung pun belum tentu lagi dapat hidup dengan selesa.

Dan bila negara ini dikatakan mengalami paras hutang isi rumah yang tinggi membabitkan golongan berpendapatan rendah, ini sudah memberi petunjuk yang begitu jelas bahawa pendapatan bulanan golongan ini perlu dinaikkan. Jika tidak kehidupan mereka akan terus terhimpit dengan macam-macam masalah dan ini akan menjadi satu isu jangka panjang kepada negara.

Bayangkan, apa yang mereka dapat dengan kerja keras apabila kehidupan terpaksa mereka habiskan dengan membayar hutang keliling pinggang. Hutang ini bukan bermaksud mereka saja-saja mencari pasal membuat hutang, tetapi terpaksa berhutang untuk membayar sewa atau ansuran rumah, kenderaan, perbelanjaan makan, pakaian, persekolahan anak-anak, bil-bil asas dan lain-lain.

Sedangkan, mereka ini bukan tidak rajin bekerja dan bukan juga tidak menyumbang kepada produktiviti syarikat. Kalau benar tidak menyumbang kepada syarikat, sudah tentu tidak jalanlah operasi sesebuah syarikat itu dan tidak boleh juallah produk yang dikeluarkan atau tidak lakulah perkhidmatan yang ditawarkan .

Tetapi itulah, bayaran gaji yang diterima tidak setimpal dengan kerja keras mereka. Apabila tiada had gaji minimum yang ditetapkan kepada majikan, maka majikan dengan sewenang-wenangnya mengambil kesempatan ini dengan membayar gaji yang rendah.

Disebabkan pekerja-pekerja ini tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, maka majikan 'pukul rata' semua yang tidak ada ijazah, tidak ada sijil dan tidak belajar tinggi dibayar gaji rendah, sedangkan tenaga mereka inilah yang dikerah bekerja dari pagi sehingga ke malam.

Ada antara mereka yang melakukan banyak kerja dalam syarikat, ada saja yang majikan minta mereka lakukan pantang lihat mereka duduk, tetapi tidak dibayar mengikut kerajinan mereka bekerja. Dalam kata yang lebih mudah, suruh buat macam-macam tetapi bayar gaji sikit.

Dan apabila disuarakan bab-bab gaji ini pula kepada majikan, sama ada majikan akan mengambil sikap berdiam, memberi jaminan gaji sedang dikaji atau paling selamat memberi alasan tidak belajar tinggi, maka gaji pun tidak tinggilah.

Di Malaysia, kajian menunjukkan gaji mencatat kenaikan yang lebih perlahan berbanding dengan pertumbuhan produktiviti pekerja, terutama dalam sektor perkilangan, yang mencatat kenaikan gaji secara purata sebanyak 2.4% setahun sepanjang sedekad lalu, manakala produktiviti pekerja secara purata meningkat sebanyak 5.0% setahun pada tempoh yang sama.

Ini menunjukkan pasaran kerja dari segi produktiviti di negara ini, tiada masalah. Yang masalahnya, kenaikan gaji yang perlahan ini. Ini menyebabkan ramai yang tidak berminat untuk bekerja dalam sektor-sektor yang membayar gaji yang sedikit.

Justeru pelaksanaan gaji minimum ini mungkin akan memberi kesan yang lebih baik kepada pasaran kerja dan ekonomi negara yang boleh dilihat bukan pada masa terdekat ini, tetapi dalam jangka masa panjang. Dengan pelaksanaan gaji minimum ini, Malaysia mengikuti langkah 150 negara lain yang telah lama melaksanakannya.

Kadar gaji minimum yang ditetapkan di negara ini adalah RM900 sebulan atau RM4.33 sejam di Semenanjung Malaysia, manakala RM800 sebulan atau RM3.85 sejam di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dasar gaji minimum ini meliputi tenaga kerja tempatan serta asing, kecuali pekhidmat domestik seperti pembantu rumah dan tukang kebun.

Mengikut Akta Perundingan Gaji Negara 2011, majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 setiap pekerja bagi kesalahan pertama, jika terus ingkar, denda RM1,000 setiap pekerja sehari, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Maka kita berharap, sudah berjalannya dasar ini, kerajaan sentiasa mengadakan pemantauan sama ada majikan benar-benar menjayakannya atau masih keberatan untuk melaksanakannya dengan alasan takut rugi.

Kita juga mesti memikirkan dalam Malaysia mahu mengejar status negara berpendapatan tinggi, di mana letaknya golongan miskin dan berpendapatan rendah ini. Adakah mereka akan terus tersepit dan tersisih jauh. Jawapannya ya, jika mereka tetap dibayar gaji ditakuk lama.



Utusan Malaysia Rencana 20140129
Tags: akta, gaji, produktiviti
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments