kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rasionalisme politik Melayu yang kian hilang

DAPATKAH kita buat kesimpulan bahawa rasionalisme dan intelektualisme politik Melayu kian hilang sesudah Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008? Fenomena ini terbawa-bawa sehingga PRU-13.

Aspek kewarasan dan kecendekiawanan politik Melayu terasa sangat merosot. Kepemimpinan dan para pengikut parti politik tertentu dukungan Melayu mengambil sikap anti sesama Melayu. Mereka mengambil pendekatan benci, dendam, fitnah dan ada unsur-unsur khianat. Mereka seperti lebih selesa bersekongkol dengan golongan yang anti-Melayu dan anti-Islam. Teknologi informasi dan komunikasi (ICT) menjadi saluran pemikiran negatif.

Rakyat naif mudah terikut sama dengan rentak gendang dan tari puak-puak tersebut, membalas dengan menolak kecemerlangan khidmat dan jasa kerajaan membangunkan negara sejak kemerdekaan 1957. Undi protes atau undi geram menjadi gambaran hati yang memilih pembangkang.

Sungguhpun pada PRU-13, Barisan Nasional (BN) masih boleh membentuk kerajaan, tetapi BN kehilangan kerusi dan tokoh-tokoh pemimpin yang berwibawa. Jika rasionalisme dan intelektualisme Melayu tidak hilang, masakan pengundi Melayu dan umat Islam merelakan diri memilih kepimpinan yang memusuhi kepimpinan Melayu, mengharubirukan status Islam dan mengamalkan akhlak buruk.

Rakyat khususnya umat Islam perlu membelek satu persatu peristiwa demi peristiwa mutakhir ini. Antaranya perbalahan tentang penggunaan kalimah Allah. Kalimah suci hak eksklusif agama Islam sewenang-wenangnya dipermainkan. Sebagai marhaen di bidang agama, saya fikir penganut agama lain, bukannya tidak tahu. Parti politik pembangkang kononnya bersandarkan kepada Islam banyak berdiam diri. Puak penyokong penggunaan kalimah Allah itu pula seperti sengaja mengusik kesabaran umat Islam di Malaysia.

Saya berpegang bahawa 'Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam' (Innaddinna 'indallahil Islam). Maknanya bagi sesiapa yang mahu bertuhankan Allah SWT, maka dia mestilah seorang Islam atau masuk Islam. Itu mudah sahaja. Allah itu Yang Maha Esa, tiada beranak dan diperanakkan (Al-Quran: Al Ikhlas 112). Justeru dari segi kepercayaan Yahudi dan Nasrani amat berbeza. Islam adalah agama Tauhid tidak berakidahkan konsep triniti, kecuali mereka itu ada agenda tersembunyi, memurtadkan .

Kita hendaklah memahami bahawa "bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku" (Al-Quran Alkafirun: 109:6). Agaknya Malaysia memerlukan seorang Ahmed Deedat untuk dialog Islam-Kristian atau ilmuwan hebat untuk dialog Islam-Barat.

Kini di sana-sini kerasulan Nabi Muhammad SAW dipersendakan, Perlembagaan Negara diperlekeh dan institusi kenegaraan seperti kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menjadi bahan sindirian.

Bagi saya, kerajaan perlu tegas dan bertindak sebelum terlambat. Gunakan undang-undang yang sudah ada seperti Akta Hasutan. Malahan mungkin perlu dikaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), lakukan pembaikan di mana perlu.

Kita tidak boleh menggadaikan negara disebabkan segelintir pengkhianat dan penderhaka. Politik Melayu tanpa mengira parti mesti bersatu, bersama mempertahankan kesucian Islam sebagai agama negara dan meneguhkan instiusi-institusi kenegaraan.

Rasionalisme dan intelektualisme Melayu kian merosot. Kesatuan fikrah dan akal budi mereka dipengaruhi sehingga gagal membezakan yang hak dan keadilan antara tuntutan negara dengan kepentingan kaum dan perkauman. Jika ini berterusan untuk satu dua dekad lagi, maka dibimbangi Malaysia akan hanya ada pada bentuknya tetapi kehilangan isi.

Melayu dan bumiputera yang menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara perlu kekal berkuasa dengan konsep perkongsian kuasa yang akur kepada kontrak sosial.

Kenapakah parti-parti politik pembangkang pimpinan Melayu lebih megah mengukuhkan tali ikatan setiakawan dengan parti cauvinistik dan perkauman?

Perpecahan dan kelemahan Melayu mengakibatkan mereka tidak lagi disegani, digeruni dan dihormati sebagaimana 30 tahun pertama sesudah kemerdekaan. Rancangan persekongkolan politik baharu pembangkang tiada lain melainkan memenuhi hasrat mahu merampas kuasa politik yang diterajui orang Melayu dan bumiputera, khususnya UMNO. Fenomena ini sudah diulas puluhan kali oleh pakar dan pemerhati politik, agak basi atau klise bunyinya. Soalnya kenapakah sesetengah pimpinan Melayu masih memejamkan mata dan memekakkan telinga? Melayu lebih gemar berpolitik secara taksub, tidak terasa diperkudakan. Kewarasan berfikir atau kekuatan minda politik dibiarkan hanyut dalam arus hasutan dendam kesumat pembangkang atau puak-puak yang antikerajaan.

Di manakah pula jiwa dan semangat generasi muda? Orang muda perlu berfikir. Siapakah atau golongan manakah yang ribuan jumlahnya sanggup keluar di jalan raya? Atas nama apa pun, itukah cara terbaik atau itukah cara rakyat Malaysia bertindak meniru seperti yang terjadi di beberapa negara lain ? Orang Melayukah atau orang lain yang sanggup merosakkan harta benda awam dan bertindak di luar batas undang-undang? Apa sahaja kebaikan yang dilakukan kerajaan 'ditongsampahkan'. Musuh-musuh luar dan dari dalam sedang memerhatikan di lorong mana mereka boleh masuk, cucuk jarum ketidaktenteraman agar memudahkan mereka campur tangan.

Ya, generasi muda cubalah renungi dan berfikir sebentar secara rasional selaras dengan kedudukan kalian sebagai orang terpelajar. Cuba bayangkan kalau kuasa politik bertukar tangan atau ada campur tangan kuasa luar atas apa sahaja sebab yang mereka ciptakan, apa akan jadi pada rakyat dan negara tercinta ini?


DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan, budayawan dan bekas Profesor Adjung UUM. Utusan Melayu Rencana 20140129
Tags: intelek, melayu, politik, rasional
Subscribe

  • Kaligrafiti Islam 
– luahan generasi muda

    KALIGRAFI dan grafiti merupakan dua jenis seni yang berbeza. Apabila kedua-duanya digabungkan ia menghasilkan satu jenis seni lain yang dipanggil…

  • Journalism: Science, Art and Deadline

    THEY say that the journalist is the first historian and that the writing of the scribe is the first draft of history. In recent weeks, I was engaged…

  • Seni aliran ekspresionisme

    Ekspresionisme adalah kecenderungan seorang seniman untuk merealisasikan kenyataan dengan efek-efek emosional. Istilah emosi ini biasanya lebih…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments