kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran ahli akademik didik masyarakat

Ilmuwan perlu dekati orang ramai, zahirkan ilmu dengan berhikmah

Pada minggu ini saya cuba mendekatkan pembaca dengan dunia akademik, tertutamanya dunia ahli akademik. Ahli akademik di sini merujuk kepada ilmuwan iaitu seseorang yang ditafsirkan oleh Kamus Dewan sebagai golongan (para) akademik atau orang yang berilmu.

Ahli akademik dan ilmuwan dalam ‘kamus’ khalayak umum merujuk kepada pensyarah di institusi pengajian tinggi, terutamanya pensyarah di universiti awam. Pada pengamatan saya, masyarakat umum kurang memberi perhatian kepada pensyarah di universiti swasta walaupun tugas pensyarah itu agak sama.

Saya pernah menulis mengenai peranan pensyarah di universiti dalam dua rencana di ruangan kolum saya sebelum ini, tetapi kali ini ada perkara lagi untuk ‘disegarkan’ semula.

Namun, saya perlu jelaskan kepada pembaca bahawa saya tidak mewakili semua pensyarah, tetapi ini hanya pengamatan saya dari dalam universiti. Selain itu saya menyuarakan pendapat ini kerana memberi jawapan kepada beberapa pembaca. Selepas saya menilai komen dan persoalan mereka, eloklah saya berkongsi pandangan saya dengan pembaca di ruangan ini.

Pembimbing masyarakat

Perkara utama yang saya ingin berkongsi ialah kedudukan pensyarah universiti dalam kamus khalayak umum. Pensyarah diharapkan sebagai sumber ilmu dan pembimbing masyarakat pada masa mereka memerlukan pemahaman atau panduan mengenai sesuatu perkara. Masyarakat juga mahukan pendapat ahli akademik yang jelas dan tidak berpihak. Masyarakat mahukan ilmuwan yang dapat memberi jawapan kepada realiti yang sedang dihadapi masyarakat.

Apabila melihat kepada harapan masyarakat umum itu, ia meletakkan tanggungjawab yang sangat besar ke atas golongan ilmuwan. Pada pengamatan saya, pensyarah juga faham tentang tanggungjawab ini. Kami beringat tentang riwayat ini (walaupun isnadnya dhaif): “Manusia yang sangat menderita azab pada hari kiamat ialah orang yang berilmu (orang alim) yang tidak diberi manfaat oleh Allah SWT daripada ilmunya.”

Memikul ilmu yang sarat dan berat di bahu bukan hanya untuk dilihat atau ditonton oleh masyarakat, tetapi untuk diguna, dipakai dan manfaat kepada masyarakat. Sungguh besar harapan masyarakat.

Walaupun sedar tentang harapan masyarakat, hakikatnya pensyarah universiti disuburkan dengan teori pendidikan. Teori pendidikan itu hanya untuk mendidik mereka yang datang belajar di universiti, bukan teori mendidik mereka di luar universiti, ia daripada masyarakat umum.

Gementar hadapi umum

Oleh itu, saya harus jujur walaupun membuka pekung di dada, bahawa ada antara ilmuwan menjadi agak gementar menghadapi dan menggalas tanggungjawab itu. Melalui pengalaman peribadi, saya juga tidak terkecuali. Bukan kerana kurangnya ilmu atau tidak yakin dengan pengetahuan, tetapi kerana tiada pengalaman berada dalam masyarakat itu sendiri dan berdiri di kalangan masyarakat.

Begitu juga kurangnya pengalaman untuk meneliti, menilai dan menghayati apa sebenarnya yang sedang terjadi dan dialami masyarakat. Faktor lain lagi, mungkin berhadapan dengan khalayak yang bukan dalam bidang dan tahap ilmu yang sama. Dalam keadaan masyarakat meletakkan label politik dan era masyarakat mendapatkan maklumat hanya di hujung jari menjadikan agak susah untuk ahli akademik mendekati masyarakat. Oleh itu, ilmuwan menganggap cabaran itu bukan calang-calang.

Mungkin juga masalah lain ialah agak sukar untuk pensyarah memahami lenggok dan budaya masyarakat keseluruhannya. Sebagai contoh, agak susah untuk kita di universiti memahami dan pada masa sama menangani masalah berkaitan sosial.

Dalam bidang saya umpamanya, agak susah ahli akademik undang-undang menghujah dan membahas perkara tersirat di sebalik sesuatu peruntukan undang-undang dan seterusnya membina hubungan antara yang tersurat dan yang tersirat dalam undang-undang itu. Ini terutamanya dalam kes yang menjadi perhatian dan pengamatan masyarakat umum dan membabitkan perkara sensitif, seperti hubungan kaum, kedudukan agama dan kebebasan asasi.

Walaupun kekurangan yang ada, tanggungjawab ilmuwan tidak terluntur untuk rakan pensyarah ahli akademik, selamat bersuara, menzahirkan ilmu dengan jelas dan berhikmah. Masyarakat, agama, bangsa dan negara sedang sarat dan mereka amat memerlukan kita.

Shamrahayu A. Aziz ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Berita Harian Online Rencana 29/01/2014
Tags: academic, ilmu, pembimbing
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments