kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penetapan harga menerusi kuasa pasaran

Pengguna perlu lebih berhati-hati dalam tabiat berbelanja

Apabila membicarakan soal harga barangan dan perkhidmatan dalam konteks semasa, ramai yang mungkin akan berasa tertekan dan tidak kurang pula akan berang lantaran kenaikannya yang dilihat agak drastik.


Walau apa pun keadaannya, kefahaman mengenai mekanisme penetapan harga perlu juga dititikberatkan bagi mengelakkan kekeliruan serta penerimaan yang menyeluruh terhadap dasar negara yang dilihat agak kurang popular pada masa kini.

Umumnya, tidak ada satu mekanisme harga pun yang dianggap terbaik. Setiap satu akan ada kelebihan dan kekurangannya.

Contohnya, penetapan harga secara campur tangan langsung oleh pihak kerajaan melalui mekanisme harga ditadbir. Mekanisme ini mempunyai dua kumpulan barangan iaitu barangan yang tersenarai di bawah Akta Kawalan Harga (1946) seperti beras, tepung, daging, gula, gas dan bahan api yang mana harga runcit barangan berkenaan akan ditentukan oleh kerajaan.

Kumpulan yang kedua pula ialah barangan yang memerlukan kelulusan kerajaan sebelum harga barangan berkenaan diubah. Contoh barangan dalam kategori ini ialah bekalan air dan elektrik, tembakau serta perkhidmatan pengangkutan.

Namun akta ini telah mengalami sedikit perubahan melalui penggubalan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (2011) yang mana elemen penambahbaikan dimasukkan seperti langkah untuk memerangi peniaga yang menindas yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan yang melampau.

Beban kewangan

Mekanisme sebegini sememangnya dapat mengurangkan beban kewangan rakyat namun kerajaan terpaksa memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi jika harga barangan yang diberi subsidi itu meningkat.

Hal ini amat relevan dalam kes komoditi seperti minyak petrol dan gula yang banyak dipengaruhi oleh faktor di luar kawalan kerajaan.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila pemberian subsidi itu tidak mengenai sasaran dan banyak menguntungkan isi rumah yang berpendapatan tinggi seperti yang laporkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Mengikut salah satu kertas kerja IMF yang diterbitkan pada 2013, golongan berpendapatan tinggi menikmati enam kali ganda manfaat daripada subsidi bahan api berbanding golongan berpendapatan rendah di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Perkara ini jelas menunjukkan pembaziran yang berlaku dalam rangka kerja yang sedia ada. Justeru, penetapan harga oleh kuasa pasaran dilihat sebagai alternatif yang lebih berdaya saing.

Ini berikutan pengguna akan menjadi lebih berhati-hati dalam tabiat perbelanjaan mereka berikutan harga sesuatu barangan itu akan sentiasa berubah.

Sikap berjimat cermat

Perkara ini juga menuntut sikap berjimat cermat dan lebih menghargai sumber yang terhad supaya tidak dibazirkan.

Jika dilihat, mekanisme harga pasaran ini telah wujud dalam kebanyakan industri negara ini. Contoh yang terbaik adalah sektor perbankan yang begitu kompetitif, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna.

Walaupun Bank Negara Malaysia adalah satu-satunya entiti yang akan menentukan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang mempunyai kesan langsung terhadap Kadar Pinjaman Asas (BLR), pihak bank cenderung untuk memberikan pinjaman pada kadar faedah lebih rendah daripada BLR.

Perkara ini sememangnya menguntungkan pengguna kerana mendapat kos pembiayaan lebih kompetitif.

Bagaimanapun, penguatkuasaan juga adalah penting bagi memastikan peniaga tidak menindas pengguna. Ini berikutan, peniaga cenderung untuk menaikkan harga apabila kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi bagi harga barangan yang ditadbir.

Menaikkan harga jualan apabila kos meningkat bukanlah sesuatu perbuatan yang salah. Namun, kenaikan itu perlulah setara dengan struktur kos sesuatu barangan berkenaan.

Contohnya, apabila harga gula meningkat sebanyak 30 peratus, segelas teh tarik tidak sepatutnya meningkat pada kadar yang sama kerana kos gula adalah sebahagian kecil dalam penyediaan minuman berkenaan.

Selain itu, amalan kepenggunaan juga perlu diterapkan bagi memastikan hak sebagai seorang pengguna sentiasa terpelihara dan peniaga yang tidak bertanggungjawab akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Mohd Afzanizam ialah Ketua Penganalisis Ekonomi di Bank Islam Malaysia Bhd. Berita Harian Rencana 2014/01/30 - 02:24:32 AM
Tags: belanja, harga, jimat, kos, pasaran, sara hidup
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments