kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Integriti Tun Abdul Hamid

DILAHIRKAN di sebuah rumah beratap nipah dan dinding buluh di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang tiada siapa menyangka tokoh ini bakal berjasa besar kepada negaranya.

Dibesarkan dengan suasana sawah padi dan turun sama membanting tulang, membajak, mencabut semai, menanam, menuai dan memukul padi akhirnya beliau yang dimaksudkan Tun Abdul Hamid Mohamad mengukir nama sebagai antara Ketua Hakim Negara yang paling disegani di negara ini.

Sesungguhnya ayahnya, Haji Mohamad bin Haji Abdullah dan ibunya Hajah Fatimah binti Jaafar yang berkerja sebagai pesawah telah membentuk keperibadian yang ada dalam jiwanya selain masyarakat di kampungnya, dengan mengajar al-Quran secara sukarela kepada tiga generasi.

Anak bongsu daripada empat orang adik beradik, dua abang seorang kakak, beliau bersekolah rendah di Sekolah Melayu Paya Keladi.

Keadaannya, setiap pagi terpaksa mengharung sawah padi manakala ketika musim hujan, tidak berkasut sebab becak untuk ke sekolah. Namun semua itu diharungi demi mengejar cita-cita. Kemudian, atas desakan gurunya, beliau berpindah ke sekolah Inggeris di Perai.

“Setiap pagi, untuk ke sekolah saya terpaksa bangun jam 5.00 pagi, mengayuh basikal sejauh tiga kilometer, menaiki bas sejauh 16 kilometer, berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer, menyeberangi Sungai Perai dengan sampan dan menyambung perjalanan sejauh 500 meter lagi baru sampai ke sekolah," kata Abdul Hamid menceritakan kisah silamnya.

“Kemudian saya belajar di Sekolah Menengah St. Marks di Butterworth. Dalam tahun 1960 saya berjaya mendapat nombor tiga dalam pertandingan Syarahan Minggu Bahasa Kebangsan di Peringkat Kebangsaan. Dalam tahun 1962 saya menjadi Johan Lelaki Melayu di Peringkat Kebangsaan.

“Saya juga merupakan Ketua Pengawas Melayu pertama di Sekolah itu. Selepas itu saya belajar di St Xavier‘s Institution dalam Tingkatan enam sebelum meneruskan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Singapura dan lulus ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kehormat).

Sebaik-baik menamatkan pengajian, beliau memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1969.

Suami kepada Toh Puan Hamidah Choong Binti Abdullah yang berketurunan Baba Nyonya Melaka, semasa di sekolah beliau langsung tidak pernah terfikir akan menjadi seorang hakim apatah lagi Ketua Hakim Negara.

“Semasa saya telah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pun saya tidak fikir boleh jadi Hakim Besar Malaya atau Presiden Mahkamah Rayuan, apatah lagi Ketua Hakim Negara kerana pada masa itu, ada hakim-hakim lain yang lebih muda dan kanan. Malah, sehingga saya telah menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan dan terdapat dua jawatan kosong (Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya) pun, saya masih tidak pasti kerana masih terdapat halangan yang besar," ujarnya merendah diri.

Tetapi, atas kehendak Allah segala yang telah ditetapkan akan tetap berlaku. Akhirnya beliau ditawarkan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan sebulan kemudian jawatan Ketua Hakim Negara.

Sebab itulah dalam ucapan pelantikan beliau berkata: “Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kejujuran mengatasi segala-galanya. Dan percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kebenaran akan terserlah jua,".

Berbicara dengan beliau tidak akan lengkap tanpa berkongsi kisah dan pengalamannya sepanjang berkhidmat dalam bidang kehakiman.

Menurut beliau sudah tentu kes yang paling kontroversi yang pernah dibicarakan ialah kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan kerana beliaulah yang membuat keputusan membebaskan Anwar Ibrahim.

Menurut Abdul Hamid, masalahnya ketika itu adalah orang ramai telah mengambil pendirian masing-masing sama ada mengikut parti politik, sentimen atau emosi. Kedua-dua pihak hanya akan menerima penghakiman jika ia memihak kepada mereka.

“Mereka tidak peduli apa keterangan dan mutu keterangan yang dikemukakan di mahkamah. Mereka tidak peduli tentang peruntukan undang-undang. Jika keputusan memihak kepada mereka, mereka kata keputusan itu adil. Jika ia tidak memihak kepada mereka berbagai-bagai tohmahan akan dilemparkan. Dalam hal ini kedua-dua pihak yang terlibat berkelakuan serupa.

“Sebagai hakim saya tidak peduli. Saya buat keputusan sebagai seorang hakim, berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang terpakai. Pandangan peribadi saya terhadap Anwar Ibrahim atau kejadian tersebut tidak relevan. Itu saya mesti ketepikan.

Ketegasan

“Ini banyak orang tidak faham. Keadaannya samalah dengan satu kes di mana satu pasangan muda ditangkap di dalam bilik hotel jam 2.00 pagi dalam keadaan separuh bogel. Atas keterangan itu sahaja, tanpa ikrar, bolehkah mereka dihukum dengan hukuman hudud? Jawabnya tidak boleh walaupun kita semua percaya mereka semestinya telah berzina. Itulah perbandingannya," tegas Abdul Hamid.

Walaupun tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara agak singkat namun namanya sudah cukup besar untuk membuatkan mereka yang terlibat dalam perbicaraan untuk berasa gerun atas ketegasan dan integriti yang beliau junjung. Beliau akhirnya bersara pada 18 Oktober 2008.

Kini, pada usia 72 tahun, walaupun berjalan bertongkat dan bercakap hanya dengan sebelah kotak suaranya yang berfungsi setelah kehilangan suara sebanyak dua kali akibat empat pembedahan tengkok, masanya ditumpukan kepada keluarga selain daripada menghadiri mesyuarat-mesyuarat dan menyampaikan ucaptama, syarahan umum, kuliah, kertas kerja dan menulis rencana untuk disiarkan oleh majalah ilmiah di dalam dan luar negara.

Baginya, ada sebab mengapa Allah SWT memberikan semula suaranya sebanyak dua kali, walaupun di luar dugaan para doktor dan membolehkannya berdiri dan berjalan semula. Sebagai tanda syukur, beliau menggunakannya untuk menyampaikan ucapan, kuliah, syarahan dan lain-lain itu.

“Pada masa ini saya masih menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penyesuaian Undang-Undang Bank Negara Malaysia, Ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan juga Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di samping menjadi Profesor Adjung di dua buah universiti.

“Anehnya, sekarang saya mendapat lebih banyak jemputan untuk membentang kertas kerja, menyampaikan kuliah umum, ucaptama dan sebagainya daripada semasa saya menjadi Ketua Hakim Negara.

“Semenjak saya bersara pada bulan Oktober 2008 sehingga hari ini (5 tahun 2 bulan), saya telah menulis dan menyampaikan 65 kertas kerja, rencana, kuliah, ucaptama syarahan dan lain-lain walaupun dalam tempoh itu saya berada di hospital selama lebih kurang 8 bulan".

Begitulah kekuatan yang dikurniakan kepadanya walaupun semakin dihimpit usia. Hampir semua penghakiman, ucaptama, syarahan umum, kuliah, kertas kerja dan rencananya boleh didapati dalam laman webnya untuk faedah umum. Harapan beliau ialah agar Allah SWT akan menerimanya sebagai amal jariah beliau.

Utusan Malaysia Rencana 20140202
Tags: hakim, integriti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments