kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Antara Facebook dan vaksin

SAYA harus akui bukanlah seorang pengguna atau ‘penganut’ tegar segala apa yang ditawarkan melalui laman sosial. Ketika baru hendak cuba bertatih menggunakan laman sosial Facebook, sudah wujud pula Wechat, WhatsApp, Twitter dan kini Telegram.


Memang kalau diikutkan tidak termampu bagi saya untuk mengikuti ‘dunia baru’ yang ditawarkan melalui teknologi, apatah lagi ketika manusia begitu taksub dengan kemampuan yang ditawarkan melalui dunia tanpa sempadan.


Seingat saya yang masih lagi melihat telefon bimbit sebagai alat perhubungan biasa, adakalanya kebebasan yang ditawarkan melalui dunia tanpa sempadan ini sudah melangkaui sempadannya.

Ada kalanya diri merasakan seolah-olah tidak ada privasi, perlu senantiasa menjawab atau berhubung menerusi segala medium yang ada menerusi laman sosial. Kalau lambat reply akan dikatakan sombong atau sibuk mengalahkan CEO.

Namun hakikatnya tidak banyak perkara penting yang perlu dilayan. Kebanyakannya hanyalah sekitar kisah makan apa pada tengah hari atau post gambar selfie sendiri.

Kalau gambar sendiri orang kata syok sendiri, kalau dengan tokoh tertentu maka orang kata bertuah. Kalau nasib tak baik orang kata bodek.

Kadang-kadang terlintas di hati kecil perasaan menyesal kerana mendaftar diri dalam laman sosial tertentu. Namun bukanlah satu tindakan bijak untuk mengundur diri kerana ia umpama kembali tinggal di zaman dinasour.

Tatkala orang sudah bercerita gosip paling terkini, kita masih dihurung kisah dua bulan lepas. Mahu atau tidak akhirnya kita perlu akur kepentingan medium laman sosial ini.

Apa yang penting ialah kemampuan diri dalam menahan atau membatasi yang mana satu keperluan dan yang mana ‘sampah’.

Teknologi tidak bersalah kerana manusia sendiri yang menyesatkannya. Apatah lagi dalam keadaan sekarang segala yang kita perlukan sudah ada di hujung jari.

Ini berbalik kepada kenapa saya menggunakan perkataan ‘penganut’ di awal ayat di atas.

Seolah-olah kini budaya terlalu bergantung kepada pelbagai laman sosial ini menjadi ikutan yang akhirnya mewujudkan penganut tegarnya tersendiri.

Semua tempat tak boleh berenggang dengan telefon bimbit dan lebih malang lagi ketika berkumpul dengan rakan-rakan di kedai mamak pun tangan lebih banyak berbicara berbanding riuh rendah bersembang seperti sepatutnya.

Kita dalam keadaan seolah-olah masyarakat kini sudah tidak boleh lepa dengan segala keseronokan yang ditawarkan melalui pelbagai laman sosial ini.

Hak asasi manusia

Malah tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa para ‘penganut’ ini sudah semakin bercambah dari hari ke hari dan dibimbangi ramai yang tidak boleh membezakan yang mana intan dan yang mana ‘sampah’.

Dalam keadaan kita sendiri adakalanya keliru tentang hal ini, saya merasakan perlu untuk menyatakan kisah tentang dua tokoh yang membawa revolusi dunia komputer dan Internet.

Ketika dunia menghampiri penghujung 2013, pengasas Facebook, Mark Zuckerberg menyatakan niatnya untuk menyediakan kemudahan Internet ke seluruh dunia terutama di negara Dunia Ketiga yang tidak ‘termimpi’ akan kemudahan itu.

Menurut Zuckerberg, Internet kini sudah setara seperti hak asasi manusia kerana dakwanya kita begitu memerlukannya.

Bagi manusia yang tersenarai sebagai bilionair termuda dunia itu, usaha Zuckerberg dikatakan sebagai satu lagi usaha philantropist dalam memberikan manusia terpinggir peluang untuk duduk sama tinggi dengan mereka yang bernasib lebih baik.

Usaha ini adalah sebahagian niatnya untuk menjadikan Internet sebagai alat penting yang mampu menyelamatkan dunia. Memang hebat idea beliau ini kerana dengan ini dunia tidak memerlukan senjata, cukup sekadar Internet.

Bagaimanapun usaha Zuckerberg ini dipandang sinis oleh pengasas Microsoft, Bill Gates yang menyatakan, “Adakah itu satu jenaka," katanya kepada majalah Financial Times.

Pembantu Gates dikatakan cuba menghalang kenyataan itu dikeluarkan bagi mengelakkan perseteruan berpanjangan antara dua tokoh itu, namun gagal.

Dari segi logik, Gates melihat usaha Zuckerberg sebagai mengarut kerana baginya yang mana lebih penting menyediakan vaksin malaria untuk menyelamatkan nyawa atau menyediakan sambungan Internet yang belum tentu bermakna.

Seorang lagi tokoh di Silicon Valley yang tidak mahu menyiarkan namanya menyatakan usaha Zuckerberg itu sebagai sombong dan bebal. Persoalan baginya, apakah Facebook akan menjadi jalan penyelesaian kepada semua masalah sehingga dunia begitu memerlukan akses Internet.

Yang pasti Gates telah sekian lama menjalankan tugas kemanusiaan melalui Yayasan Bill dan Melinda yang menumpukan usaha membantu golongan memerlukan terutama dalam bidang kesihatan dan penyakit.

Namun bagi Zuckerberg pula usaha beliau ini pada awalnya dilihat kemanusiaan tetapi ironinya ia turut sama bermotif keuntungan yang sangat lumayan dan tidak menyelesaikan masalah.

Akhirnya kita sendiri boleh menilai apakah perlu menjadi ‘sombong dan bebal’ dengan terlalu terikut-ikut kehendak apa yang ditawarkan melalui dunia tanpa sempadan yang begitu bermotifkan wang.

Atau mungkin boleh memilih menjadi lebih bijak, cukup sekadar memilih yang mana perlu dan tidaklah sehingga ‘hilang akal’ kerana terpengaruh dengan bisikan kapitalis yang sentiasa berlindung daripada menunjuk wajah sebenar.



Hafizahril Hamid Utusan Malaysia Rencana 20140202
Tags: facebook, vaksin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments