kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bagaimana membina personaliti diri

APA guna berwajah ayu dan berupa tampan, kalau personaliti diri tidak menawan. Personaliti bermaksud, keperibadian dan perwatakan. Orang yang berpersonaliti baik/positif, apabila kita bertemu dengannya kita berasa seronok, tidak tertekan, kita berasa sayang, tidak takut, berasa diri kita dinilai dan dihargai. "Orang yang berpersonaliti hebat akan membuatkan diri kita berasa hebat di sisinya".

Tetapi, bagi orang yang berpersonaliti buruk/negatif, apabila kita berjumpa dengannya kita akan berasa tidak selesa, boleh berkecil hati, sakit hati, kita berasa kita amat teruk, membuatkan kita berasa rendah diri di sisinya dan kita tenggelam dalam keegoannya.

Personaliti biasanya bermula daripada cara seseorang itu berfikir. Ingat semula formula berfikir dalam pemikiran ‘Reset Minda’ iaitu, ‘Fikiran - menentukan emosi - Emosi menghasilkan tindakan’. Fikiran yang buruk/negatif akan menghasilkan emosi yang buruk/negatif dan akhirnya dizahirkan melalui tindakan yang buruk/negatif. Contohnya dipamerkan melalui memek muka yang garang dan masam, gaya percakapan yang kasar dan ego, serta gaya berjalan yang bongkak dan sombong. Hal ini berlaku kerana ‘dunia dalaman’ mempengaruhi ‘dunia luaran’ kita.

‘Dunia dalaman’ ialah fikiran dan hati kita. ‘Dunia dalaman’ yang baik akan menzahirkan ‘dunia luaran’ yang baik/positif, dan hasil kehidupan juga menjadi baik/positif. Iaitu kita akan mendapat ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kewangan/kekayaan, sebagai hasil kehidupan. Setiap tindakan kita berdasarkan emosi yang ada dalam jiwa kita. Oleh sebab itu untuk membina personaliti yang baik, perlu mencari ilmu, kerana ilmu adalah makanan jiwa kita.

Personaliti yang baik perlu dibentuk sejak kanak-kanak lagi. Permasalahan yang berlaku di seluruh dunia kini, adalah kerana kurangnya orang yang berkeyakinan diri. Orang yang paling bertanggungjawab memberi keyakinan diri kepada seseorang individu itu ialah ibu bapa. Didikan membina keyakinan diri ini perlu diberikan kepada anak-anak, sejak anak dilahirkan. Berikan kasih sayang kepada anak, dan kita akan dapat kasih sayangnya kembali.

Berikan perhatian dan kasih sayang serta tingkatkan akaun emosi anak-anak dengan pujian. Setiap kali kita memuji anak keyakinan dirinya akan meningkat. Sebaliknya setiap kali kita memarahinya, terutama memarahinya di hadapan orang, keyakinan dirinya akan menurun.

Nilai diri

Orang yang hilang keyakinan diri, tidak sayang akan dirinya sendiri. Apabila dia tidak sayang akan dirinya, dia juga tidak akan mampu menyayangi orang lain. Seterusnya dia akan membuat kejahatan kepada orang lain, dan orang lain juga akan berbuat jahat kepadanya. Akhirnya berpunca daripada tidak berkeyakinan diri itulah berlakunya ‘kitaran ganas dalam kehidupan’, yang menyebabkan dunia ini menjadi huru-hara dan tidak aman lagi.

Cara hendak menaikkan personaliti keyakinan diri seseorang yang pertama, kita kena tahu siapa diri kita? Cuba lihat dan nilai diri kita sama ada akhlak kita baik atau buruk. Ubah akhlak kita yang buruk dengan mengikut akhlak Rasulullah SAW. Kita hidup dengan dua tabiat, iaitu sama ada kita pergi ke hadapan cermin untuk melihat dan menilai diri kita sendiri, atau kita mengambil kanta pembesar dan kita halakan kepada orang lain untuk melihat dan menilai orang.

Dengan kanta pembesar kita tidak nampak diri kita, dan kanta pembesar hanya menyerlahkan apa yang kita hendak lihat pada dan tentang orang itu sahaja, Tetapi, dengan melihat diri kita di cermin, kita nampak diri kita dan lagi terserlah kekurangan diri kita. Oleh itu jom audit diri kita bukan audit diri orang.

Kedua, setelah ubah sikap kita ubah pilihan kawan-kawan kita. Pilih kawan-kawan yang baik dan berfikiran positif. Jauhkan diri daripada kawan-kawan yang boleh mempengaruhi kita ke arah perkara yang negatif. Kalau kita berkawan dengan orang yang kurang keyakinan diri kita juga akan menjadi orang yang kurang keyakinan diri. Oleh itu ubah dan mesti pandai memilih kawan-kawan yang baik sahaja.

Jauhi kawan-kawan yang suka memfokuskan kepada masalah tanpa memikirkan resolusi. Jauhi kawan-kawan yang tidak tahu bersyukur tetapi asyik merungut sahaja. Jauhi kawan-kawan yang suka berbual kosong dan bercakap lucah. Bahasa melambangkan keperibadian atau personaliti kita. Orang yang berpersonaliti hebat bercakap apabila perlu dan bercakap dari fikiran yang memaparkan keilmuannya. Jauhi kawan-kawan yang mempunyai dua personaliti, iaitu dengan orang yang jahat dia akan menjadi orang yang jahat, sebaliknya dengan orang yang baik dia menjadi orang yang baik.

Manusia yang begini ialah manusia yang lemah, tidak ada pendirian dan mudah dipengaruhi oleh suasana. Orang yang berpersonaliti begini biasanya dengan orang luar dia baik, tetapi dengan keluarganya dia bersikap kasar. Orang yang begini ialah orang yang kurang mendapat penghargaan dalam keluarganya, sebab itulah di luar dia akan menunjukkan kebaikannya kerana dia mengharapkan orang memujinya.

Ketiga, lihat tema kehidupan kita dan fokuskan kepada apa yang kita hendak dan apa yang kita suka. Iaitu, apa yang kita hendak jadi pada masa akan datang, kita kena bayangkan dalam masa lima minit terakhir sebelum kita tidur. Sebab ketika itu roh kita dalam gelombang tenang dan akan menjadi magnet kepada apa yang kita hendak.

Orang yang paling berjaya ialah orang yang menjadikan ibu bapa sebagai contoh teladan. Oleh itu pertama, sebagai ibu bapa sentiasa memperbaiki diri dengan mengikut akhlak Nabi Muhammad SAW, yang sangat baik dan kasih akan anak-anak supaya anak-anak mendapat teladan yang baik. Kedua, jaga hubungan emosi dengan anak-anak. Tentukan anak-anak kita menyayangi kita. Ketiga, ajar pendidikan seksual kepada anak-anak, contohnya tentang mengapa selepas Isyak tidak boleh masuk ke bilik ayah dan ibu atau ketika hendak menyalin lampin pun ajar anak-anak tentang sifat malu.

Keempat, ajar anak kita berkeyakinan berhadapan dengan orang ramai, contohnya bagaimana hendak bercakap dengan orang tua, adab masuk ke rumah orang. Kelima, tentukan akidah kuat dan ibadah sempurna. Keenam, solat berjemaah amalan (kerja berkumpulan) dan solat tepat pada waktu amalan (disiplin).

Apabila kita mengamalkan rukun Islam yang lima itu, sebenarnya kita telah membentuk personaliti diri kita. Apabila kita mengucap Dua Kalimah Syahadah, bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, bermakna kita akan hanya menjadi hamba kepada Allah.

Kesimpulannya, didiklah anak-anak dengan pendidikan personaliti dahulu, iaitu ‘didik anak berakhlak, bukan sibuk ajar anak menjadi bijak’. Dengan Rukun Islam, dapat membina personaliti diri yang positif. Syahadah, mendidik mengaku menjadi hamba Allah. Solat, melatih kita menyembah dan tunduk hanya kepada Allah. Berpuasa, melatih disiplinkan diri. Berzakat, melatih menjadi pemurah. Mengerjakan haji, membuktikan, kerana Allah kita sanggup membelanjakan harta kita untuk mematuhi segala suruhan-Nya. Buat semua Rukun Islam yang lima ini dengan sebaik-baik mungkin, personaliti positif akan terbina. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".


DR. MUHAYA MOHAMAD Utusan Malaysia Rencana 20140202
Tags: personaliti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments