kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Si mata sepet, berkulit putih

SEJAK seminggu ini saya turut sama menerima ucapan Selamat Tahun Baharu Cina. Terima kasih. Saya tidak marah apatah lagi ucapan tersebut datang daripada orang yang tidak saya kenali sama sekali. Daripada rakan-rakan, saya tahu mereka kuat mengusik.

Lagipun, hendak marah apa? Hendak menyorok mata sepet dan kulit putih melepak ini? Tidak mungkin. Kerana malu? Tidak sama sekali. Memang sebelah mak berdarah Cina. Mak dan kakak yang bertudung pun sampai hari ini masih ada yang bertanya “Cina masuk Islam ke?"

Kepada soalan itu, tidak juga kami jawab. Malas hendak layan. Bukan kerana malu mengaku mualaf. Sebab bukan mualaf pun. Dan apa hinakah menjadi mualaf? Kurang sedarjat awak selaku orang Islam di Malaysia? Ini sudah menyeleweng. Darjat kita sebagai orang Islam dikira daripada amalan, bukan sama ada awak lahir Islam atau baharu memeluk Islam.



Hujung tahun lepas saya sekeluarga ke utara. Singgah makan nasi beriani di Seberang Jaya. Seperti biasa, akan ada orang datang ke meja makan minta sedekah atau mahu menjual cakera padat atau buku agama. Luar biasa bila tidak seorang pun berhenti di meja saya.

Ini berbeza di Shah Alam. Penjual atau peminta sedekah guna konsep pukul rata. Semua orang dimintanya. Di Seberang Jaya, ada sedikit privacy. Perkara ini tidaklah suatu isu negara tetapi sekadar menjadi bahan jenaka kami sekeluarga.

Sebenarnya, daripada kecil mata sepet dan kulit putih pucat ini menyebabkan saya menjadi sedikit canggung walaupun secara jujurnya saya tidak endahkan sangat. Kawan sekolah menggelar saya ‘Jo Jepun’. Ejekan itu lumrah pada zaman persekolahan, kata saya kepada anak-anak yang mewarisi wajah Cina ini. Tidak perlu jadi hal pergaduhan. Anggapnya sebagai keistimewaan.

Memiliki wajah ‘Pan-Oriental’ ini semasa zaman remaja memang ada disalahgunakan terutama pada bulan Ramadan. Malah pernah dipaksa rakan-rakan untuk menolong membeli makanan kepada mereka. Tetapi ini cerita zaman ‘jahiliah’. Bab mencari pacaran, ada yang melabel ‘orang kacukan sebagai eksotik’. Sila guna imaginasi anda.

Daripada kecil hinggalah dewasa, setiap hari akan ada sahaja orang bertanya mengenai identiti diri. Di negeri asal Sarawak, spesies mata sepet dan kulit cerah bukan eksotik. Tetapi sudah biasa. Di Semenanjung ini, nampaknya masih suatu konsep yang dipelajari, baik oleh masyarakat Melayu mahupun Cina dan India.

Memang mahu ketawa dibuatnya bila orang Cina menegur saya sebab tidak tahu berbahasa Cina. Menegur ini mirip-mirip kesal dan marah. Terpaksalah dinyatakan ringkas ‘mak Cina, bapa Melayu...’ Apek kedai pun mengangguk faham.

Dewasa ini, bila bersemuka dengan orang Melayu, mereka pantas berbahasa Inggeris dengan saya. Mungkin was-was saya tidak fasih berbahasa Melayu. Mungkin syak saya orang Singapura. Lazimnya saya jawab dengan ucapan ‘Terima Kasih’. Bukan disebabkan hendak tunjuk saya sebenarnya bukan Cina tetapi mahu galakkan penggunaan bahasa Melayu.

Untuk pengetahuan ringkas anda yang belum tahu, ‘spesies’ kami ini terhasil daripada perkahwinan campur Melayu-Cina jauh lebih awal daripada pembentukan Malaysia, jauh lebih awal daripada kempen integrasi nasional. Bukan seperti masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka. Tetapi telah melalui proses asimilasi sepenuhnya dari Cina kepada adat resam, bahasa dan agama Melayu-Melanau-Islam. Tidak juga buang Cina sama sekali. Masakan bisa? Mata sepet dan kulit putih pucat terus kekal bagi mengingatkan asal-usul kami dari Tanah Besar. Cuma tidak ada lagilah tradisi atau pakaian, apalagi bahasa diamalkan. Setakat berbahasa Hokkien untuk menyumpah seranah, rasanya skil itu masih terpelihara.

Bermata sepet dan kulit putih pucat ini juga menjadi ironi dengan kerjaya saya di Utusan Melayu. Bagi sahabat sekerja yang kenal lama, ironi itu hanya sekadar pada wajah. Jiwa dan jati diri ini tiada ragu-ragu. Mereka juga tahu saya mengaku jati diri sebagai orang Melayu berketurunan Melanau atau istilah politiknya ialah Bumiputera, sekali gus mendorong saya kekal menyokong Parti Pusaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) walaupun bermastautin di Selangor.

Cuma bila berangan-angan menjadi ahli politik, mungkin sukar untuk saya ke pentas melaungkan slogan disebabkan mata sepet saya. Walaupun demikian, hakikat itu tidak menghalang saya membuat keputusan politik untuk mengundi calon Perkasa di Shah Alam.

Perkara mata sepet dan kulit cerah orang Melayu yang mirip orang Cina ini sengaja saya ketengahkan di sini agar boleh sama-sama direnungkan hari ini, sempena sambutan Tahun Baharu Cina agar usaha ke arah perpaduan nasional tidak terhenti tetapi sebaliknya diperteguhkan.

Aspek perpaduan nasional sekarang seolah-olah diabaikan, kebanyakan masa demi meraih undi. Yang mempertahankan Melayu dikata rasis. Yang berhujah hal jurang kekayaan ekonomi antara Melayu dan Cina dipertikai sebagai ekstremis.

Isu-isu semasa yang dipalit oleh unsur politik melampau hari ini, amat merimaskan. Satu benda pun tidak menyumbang kepada usaha perpaduan nasional. Ada parti bergaduh sesama sendiri dan paksa bikin pilihan raya. Isu pengundi Cina-Melayu juga ditimbulkan.

Boleh tak untuk sekali ini, semua ahli politik berhenti menggunakan modal perkauman? Boleh tak fokus kepada soal integriti parti yang bertanding? Bermoralkah penyandang meletak jawatan, bagi memberi laluan kepada ketuanya untuk mencapai cita-cita politik? Kata mahu jimat duit rakyat tapi paksa pilihan raya sama sahaja bazir duit rakyat. Fokus hal ini. Tidak perlu cerita hal kaum.



Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 20140202
Tags: islam, putih, sepet
Subscribe

  • Adakah anda seorang yang berani?

    Artikel Waktu isu 1MDB lagi saya lawan, tegas Abdul Hamid dan Ketua Ulama Pas teruk kena maki hamun dengan Lokman Adam bertarikh…

  • Persepsi I

    Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM (Mei, 3, 2021) ada menyebut mengenai ‘ war of perception’. Dunia…

  • Hamid Bador: Antara persepsi dan kenyataan

    Mantan Ketua Polis ke-12 memperdengarkan ungkapan "persepsi” sebelum beliau menyerahkan kuasa pada 3hb Mei 2021. Namun, beliau menyebut…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments