kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pertahankan kedudukan Melayu di KL

LANGIT bandar raya Kuala Lumpur (KL) pada malam kelmarin bergemerlapan dengan percikan bunga api yang besar dan kecil. Berdentum-dentam bunyi mercun memecah keheningan malam. Itulah tanda kemeriahan masyarakat Tionghua menyambut Tahun Baharu Cina.

Kebetulan pula semalam Tahun Baharu Cina tahun ini disambut serentak dengan cuti umum Hari Wilayah Persekutuan.

Kira-kira 42 tahun lalu, KL disytihar sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1972. Dua belas tahun kemudian, 1984 Labuan menjadi Wilayah Persekutuan kedua, dan diikuti Putrajaya pada 1 Februari 2001.

Kira-kira enam tahun lalu, kalau saya pergi kerja cuma 22 kilometer (km) dari rumah yang terletak di sempadan KL-Selangor iaitu di Taman Selasih, dekat Batu Caves. Tetapi kini jaraknya 42 km dari Saujana Utama, Sungai Buloh ke pejabat di KL.

Saya mungkin berfikiran sama dengan penduduk Melayu di KL dan sekitarnya yang terpaksa membeli rumah di kawasan jauh di luar kota kerana faktor harga rumah.

Melihat pada harga rumah teres di KL sekarang memang amat-amat jauh daripada mampu. Tak ada lagi rumah teres dua tingkat empat bilik pada harga sekitar RM200-RM350 ribu sekarang. Yang dibina dalam kota KL ialah kondominium dan rumah teres semi-D tiga tingkat yang harganya kira-kira RM700,000 - RM2 juta mengikut lokasi.

Aduh! Bagaimana pembeli Melayu hendak kekal tinggal di Kuala Lumpur atau kawasan pinggirannya sama ada di Cheras, Ampang, Selayang, Damansara, Petaling Jaya, Puchong dan Sungai Besi kalau harga rumah terus di luar kemampuan.

Kalau begini trend harga rumah di Wilayah Persekutuan KL, dalam beberapa tahun lagi kaum bukan Melayu akan mengatasi populasi penduduk Melayu di KL.

Berdasarkan jumlah penduduk KL mengikut kumpulan etnik pada 2010, penduduk Melayu ialah 644,406 dan bumiputera lain 16,597 (jumlah bumiputera 661,003), Cina - 621,805, India (148,300), kaum-kaum lain (9,050) dan bukan warganegara Malaysia (148,592).

Barangkali sekarang jumlah kaum Cina mungkin sudah mengatasi penduduk bumiputera. Berdasarkan kepesatan pembinaan bangunan pejabat dan kediaman yang ‘terpacak’ di ibu kota, tak ramai Melayu dan bumiputera yang mampu membelinya.

Jumlah penduduk Melayu/bumiputera ini mungkin akan kekal ataupun berkurang kerana faktor perpindahan kaum ini ke kawasan luar KL untuk mencari rumah yang lebih selesa.

Begitulah kehidupan orang Melayu daripada memiliki rumah kecil kos rendah dan sederhana kepada rumah yang lebih besar sedikit tetapi terpaksa berhijrah keluar dari ibu kota.

Inilah hakikatnya. Orang Melayu yang berkemampuan sedikit akan meninggalkan kota dan bermastautin di pinggir bandar KL. Yang mungkin kekal tak berganjak ialah penghuni di flat yang dibina kerajaan atas nama Projek Perumahan Rakyat. Itupun penempatan semula penduduk dari kawasan setinggan.

Dahulu memang banyak kawasan majoriti orang Melayu di KL tetapi sekarang sedikit demi sedikit kian berubah wajah. Ada kawasan di mana masjidnya kini di kelilingi kawasan perniagaan kaum Cina.

Kawasan kuarters kerajaan di Jalan Davis bersebelahan Jalan Tun Razak dan Jalan Peel dekat Jalan Cheras telah dikosongkan dan dinaikkan bangunan komersial dan penempatan yang sudah tentu tak mampu dibeli oleh Melayu. Satu lagi kawasan yang hilang penduduk Melayu.

Tidak lama lagi kawasan Flat Pekeliling yang dahulunya tempat tinggal golongan bawahan di KL akan berubah wajah.

Entah mengapa, seolah-olah orang bawahan bagaikan tidak ada tempat dalam pusat kota KL. Atas nama komersial, mereka yang banyak duit sahaja yang nampaknya boleh hidup di pusat KL.

Mujurlah kebijaksanaan pemimpin kita dahulu maka dapatlah orang Melayu dan warga bawahan tinggal di flat-flat sekitar Bangsar, Kampung Kerinci, Jalan Cheras, Kampung Datuk Keramat, Setiawangsa, Wangsa Maju, Setapak dan Jalan Kelang Lama. Kalau tiada projek perumahan rakyat ini, mungkin tiada orang Melayu dapat menghuni dalam kota KL ini.

Kalau tiada pemantauan atau strategi yang betul, mungkin penduduk Melayu di KL akan bertambah kurang.

Dahulu ada kawasan Melayu, kini entah ke mana hilangnya. Tanah yang dahulu dihuni orang Melayu pun kini dihuni oleh bukan Melayu.

Apa yang menghairankan dalam isu perumahan di kota KL ini ialah pegawai perancang bandar dan orang besar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur majoritinya orang kita - Melayu. Tetapi entah sedar atau tidak dan mungkin atas nama pemodenan dan komersial, maka soal perumahan penduduk Melayu mungkin terlepas pandang.

Tanah-tanah milik kerajaan yang dimajukan pun tidak nampak usaha untuk mengekalkan penduduk Melayu di situ. Mengapa.

Adakah ini rancangan pihak berkuasa untuk menempatkan mereka yang ‘mampu bayar’ sahaja yang tinggal kawasan itu? Atau kena ikut trend?

Dalam perancangan pembangunan KL, cubalah lihat faktor geopolitik untuk penduduk Melayu. Takkan semua atas nama komersial sampai tak ada tempat untuk Melayu?.

Bayangkan apa akan berlaku kepada negara ini, yang mempunyai pelbagai kaum, jika majoriti kawasan dibiarkan dikuasai oleh satu kaum sahaja.

Perkara ini sedang berlaku seperti di kawasan Mont Kiara, dan kawasan baharu yang lain. Fikirkan apa yang akan berlaku empat tahun dari sekarang.

Kadang-kadang saya merasakan diri kita ini ’diperbodohkan’ secara diam.

Oleh itu, jika Kampung Baharu hendak dimajukan, fikirkanlah masak-masak kedudukan orang Melayu selepas ini.

Kepada penduduk dan pekerja di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan.


Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 20140202
Tags: kuala lumpur, melayu
Subscribe

  • Ahli Kayangan Tidak Benar

    Takiyuddin telah kelirukan Dewan bertarikh 29 Julai 2021 sepatutnya berbunyi ‘Malaysia dikelirukan dan di’ceritakan yang tidak…

  • Tidak benar

    Patutkah atau bolehkah ahli parlimen atau wakil rakyat terutama Menteri berkata tidak benar, memutar belit , mengelirukan, menipu, berbohong di…

  • Samakah pemecatan terancang dengan pendakwaan terpilih?

    Kanun kecam usaha terdesak PN lakukan pendakwaan terpilih terhadap Syed Saddiq bertarikh 22 Julai 2021 menjadi rujukan. Turut tersiar di media…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments