kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ Liwat, Motif, Konsensus, Untung, Senyap, Surat

Liwat’ semua…

AWANG mahu memulakan ruangan ini dengan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat ADUN Kajang, Lee Chin Cheh yang mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Chin Cheh tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa penyiasatan rapi termasuk berkaitan unsur rasuah. Kemungkinan itu tidak boleh ditolak mentah-mentah kerana reputasi PKR sudah buruk dan busuk.

Jika langkah tersebut tidak diambil ia dikhuatiri mengundang lebih ramai wakil rakyat bertindak sesuka hati mengosongkan kerusi mereka selepas ini.

Awang bimbang gejala itu umpama membenarkan demokrasi diliwat semahu-mahunya dalam amalan politik songsang disebabkan penyakit nafsu dan gila kuasa.

Apakah semua mahu di‘liwat’ - manusia, sistem dan nilai? Mendiamkan hal ini sahaja seolah-olah bersubahat dan simbol merelakan diri kita juga menjadi mangsa.

Motif sebenar?

KENYATAAN bekas pemimpin PKR antaranya Senator Ezam Mohd. Noor dan Muhammad Rahimi Osman mengaitkan isu pengosongan kerusi DUN Kajang sebagai sandiwara politik Anwar Ibrahim bagi kes tuduhan liwat kali kedua, menarik perhatian.

Ezam dan Rahimi percaya itu merupakan satu lagi strategi Anwar untuk meningkatkan tekanan terhadap mahkamah agar keputusan rayuan kes liwat ke atas bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan nanti memihak kepada penasihat PKR itu.

Firasat Awang pun sama. Jawatan Menteri Besar bukan matlamat utama beliau untuk bertanding di Kajang.

Ezam melihat tindakan itu sebagai ‘mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum’ mengulangi episod Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008.

Pilihan raya tersebut diadakan pada 26 Ogos 2008 apabila Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengundur diri untuk membolehkan suaminya bertanding. Sebelum itu, Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan liwat ke atas Saiful pada 7 Ogos tahun yang sama.

Pada Awang, tumpuan sebenarnya adalah kepada keputusan mahkamah bagi rayuan kes liwat ke atas Saiful, bukannya di Kajang seperti yang dimainkan oleh PKR.

Bibit-bibit beliau panik sudah ketara sehinggakan takut peguam terkemuka, Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes tersebut. Sedangkan Saiful tidak pernah gentar berdepan dengan peguam Anwar antaranya Karpal Singh yang juga politikus berpengaruh.

Untuk rekod, semua masih ingat bagaimana Saiful berani melakukan sumpah laknat di masjid bagi membuktikan kebenaran dakwaannya diliwat tetapi Anwar enggan.

Dalam kes tersebut, ramai bersetuju bahawa Mahkamah Persekutuan sewajarnya membuat ketetapan pada 11 Februari ini agar tidak menangguhkan lagi keputusan rayuan Anwar untuk mengetepikan Muhammad Shafee.

Awang sebenarnya bersimpati dengan apa yang dialami oleh Saiful. Kehidupan beliau dan keluarga tertekan sejak aduan polis dibuat pada 2008 dan melalui perbicaraan panjang, antaranya disebabkan banyak penangguhan yang diminta oleh Anwar.

Dugaan yang dilalui oleh Saiful dalam mendapatkan pembelaan dan menegakkan kebenaran amat berat. Awang tertanya-tanya apakah keadilan hanya untuk pemimpin dan bukan rakyat kecil seperti Saiful?

Muslihat konsensus

TIDAK sukar menelah apa di sebalik pengumuman Anwar Ibrahim untuk menawarkan konsensus nasional.

Ketika imejnya merudum, berdepan masalah dalaman parti dan menjelang detik kritikal keputusan rayuan kes liwat, beliau membuat tawaran tersebut.

Persoalannya apakah itu konsensus atau sekadar muslihat bagi melengkapkan percaturan besar?

Awang menyertai banyak pihak menolak konsensus tersebut. Tidak ada apa yang perlu kita teruja. Apatah lagi untuk memulakannya dengan sedikit ruang sehingga akhirnya jatuh dalam perangkap. Jika benar-benar Anwar mahu konsensus, beliau perlu terlebih dahulu konsensus dalam PKR dan pakatan pembangkang dan menjadi politikus bertanggungjawab serta bermoral.

Anwar telah melakukan banyak mudarat kepada agama, bangsa dan negara. Namanya mendahului senarai pengkhianatan dalam sejarah moden tanah air melainkan beliau bertaubat dan menebus dosa serta keterlanjurannya.

Mudah senyap

KEJADIAN dua murid Melayu tahun empat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng, Sungai Siput, Perak dipaksa makan rumput dan digantung loceng di leher oleh seorang guru menggemparkan negara akhir minggu lalu.

Perbuatan itu sangat melampau dan tidak boleh diterima dek akal pada zaman moden ini.

Aneh, empat murid gagal siapkan tugasan sekolah tetapi guru berusia 26 tahun itu hanya menghukum dua murid Melayu manakala dua bukan Melayu terlepas.

Setakat ini, tiada permohonan maaf daripada guru itu. Kementerian Pendidikan pula sekadar mengenakan hukuman ringan iaitu ditukarkan sekolah. Isu ini sebenarnya belum selesai jika begitulah cara ia ditangani.

Pada Awang, ia hanya memberi isyarat yang salah kepada masyarakat betapa perlakuan yang dahsyat itu seperti hal kecil. Bayangkanlah kalau yang melakukan penderaan tersebut ialah guru Melayu dan mangsanya pula ialah bukan Melayu apatah lagi di sekolah kebangsaan.

Maka gegak gempita seluruh negara berminggu-minggu menekan dan mentohmah Kementerian Pendidikan dan kerajaan seolah-olah sekolah kebangsaan neraka. Aneh apabila terjadi di SJKC, mudah sahaja isu ini senyap.

Awang juga tertanya-tanya di mana suara DAP, yang jika kejadian seperti itu berlaku di sekolah kebangsaan, pasti akan meroyan dan histeria. Hanya kerana mangsanya murid Melayu dan pelakunya guru Cina, ia didiamkan sahaja. Dua murid itu sedikit pun tidak mendapat pembelaan parti tersebut. Slogan kononnya DAP memperjuangkan kepentingan semua kaum - untuk kesekian kalinya - ternyata najis dan sampah.

Masih ada untung

MINGGU lalu, Mingguan Malaysia melaporkan di muka surat depan kisah seorang penjual ikan dan seorang peniaga gerai menjual dengan harga yang murah. Awang teruja.

Pemilik kedai makanan D‘Che Nah di Sik, Kedah, Hannah Abdul Halim, 33, menjual teh o ais dan sirap ais dengan harga 50 sen sejak setahun lalu. Memang murah. Awang tidak pasti jika ada yang menjual minuman serendah itu. Menurut Hannah, masih ada keuntungan dan kedainya dikunjungi lebih ramai.

Di Kampung Bintang, Setiu, Terengganu, peniaga ikan, Muhammad Ilias Johan, 27, menjadi tumpuan kerana menjual pelbagai jenis ikan segar pada harga RM2 hingga RM4 sekilogram (kg) berbanding penjual lain menetapkan harga lebih tinggi.

Walaupun keuntungannya kecil, beliau puas kerana dapat berperanan membantu masyarakat terutama mereka yang susah dan tertekan dengan kenaikan harga barangan.

Seorang teman turut menarik perhatian Awang kepada akhbar Kosmo yang dijual pada harga RM1 bermula 1 November 2013. Sebelum itu, harga Kosmo RM1.20. Langkah penurunan harga itu dilakukan sebagai menyahut semangat pembentangan Bajet 2014 bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat. Kosmo mengorbankan sebahagian perolehan untuk menjadi akhbar prihatin, yang keuntungannya pasti datang kemudian.

Terbaharu, 10 pasar raya melibatkan 956 cawangan mengambil sikap bertanggungjawab dan prihatin menyertai kempen penurunan harga, salah satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan. Menerusi kempen itu, diskaun antara 10 - 70 peratus ditawarkan meliputi 4,000 produk di pasar-pasar raya terbabit.

Berdasarkan maklum balas yang Awang terima, sambutannya begitu positif. Pengguna menikmati harga lebih baik, pasar raya juga tidak rugi cuma kemungkinan keuntungan sedikit merosot. Jika itu berlaku, tidak mengapa kerana pasar raya telah mengaut keuntungan besar selama ini. Maka tibalah pada tempoh yang mencabar ini, untuk menyokong pula masyarakat pengguna. Akhirnya semua untung.

Tolak surat

AWANG angkat topi kepada Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee yang bertegas apabila menyentuh soal mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Menurut maklumat yang diterima, beliau telah bertindak menyerahkan semula surat daripada agensi Kerajaan Pusat yang berpejabat di pusat pentadbiran Putrajaya. Ini kerana surat tersebut ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Bukan Maliki tidak faham kandungan surat itu tetapi tindakan agensi berkenaan enggan menggunakan bahasa Melayu bagi urusan rasmi yang melibatkan rakyat tempatan, adalah tidak wajar. Difahamkan, sudah menjadi kebiasaan bagi agensi itu tidak menggunakan bahasa Melayu.

Kalau jabatan dan agensi di bawah kerajaan sendiri tidak mengutamakan dan menghormati bahasa kebangsaan, pada siapakah lagi mahu disandarkan harapan?

Awang setuju dengan tindakan beliau. Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada kelompok yang jati dirinya rapuh.



Utusan Malaysia Rencana 20140202
Tags: konsensus, liwat, motif, senyap, surat, untung
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments