?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Kompeten berdepan dunia sebenar

Ada pihak melemparkan kritikan terhadap kepentingan siswa menyertai kegiatan kokurikulum sebagai membuang masa.

Mereka beranggapan siswa seharusnya lebih memberi penumpuan terhadap akademik berbanding aktif dalam aktiviti itu.

Alasannya, akademik boleh menjamin sekeping ijazah laku di pasaran kerjaya namun kegiatan kokurikulum belum tentu membantu siswa memperoleh pekerjaan.

Walaupun pelbagai usaha dibuat bagi memberi penjelasan terhadap kepentingan kokurikulum sama seperti akademik, sasaran memperbetulkan tanggapan itu belum berjaya sepenuhnya.

Foto

KEKUATAN jati diri siswa boleh dipupuk selain memberi peluang mereka belajar memproses kehendak
persekitaran dalam usaha meraih pengalaman. - Gambar hiasan


Justeru, apakah langkah boleh diambil bagi mengubah persepsi yang masih membelenggu minda pihak terbabit. Adakah benar tujuan pengenalan kokurikulum hanya pembaziran semata-mata?


Ketua Unit Memperkasa dan Penyelidikan Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (UM) Profesor Dr Samsinah Hussain berkata, pembabitan siswa dalam aktiviti berbentuk kokurikulum bertujuan memperkukuhkan kemahiran mereka bukan pembaziran masa.


KOKURIKULUM boleh menjadi wadah untuk melahirkan siswa kompeten dan kompetitif dalam
mengharungi cabaran dunia yang cukup kompleks. - Gambar hiasan


Beliau berkata, jika ada menganggap aktiviti itu hanya membuang masa, mereka perlu ‘membuka’ minda dan mengkaji lebih mendalam keperluan siswa masa kini.

“Memang pelik jika ada pihak masih melemparkan tanggapan aktiviti kokurikulum yang disediakan universiti sebagai membuang masa.

“Sepatutnya istilah itu tidak perlu ada kerana kokurikulum diperkenalkan bagi mengisi masa siswa dengan lebih bermanfaat supaya lebih kompeten berdepan dunia sebenar.

“Istilah membuang masa memang tidak kena kerana setiap inci ilmu yang diberi pasti ada manfaat,” katanya.

Beliau menganggap, isu itu tidak perlu diperbesar-besarkan walaupun pihak terbabit menganggap ia tempat siswa ‘bersuka ria’.

“Konsep ‘bersuka ria’ siswa perlu dilihat dalam pelbagai konteks dan bukan menjurus kepada satu situasi semata-mata.

“Adakah menyumbang bakti kepada golongan sasaran menerusi khidmat komuniti boleh dianggap bersuka ria?

“Dari mata kasar mung–kin benar tetapi pengisian yang dilaksanakan sepanjang program tiada langsung peluang untuk bersuka ria,” katanya.

Malah, kegiatan kokurikulum, katanya, banyak memberi kelegaan kepada siswa kerana mereka boleh melepaskan tekanan belajar menerusi pergerakan fizikal, interaksi selain menimba pelbagai bentuk pe–ngalaman baru.

“Mencari ilmu tidak semestinya melalui buku kerana banyak lagi cara boleh dilakukan.

“Kini, ada pelbagai kaedah boleh digunakan dan tidak semestinya menggunakan cara konvensional bagi memperoleh ilmu.

“Setiap pengisian dalam modul kokurikulum juga adalah cabang ilmu. Tidak perlu pertikaian untuk mempersoalkan sama ada ia kegiatan itu bermanfaat atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada pihak termasuk siswa suka mempertikaikan modul kokurikulum dengan menganggapnya membosankan.

“Ada yang melihat modul terutama sesi pengenalan seperti ‘seksaan’ kerana mereka didedahkan dengan aktiviti membosankan termasuk menghadiri kursus dan seminar.

“Pengisian seperti itu bukan satu tekanan tapi hanya asas pengenalan sebelum melangkah ke modul berikutnya.

“Walaupun kegiatan kokurikulum nampak santai, ia mesti dijalankan mengikut sistem ditetapkan. Bukan suka-suka atau main terjah saja,” katanya.

Malah, akuinya universiti sentiasa berhempas pulas memastikan pengisian kegiatan kokurikulum dalam sesuatu modul adalah terkini sesuai dengan permintaan semasa selain tidak membebankan golongan sasaran.

Menurutnya, modul diperkenalkan selari dengan pelbagai aspek termasuk persekitaran, permintaan dan etika yang dirasakan perlu bagi melahirkan siswa berketrampilan.

“Modul-modul ini direka, diolah dan diperkenalkan me–ngikut standard tertentu yang memberi kebaikan kepada mahasiswa, bukan modul ‘syok sendiri’.

“Jadi, jangan lemparkan toh–mahan mengatakan universiti melaksanakan modul pengisian seperti melepaskan batuk di tangga.

“Kami melaksanakan setiap proses pengenalan mengikut piawaian tertentu bagi menjamin kejayaannya dan disesuaikan dengan penambahbaikkan mengikut keperluan terkini,” katanya.


TERDAPAT pelbagai cabang ilmu boleh dipelajari di universiti dan tidak hanya tertumpu
kepada proses pembelajaran berbentuk akademik semata-mata. - Gambar hiasan.


Kegiatan kokurikulum juga adalah antara usaha universiti untuk melahirkan siswa kompetitif masa kini bagi mengurangkan ‘rungutan’ golongan terbabit yang sukar memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Kita berdepan pelbagai kemelut tidak dijangka dan kehendak dunia yang semakin kompleks serta sukar difahami.

“Bergantung harap kepada ilmu berasaskan buku semata-mata tidak membantu siswa untuk bersaing terutama dalam dunia pekerjaan.

“Sebab itu, kokurikulum dilaksanakan bagi memperkukuh dan mematangkan lagi kemampuan diri siswa. Ini untuk kebaikan mereka,” katanya yang mengakui alangkah ruginya jika golongan terbabit tidak menggunakan peluang diberikan.

Sebahagian besar siswa menganggap hanya melalui pencapaian akademik mereka akan diterima dalam industri.

“Kikis tanggapan itu sebab majikan tidak melihat aspek berkenaan semata-mata tapi banyak perkara lain turut dinilai.

“Kecemerlangan akademik tidak bermakna jika siswa kaku dan beku di depan majikan selain menjalankan perintah seperti robot yang diprogram,” katanya.

Justeru semua pihak termasuk ibu bapa perlu memberi sokongan kepada anak-anak supaya berminat menyertai kegiatan kokurikulum.

“Kokurikulum adalah tempat untuk mempamerkan bakat dan nilai kepimpinan. Jadi biarkan anak-anak belajar menguruskan diri sendiri mengikut persekitaran.

“Jangan keterlaluan menegah atau menghalang kerana ini boleh melemahkan semangat mereka belajar memproses kehendak dunia luar, sekali gus merugikan masa depan,” katanya.

Ruhaiza Rusmin myMetro Bestari 03/02/2014

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow