kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Fahami kuasa ketenteraan China

Dulu mulai zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman, negara kita sangat cergas dalam perhubungan luar dan diplomasi sampai kita atasi banyak negara yang lebih besar dan lebih awal merdeka daripada kita.

Kunta Kinte dah banyak kali sebut hal ini sebab-musababnya. Jadi tak payahlah Kunta Kinte ulang balik. Yang Kunta Kinte nak kata ialah kita kena perkukuh balik pengetahuan dan pembabitan kita dalam hal ini.

Kunta Kinte susah hati sikit tengok pendirian kita dalam hal perhubungan luar dan diplomasi sejak kebelakangan ini. Nampak macam kita bertolak ansur sangat dan berat sangat kepada Amerika Syarikat (AS) dan Barat.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte rasa tak berapa sedap hati dengan persediaan dan kesediaan kita hadapi dunia ‘pasca-Perang Dingin’ yang kian hari kian bergolak dan berbahaya.

Kunta Kinte fahamlah, ramai orang sangka atau harap bila perang dingin tamat, dunia akan jadi lebih aman dan selamat.

Perang dingin, macam kita tahu, bermula selepas tamat Perang Dunia Kedua dan tamat bila Kesatuan Republik Sosialis Soviet (Union of Soviet Socialist Republics) diisytiharkan bubar pada 25 Disember 1991.

Dengan itu juga, tamatlah komunisme sebagai ideologi politik dan sosialisme sebagai sistem ekonomi di negara-negara bekas Kesatuan Soviet dan naungannya.

Kuasa tunggal AS

Sekali gus, tinggallah AS sebagai kuasa besar tunggal di dunia dalam bidang ekonomi, diplomasi dan ketenteraan.

Tanpa segan silu, AS secara bersendirian melantik dirinya jadi penguasa undang-undang dunia, macam ‘sherrif’ dalam filem Cowboy yang boleh buat apa saja atas alasan nak jaga keamanan.

Contoh sikap itu bolehlah kita tengok di Afghanistan, Iraq dan Pakistan. Sebenarnya, apa yang ‘sheriff’ AS berjaya buat adalah porak-perandakan lagi negara yang dah pun kacau-bilau.

Sekarang AS tak tahan lagi. Duit dah banyak habis dan ramai askarnya mati. Orang AS yang mula-mula patriotik sebab berperang dengan orang Islam yang tak sebulu dengan mereka, sekarang dah naik letih.

Pengunduran askar AS

Mereka cari sebab tarik keluar tentera mereka. Negara Islam yang dulu kira boleh tahan, hari ini hancur-lebur. Tapi AS diam-diam seronok. Kalau dulu orang Islam bunuh askarnya, sekarang orang Islam bunuh satu sama lain atas nama demokrasi dan hak asasi yang AS ajarkan.

Tapi nampaknya AS sebagai kuasa besar tunggal sedang dicabar, bukan oleh musuh lamanya Russia, tapi oleh China.

Kunta Kinte harap kita janganlah seronok dan kagum sangat dengan kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dan tentera di rantau ini. Kita kena teliti, kaji dan faham buruk baik China sebagai kuasa tentera di rantau kita ini.

Kunta Kinte takut perebutan wilayah di antara China dan Jepun di Laut China Timur akan merebak ke Laut China Selatan.

Kalau ini terjadi, kita akan terseret sebab negara kita ada hak dan kepentingan yang luas di Laut China Selatan di bawah Persidangan Undang-Undang Laut. Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) kita kaya dengan minyak, gas dan ikan.

Kita kena ingat, China bukan saja ada pasukan tentera paling besar di dunia, tapi sejak dua, tiga dekad ini ia berjaya pertingkat kelengkapan perangnya.

Roket dan kapal angkasanya dah sampai ke Marikh. Kalau dah sampai ke Marikh, tentulah peluru berpandu China boleh sampai ke mana-mana saja tempat di dunia.

Jadi Kunta Kinte minta, dalam kita seronok ambil kesempatan daripada kemajuan ekonomi China, kita wajib fikir dan faham implikasi kemunculannya sebagai kuasa tentera serantau dan dunia. Wallahuallam.


Kunta Kinte Original Berita Harian Rencana 01/02/2014
Tags: amerika, cina, kuasa, soviet
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments