MEMANG suasana perayaan Tahun Baharu Cina belum berakhir kerana ia masih lagi dirayakan hingga hari yang ke-15 terutamanya bagi masyarakat keturunan Hokkien. Bagaimanapun, dalam kegembiraan masyarakat Cina meraikan tahun Kuda 2014 banyak kejadian dan peristiwa turut terheret bersamanya.
Isu paling banyak diperkatakan adalah tindak-tanduk pemimpin wanita sebuah parti pembangkang berbangsa Cina yang mempersendakan banyak pihak dalam bentuk satira dan sandiwara yang disiarkan melalui media YouTube sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati dan kemarahan pelbagai pihak.
Akibatnya, puluhan laporan polis dibuat terhadap pemimpin berkenaan. Reaksi beliau pula adalah menafikan sekeras-kerasnya ia dibuat untuk menyinggung perasaan sesiapa tetapi sekadar menyindir dan menegur secara sinis. Malah beliau menuduh UMNO yang memanipulasikan situasi sehingga ia disalah tafsir dan menuduh pihak berkuasa jika mengambil tindakan bersikap berat sebelah.
Kajang kejang, tegang dan bengang Pekan Kajang akan menjadi bertambah sibuk apabila penduduknya terpaksa memilih semula ADUN mereka pada Pilihan Raya Kecil pada 23 Mac ini. - BERNAMA |
Agaknya ini mempunyai hubung kait dengan satu lagi peristiwa besar yang bakal berlaku tidak lama lagi iaitu pilihan raya kecil di Kajang. Ia diibaratkan sebagai paluan gong awal bagi menghidupkan amaran bahawa dalam pilihan raya kecil yang bakal berlangsung kelak semua isu dan cara akan dihalalkan walaupun bakal mengundang ketegangan antara kaum atau agama.
Meskipun nampaknya kerajaan cuba sedaya upaya untuk menenang dan memenangi hati rakyat dengan pelbagai pemberian yang tidak putus-putus tetapi nampaknya seperti ada yang tidak sempurna. Kerana pemberian yang diberikan itu memberikan impak yang negatif sehingga mencetuskan kenaikan harga barangan termasuk keperluan harian.
Malah kenaikan harga barang pengguna sudah sampai ke tahap yang tidak munasabah. Sebagai contoh harga ikan kembung meningkat kepada RM16 sekilogram berbanding ikan salmon yang hanya berharga RM12 sekilogram. Begitu juga harga daging tempatan yang sudah mencecah hampir RM30 sekilogram telah mencetus fenomena yang tidak boleh difahami oleh kebanyakan pengguna ketika ini.
Hasil mainan emosi dan tidak ada justifikasi yang rasional kepada kenaikan bahan-bahan keperluan ini sudah tentu menjadikan orang biasa dan kebanyakan mereka yang tidak mahu pening memikirkan sebab-sebabnya akan menjadi sangat bengang kepada kerajaan. Malah lebih buruk lagi apabila pada masa sama syarikat milik kerajaan seolah-olah sengaja ingin mensabotaj imej pemerintah dengan turut menaikkan kadar tarif perkhidmatan mereka pula.
Jentera propaganda pembangkang nampaknya sangat berkesan dan bijak memainkan peranan ataupun mungkin juga di pihak kerajaan bergerak terlalu perlahan dan tidak bersungguh-sungguh menangkis dakyah yang sedang digembar-gembur ketika ini.
Sesungguhnya dari atas kelihatan semuanya seperti riak dan ombak kecil sahaja di permukaan air tetapi sebenarnya gelombang dan arus deras sangat ganas di dalam sana dan hanya mereka yang berkayuh bersama akan merasainya dan bukan sekadar bermain di permukaan sekadar membasah tangan untuk ditunjuk kepada bos besar sahaja.
Orang Kajang perlu didekati dengan berhemah kerana mereka bukan orang hulu yang tidak bersekolah atau hard up untuk janji pembangunan sahaja. Mereka sudah bersekolah dan mereka kini ingin menyekolahkan pula bakal calon yang akan dilantik di sana. Kerana kini kata-kata ingin berubah dan sedia berubah tidakpun nampak secara nyata diterjemahkan oleh kebanyakan pimpinan peringkat menengah dan akar umbi. Sehingga keenakan diulit mimpi lama meskipun sudah berkali-kali terjaga terus disambung juga.
Malahan para pegawai kanan kerajaan juga ramai yang tinggal di kawasan berhampiran dan kemungkinan juga berdaftar untuk mengundi di sana. Mungkin tidak ramai yang berpeluang mendengar keluhan mereka sewaktu sesi tertutup bersama Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini.
Tentunya jika semua isu yang mereka bangkitkan itu mampu ditangani, ada potensi untuk meningkatkan jumlah undi tetapi jika sebaliknya tentu suasana panas ketika sesi itu akan diterjemahkan tanpa rasa takut dan ragu lagi bagi menghantar satu lagi roket bagi meledakkannya kepada mereka yang sepatutnya lebih prihatin dalam membuat keputusan.
Rasanya sudah cukuplah bersandiwara dan berbasa-basi dan menutup semua masalah daripada pengetahuan pembuat keputusan supaya tindakan yang bakal diambil lebih tepat dan jitu. Masalah rakyat bukan bahan mainan politik dan ia sepatutnya diselesaikan dengan cara yang bersepadu supaya mampu diselesaikan secara tuntas. Ia bukan masalah bermusim sepertimana musim banjir ataupun musim tengkujuh.
Sebaliknya ia perlu dilaksanakan dengan program yang benar-benar realistik dan boleh diukur keberkesanannya.
Malah akui seorang pegawai kerajaan bertaraf JUSA C, mereka kecewa dijadikan sebagai kambing hitam dan dikorbankan walhal mereka yang menikmati pendapatan lebih besar seperti JUSA B, JUSA A dan selanjutnya terlepas pandang. Kumpulan JUSA C ini merupakan barisan hadapan yang berhubung terus dengan rakyat biasa dan mereka ini pula ditarik keistimewaan kecil yang tidak seberapa. Tentulah ia tidak signifikan dan tidak menjimatkan sebanyak manapun belanja sebenar.
Perkara-perkara sebeginilah sebenarnya yang sudah terlepas pandang dan tidak diberikan perhatian wajar, tidak seperti sebelumnya. Umpama pohon yang baik tidak diberikan baja dan perhatian maka tentu buah yang bakal dihasilkan tidak akan menjadi seperti diharapkan. Agaknya pemberi cadangan berkaitan usaha penjimatan juga mempunyai agenda-agenda peribadi mereka yang jauh melebihi agenda negara.
Malahan di pihak lain pula, media cetak sepatutnya lebih terbuka dalam mendedahkan pelbagai perkara supaya ia mampu sampai kepada pembuat keputusan segala keluh-kesah rakyat marhaen dan tidak hanya menghidangkan yang enak sahaja untuk ditatap sekiranya mahu keputusan yang betul boleh dibuat.
Umpama mencari ubat dan penawar, tentunya kita tidak keberatan menelan yang pahit kerana ia lebih mujarab berbanding daripada yang manis seperti sifat ubat batuk dan ubat cacing sahaja.
Demi menghilangkan rasa tegang, menghembus suasana bengang dan mengendurkan kekejangan, sesuatu perlu dilakukan sekiranya Kajang ingin dirampas dan bukanlah mengambil jalan pintas meletakkan calon bidan terjun berdasarkan populariti semata-mata. UMNO sebagai peneraju BN tidak perlu lagi mengamalkan sikap apologetik kepada parti komponen lain demi memastikan DUN Kajang tidak kembali kepada pembangkang sekali lagi.
Kajang bukan sekadar pilihan raya kecil tetapi ia sebenarnya manifestasi situasi semasa di seluruh negara. Ia adalah gambaran sebenar apa yang bakal berlaku untuk tempoh-tempoh menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan datang.
Sekaranglah masanya sebelum terlambat kerana biarlah sedikit lewat, jangan tidak berubah kerana angin perubahan sudahpun menjadi badai yang semakin gila dan sukar dikendalikan lagi.
Dr. Ahmad Zaki Ismail ialah Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) Utusan Malaysia Rencana 20140207